suria

Unta klon pertama dunia dilahirkan di Dubai

DUBAI: Dubai mencatatkan kecemerlangan dengan menjadi tempat kelahiran unta klon pertama dunia, menurut satu laporan.

"Kami berasa amat teruja dengan kelahiran Injaz yang merupakan hasil daripada kemahiran hebat dan semangat berpasukan setiap orang di Pusat Pembiakan Unta (CRC)," menurut akhbar Gulf News yang memetik pengarah saintifik CRC Dr Lulu Skidmore, sebagai berkata.

Injaz (atau pencapaian dalam bahasa Arab) dilahirkan di CRC pada Rabu.

Akhbar itu melaporkan unta betina itu diwujudkan daripada sel kumulus yang dihasilkan daripada ovari unta betina dewasa, yang dibiakkan dalam kultur sebelum dibekukan dalam nitrogen cecair.

Pasukan CRC yang bertanggungjawab dalam projek itu berkata unta berkenaan dilahirkan selepas tempoh bunting 378 hari tanpa sebarang komplikasi, dengan berat Injaz sekarang ialah 30kg.

Akhbar itu menyebut analisis DNA menunjukkan haiwan berkenaan sememangnya klon daripada unta betina asal.

"Penemuan penting ini memberikan cara bagi memelihara genetik unta kita yang sangat berharga untuk perlumbaan elit dan penghasilan susu di masa depan," kata Dr Skidmore kepada akhbar berkenaan.

Mamalia pertama dunia yang diklon daripada sel dewasa adalah kambing biribiri Dolly, yang dihasilkan pada 1996 di Edinburgh, Scotland. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain