suria

Alamak, dah terpicit! Jangan panik jika jerawat pecah, ini cara elak kulit wajah bertukar hitam

Ramai individu gemar memicit jerawat di wajah mereka. -Gambar hiasan AI

SETELAH memicit jerawat, selalunya akan muncul kesan seperti parut hitam pada wajah. 

Keadaan ini biasanya terjadi akibat trauma pada kulit dan boleh mencetuskan hiperpigmentasi. 

Namun, ada beberapa langkah boleh dilakukan sebaik sahaja jerawat dipicit bagi membantu kulit pulih dengan cepat dan mengelakkan kesan hitam yang sukar dihapuskan. 

Tiga cara mengatasi bekas jerawat selepas dipicit:

1. Jangan terus memicit atau menyentuh kawasan jerawat

Apabila jerawat sudah terlanjur dipicit, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah berhenti menyentuh kawasan tersebut sepenuhnya.

Menurut Pengarah Penyelidikan Kosmetik dan Klinikal Dermatologi di Mount Sinai Medical Center, New York City, Joshua Zeichner, tabiat memicit jerawat sebenarnya boleh menyebabkan trauma pada kulit serta membuka ruang kepada jangkitan bakteria.

“Ramai beranggapan mereka hampir berjaya menghilangkan jerawat, tetapi penting untuk berhenti sebelum menyebabkan kerosakan yang lebih serius,” kata Zeichner.

Jerawat boleh menyebabkan seseorang hilang keyakinan diri. -Gambar hiasan AI

Tekanan berlebihan dan luka terbuka pada kulit boleh menyebabkan tubuh menghasilkan melanin secara berlebihan dan pigmen yang menjadikan kulit kelihatan lebih gelap. 

Akibatnya, kawasan bekas jerawat boleh berubah menjadi bintik hitam atau hiperpigmentasi yang sukar dihilangkan. 

2. Gunakan pelekat jerawat 

Jika mahu hasil yang lebih cepat, pelekat jerawat berasaskan hidrokoloid boleh menjadi pilihan. 

Pelekat ini berfungsi menyerap nanah, darah dan cecair radang daripada luka jerawat, sekali gus membantu mengecutkan benjolan dengan lebih pantas.

“Pelekat hidrokoloid sangat berkesan dalam menyerap cecair daripada luka dan membentuk lapisan pelindung bagi mengekalkan kelembapan kulit,” terang Zeichner.

Lapisan tersebut juga melindungi kulit daripada kuman luar dan mencegah jari daripada menyentuh kawasan luka.

Namun, Zeichner mengingatkan agar memilih pelekat tanpa bahan aktif keras seperti benzoil peroksida atau retinol kerana ia boleh menyebabkan iritasi pada kulit yang sedang luka.

Artikel Lain