suria

AS catat kematian ketiga akibat influenza H1N1

SEATTLE: Seorang lagi warga Amerika Syarikat (AS) maut akibat wabak influenza H1N1, sekaligus mencatatkan kematian ketiga di negara itu.

AP melaporkan, lelaki berusia lingkungan 30an yang berasal dari Washington itu menemui ajalnya selepas mengalami komplikasi dipercayai akibat influenza H1N1 Khamis lalu, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri.

Lelaki tersebut turut menghadapi masalah jantung dan dijangkiti virus pneumonia semasa kematiannya, namun wabak influenza H1N1 dipercayai menjadi punca utama kematiannya.

Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu dilaporkan telah menunjukkan simptom-simptom wabak itu sejak 30 April lalu.

Sementara itu, Costa Rica turut mengesahkan kematian pertama di negeri itu yang juga di luar Amerika Utara.

Kematian lelaki berusia 53 tahun pada Sabtu lalu itu menjadikan jumlah kematian akibat wabak influenza H1N1 meningkat kepada 53 orang termasuk 48 di Mexico, tiga di AS dan satu di Kanada.

Artikel Lain