suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Kalau kita semua kat bawah, tu siapa?” - Enam mahasiswi membeku nampak ‘penghuni’ ketujuh, pakaian pula saling tak tumpah!

Setiap rumah sewa ada kisah misteri tersendiri. -Gambar hiasan AI

KEPUTUSAN enam sahabat menyewa sebuah rumah teres berhampiran kampus ketika mengikuti pengajian ijazah pada mulanya dianggap sebagai langkah paling berbaloi.

Rumah itu bukan sahaja luas, malah kadar sewanya juga jauh lebih murah berbanding unit lain di kawasan berkenaan.

Masing-masing yang dikenali sebagai Siti, Ila, Aini, Lyana, Nadia dan Sharifah tidak berfikir panjang sebelum bersetuju untuk berpindah masuk.

Namun ketika menerima kunci rumah, pemilik kediaman sempat memberi satu pesanan yang kedengaran agak pelik.

"Kalau malam, jangan panggil kawan dari luar bilik," ujar tuan rumah dengan pesanan itu hanya disambut dengan senyuman.

Makhluk misteri sering berubah wajah menyerupai penghuni rumah sewa. -Gambar hiasan AI

Makhluk misteri sering berubah wajah menyerupai penghuni rumah sewa. -Gambar hiasan AI 

Mereka menganggap ia sekadar nasihat biasa, malah ada yang bergurau kononnya pemilik rumah bimbang jiran terganggu.

Bagaimanapun, suasana mula berubah apabila Siti pulang daripada sesi belajar berkumpulan sekitar pukul 2 pagi.

Sebaik membuka pintu rumah, dia ternampak Nadia sedang duduk bersendirian di ruang tamu dalam keadaan gelap, menghadap ke arah tingkap tanpa membuka lampu.

Siti sempat menegur rakannya itu, namun tidak menerima sebarang jawapan dan menyangkakan Nadia sekadar sedang termenung, dia terus masuk ke bilik untuk tidur.

Keesokan paginya, Siti bertanya keadaan Nadia, namun jawapan yang diterima membuatkan dia terkedu.

Nadia memaklumkan dia langsung tidak berada di rumah pada malam tersebut kerana bermalam di rumah kakaknya, malah perkara itu disahkan oleh Ila yang menghantarnya pada petang sebelumnya.

Beberapa hari kemudian, giliran Aini pula mengalami kejadian aneh, dia ternampak Sharifah sedang minum air di dapur.

Aini sempat menegur rakannya itu, namun sekali lagi tiada sebarang respons.

Tidak lama selepas dia masuk ke bilik, Sharifah pula keluar dari kamarnya dalam keadaan baru bangun tidur, masih memakai baju tidur dan bertanya mengapa Aini bercakap seorang diri.

Sejak itu, keenam-enam mereka mula berasa tidak sedap hati.

Walaupun Lyana cuba menenangkan keadaan dengan mengatakan mereka mungkin terlalu penat sehingga berhalusinasi, setiap seorang mula mengunci pintu bilik sebelum tidur.

Namun, kira-kira pukul 3 pagi, Siti dikejutkan dengan bunyi ketukan di pintu biliknya.

"Siti... buka kejap," suara itu kedengaran seiras suara Nadia.

Ketika Siti hampir membuka pintu, telefonnya berbunyi dan terdapat mesej dalam kumpulan WhatsApp dihantar oleh Nadia.

"Weh... siapa ketuk pintu bilik aku," soal Nadia yang membuatkan Siti terus membeku kerana di luar, suara yang memanggil namanya masih kedengaran.

Tanpa berlengah, dia membalas mesej ringkas dalam kumpulan dengan melarang semua rakannya keluar dari bilik masing-masing.

Sebaik mesej itu dihantar, bunyi ketukan di pintu terus berhenti.

Keesokan paginya, mereka berkumpul di dapur dan masing-masing mengaku mendengar suara rakan lain memanggil nama mereka pada malam tersebut.

Ada yang mendengar suara Ila, ada yang mendengar suara Siti dan ada juga yang mendengar suara Nadia.

Hakikatnya, ketika itu semua penghuni berada di dalam bilik masing-masing.

Ketukan dan suara menyerupai rakan serumah antara kisah misteri rumah sewa. -Gambar hiasan AI

Ketukan dan suara menyerupai rakan serumah antara kisah misteri rumah sewa. -Gambar hiasan AI

Sejak insiden tersebut, mereka menetapkan satu peraturan baharu iaitu jika mahu memanggil rakan pada waktu malam, mereka hanya akan menghubungi melalui telefon atau menghantar mesej.

Tiada siapa dibenarkan berdiri di hadapan pintu bilik sambil memanggil nama penghuni lain.

Peraturan itu seolah-olah berjaya apabila keadaan kembali tenang selama seminggu.

Namun pada suatu malam hujan lebat, bekalan elektrik di seluruh rumah tiba-tiba terputus.

Dalam keadaan gelap, masing-masing turun ke ruang tamu dengan hanya berpandukan cahaya lampu suluh telefon.

Ila kemudian mengira seorang demi seorang penghuni yang berada di situ.

"Siti... Aini... Lyana... Nadia... Sharifah... dan aku. Cukup enam orang," kira Ila.

Belum sempat mereka menarik nafas lega, Lyana tiba-tiba menggenggam lengan Siti dengan kuat.

"Kalau kita semua ada dekat bawah... yang berdiri dekat hujung tangga tu siapa?", soal Lyana.

Serentak mereka menghalakan lampu suluh ke arah tangga dan kelihatan susuk seorang wanita berambut panjang berdiri kaku di hujung tangga.

Lebih menyeramkan, wanita itu memakai pakaian yang sama seperti mereka dengan wajahnya pula terlindung dalam kegelapan.

Sebelum sesiapa sempat bersuara, bekalan elektrik kembali pulih dan susuk wanita itu hilang begitu sahaja.

Keesokan harinya mereka segera menghubungi pemilik rumah.

Selepas mendengar keseluruhan cerita, pemilik yang merupakan seorang lelaki hanya menundukkan kepala sebelum membuka mulut.

Menurutnya, penyewa sebelum mereka juga terdiri daripada enam orang pelajar perempuan.

Apabila ditanya mengapa kumpulan itu berpindah, pemilik rumah menjawab mereka mendakwa setiap malam terdapat seorang lagi 'penghuni' yang tinggal bersama.

Seminggu selepas kejadian itu, keenam-enam sahabat tersebut mengambil keputusan untuk berpindah.

Artikel Lain