SETIAP orang mahu tampil yakin ketika bergambar, namun tidak semua selesa dengan bentuk badan mereka.
Berat badan yang sedikit berlebihan kadang-kadang membuatkan kita segan atau kurang yakin ketika bergambar.
Namun, jangan risau, dengan beberapa trik mudah dalam pemilihan pakaian, posisi badan dan sudut kamera, sesiapa pun boleh mencipta ilusi badan lebih ramping dan tampil bergaya dalam setiap foto.
1. Pemilihan pakaian
Individu bertubuh gempal perlu memilih pakaian yang sesuai. Paling penting, elakkan baju yang terlalu ketat atau longgar.
Pakaian berwarna gelap seperti hitam atau navy boleh memberikan ilusi badan lebih langsing. Corak garisan menegak pada baju juga membantu tubuh kelihatan lebih panjang dan kurus.
2. Posisi badan
Cuba berdiri dengan satu kaki sedikit di depan dan tolak bahu ke belakang. Ini akan memanjangkan postur badan anda.
Selain itu, jangan lupa condongkan sedikit badan ke arah kamera untuk menampakkan diri lebih “slim” secara semula jadi.
Paling penting, jangan biarkan tangan melekat rapat ke badan.
Letakkan sedikit jarak atau gunakan tangan untuk memegang prop seperti beg tangan atau buku, supaya lengan kelihatan lebih ramping.

Individu bertubuh gempal kelihatan lebih langsing jika mereka bijak memilik fesyen bersesuaian. -Gambar hiasan AI
3. Teknik kamera
Selain pakaian dan posisi badan, teknik kamera juga memainkan peranan penting.
Ketika mengambil gambar, halakan lensa sedikit dari atas.
Sudut ini boleh menonjolkan wajah dan mengurangkan fokus pada bahagian badan yang besar.
4. Aksesori
Tali pinggang, rantai panjang atau jaket terbuka boleh membantu 'membahagi' badan dan mencipta garis visual yang memanjang.
5. Pencahayaan
Cahaya semula jadi dari sisi boleh mencipta bayang-bayang yang menonjolkan lekuk badan secara cantik.
Hindari cahaya terus dari depan kerana ia boleh menampakkan badan lebih besar.
6. Keyakinan
Tiada apa yang boleh menandingi keyakinan. Senyuman manis dan postur tegak membuatkan anda kelihatan lebih menarik, walaupun berat badan tidak berubah.
Dengan beberapa teknik mudah ini, sesiapa pun boleh menghasilkan gambar yang kelihatan lebih langsing dan bergaya.
Cuba amalkan teknik ini dan lihat perbezaannya dalam setiap foto!


