suria

Jangan ambil mudah fesyen hadir ke majlis orang... Ini sebab tak boleh selekeh, hormati tuan rumah

Cara berpakaian akan menggambarkan imej dan identiti seseorang.

PENAMPILAN seseorang membolehkan orang lain yang melihat membuat tanggapan awal, lebih-lebih lagi apabila menghadiri majlis rasmi.

Ramai kurang mengambil berat soal pemilihan pakaian apabila dijemput hadir ke majlis formal.

Pakaian yang dipakai dapat mengukur tahap profesionalisme dan rasa hormat kepada penganjur serta tetamu lain.

Seorang pengguna TikTok, Que Talk, berkongsi pandangan tentang etika berpakaian yang seharusnya dipatuhi.

Ini bertujuan untuk memastikan seseorang kelihatan lebih sesuai dan bersedia untuk sebarang peluang yang mungkin hadir.

Cara berpakaian dikongsikan oleh Que di TikTok.

Elakkan memakai pakaian ini

1. T-shirt biasa - Tidak kira jenama atau harga t-shirt tersebut, ia tetap dianggap terlalu kasual untuk majlis rasmi.

2. Baju fabrik jersey - Walaupun reka bentuknya menarik, material ini lebih sesuai untuk aktiviti santai dan bukan untuk acara formal.

3. Selipar atau sandal - Memakai kasut atau alas kaki seperti ini akan mencacatkan keseluruhan penampilan dan memberi gambaran kurang profesional.

Pilihan pakaian yang lebih sesuai

Sebagai alternatif, berikut adalah cadangan pakaian yang lebih sopan dan sesuai untuk majlis rasmi:

1.Kemeja - Pilihan paling selamat untuk kelihatan kemas dan formal.

2. T-shirt berkolar - Jika majlis tidak terlalu formal, ini boleh menjadi pilihan yang lebih baik berbanding t-shirt biasa.

3. Kemeja berkolar mandarin - Memberi sentuhan moden dan eksklusif tanpa perlu memakai tali leher.

4. Seluar panjang (Long pants)- Lebih kemas dan profesional berbanding jeans lusuh atau seluar pendek.

5. Kasut kulit atau loafer - Menyerlahkan gaya 'sofistikated' dan menunjukkan perhatian terhadap etika berpakaian.

Antara pakaian yang dicadangkan oleh Que dalam hantarannya.

Kenapa penampilan penting

Berpakaian dengan betul bukan sekadar untuk kelihatan menarik, tetapi ia juga mempunyai kesan terhadap interaksi sosial dan peluang yang boleh diperoleh.

1. Menunjukkan rasa hormat

Tuan rumah dan tetamu lain akan lebih menghormati kehadiran anda.

2. Meningkatkan keyakinan diri

Apabila berpakaian kemas, anda lebih yakin untuk bergaul dan bercakap dengan orang lain.

3. Mencipta peluang baharu

Anda tidak tahu siapa yang bakal jumpa di majlis tersebut. Penampilan yang baik boleh membuka peluang kerjaya atau perniagaan.

Oleh itu, jangan ambil mudah soal pakaian, walaupun majlis hanya berlangsung di sekitar rumah.

Berpakaian sopan dan kemas bukan sahaja meningkatkan imej diri, tetapi juga memberi kesan positif dalam kehidupan sosial dan profesional anda.

Artikel Lain