suria

Sempat ‘berasap’ ketika rompak kedai emas, polis berjaya jejaki suspek selepas jumpa puntung rokok

Dua suspek melarikan 30 bentuk cincin emas bernilai kira-kira RM49,000.

AKIBAT meninggalkan puntung rokok di lokasi rompakan di sebuah kedai emas, polis akhirnya berjaya memberkas dua lelaki pada Isnin.

Rompakan itu berlaku di sebuah premis yang terletak di Chok Chai, Nakhon Ratchasima, Thailand

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua suspek memakai baju lengan panjang hitam dengan wajah ditutup menggunakan topeng.

Kedua-dua suspek dilihat mengugut pekerja dengan pistol, memecahkan kaunter pameran kaca menggunakan tukul dan melarikan cincin emas.

Menurut ThaiRath, kira-kira 30 bentuk cincin emas bernilai sekitar 380,000 baht (RM49,000) dilarikan suspek yang menaiki sebuah kereta sedan berwarna putih.

ARTIKEL BERKAITAN: Silap besar dedah lokasi sendiri, lelaki dikehendaki diberkas selepas muncul dalam video ‘live’ di TikTok

Sewaktu siasatan, polis menjumpai puntung rokok jenama dari China berhampiran kedai tersebut, sekali gus menimbulkan syak bahawa suspek merupakan warganegara China. 

Pemeriksaan lanjut mendapati kereta yang digunakan disewa dari sebuah premis di Prawet, Bangkok, dengan nombor pendaftarannya jelas kelihatan dalam rakaman CCTV.

Polis menjejaki pergerakan kenderaan itu menuju ke Bangkok dan percaya suspek akan memulangkannya ke premis sewaan. 

Pegawai kemudian menghubungi pemilik premis dan meminta agar suspek dilengah-lengahkan sehingga polis tiba untuk melakukan tangkapan.

Suspek dikenal pasti sebagai Zou Qintao, 27, dan Song Haolong, 18.

Kesemua cincin emas yang dicuri ditemui semula dalam kenderaan tersebut dan dirampas sebagai bahan bukti.

Kedua-dua lelaki itu kini ditahan di Balai Polis Prawet dan sedang menunggu untuk dipindahkan ke Balai Polis Chok Chai bagi proses perundangan.  -Agensi

Artikel Lain