MAKAM lama menjadi antara lokasi tarikan pelancong bagi mereka yang gemar untuk mengetahui tentang sesuatu sejarah, kisah legenda mahupun mitos tertentu.
Namun kerap kita dengar bahawa makam lama juga sering dicemari dengan aktiviti tidak sihat seperti pemujaan dan kepercayaan karut yang bertentangan dengan Islam.
Menurut pengkaji leluhur dikenali sebagai Cikgu Aida, makam lama dipercayai kepunyaan Cik Siti Jalang yang terletak di Kampung Tembioh di Kota Tinggi, Johor turut dicemari dengan aktiviti sedemikian.
Lebih mendukacitakan ada yang tergamak mencuri batu nisan aslinya semata-mata mahu memenuhi ritual sesat mereka.
Dia tidak menafikan misteri yang menyelubungi kisah Cik Siti sehingga pernah mengundang kontroversi suatu ketika dahulu menjadi antara punca kepada berlakunya aktiviti tidak bermoral di makam berusia lebih 400 tahun itu.
"Saya pernah pergi makan arwah (Cik Siti), dan keadaannya sangat menyedihkan. Di kala tersebarnya fitnah itu menyebabkan orang sering datang untuk membuat ritual di makamnya.
"Inilah yang membuat saya marah, sudahlah kuburnya terletak di ceruk hutan dan tidak diselenggara, ditambah pula dengan aktiviti pemujaan sampaikan kawasan kubur penuh dengan colok dan tanahnya digali.
"Ada orang jahat tergamak melakukan vandalisme dengan memecahkan batu penanda dan mencuri batu nisan yang asli mungkin untuk ritual khurafat mereka," katanya menerusi sebuah sesi podcast di YouTube.
Berdasarkan imej yang berlegar di media sosial, makam Cik Siti kini dalam keadaan yang menyayat hati.
Apakah kisah di sebalik legenda Cik Siti Jalang?
Masyarakat Kota Tinggi, Johor pasti pernah mendengar kisah tentang Cik Siti Jalang yang dikatakan mengahwini 100 orang lelaki sepanjang hayatnya sekitar abad ke-17 dahulu.
Sumber mengatakan Cik Siti atau atau nama sebenarnya Siti Aminah Tanah Mahsyur berasal dari Riau, Indonesia.
Tetapi ada juga yang mendakwa dia berasal dari Kelantan dan dibesarkan sebagai anak angkat oleh keluarga bangsawan Bugis di daerah Kota Tinggi.
Cik Siti dikatakan mempunyai rupa paras cantik sehingga dia menjadi rebutan para lelaki yang berniat menyuntingnya sebagai isteri.
Seperti mitos dan legenda lain, kisah Cik Siti ini mempunyai beberapa versi berdasarkan cerita lisan daripada penduduk tempatan yang disampaikan turun-temurun.
Namun versi paling diketahui ramai adalah kisah kala jengking keluar daripada kemaluan Cik Siti dan membunuh semua lelaki yang dikahwininya pada malam pertama perkahwinan.
Bagaimanapun, sumpahan itu terhenti apabila dia mengahwini suami yang ke-100 iaitu seorang pemuda dengan pegangan agama kuat dan gagah dari acheh, Indonesia.
Menjelang tengah malam, suaminya itu menahan diri daripada tidur kerana mahu melihat sendiri jelmaan kala jengking keluar dari kemaluan isterinya sebelum membunuh mereka semua menggunakan kacip besar.
Menurut Aida, kejadian itu dipercayai berpunca daripada ilmu pendinding yang diwariskan daripada ibu bapa Cik Siti dek bimbang akan kesucian gadis itu dinodai lelaki yang tidak bertanggungjawab.
"Kerana sayangkan Cik Siti, bapanya menurunkan satu ilmu atau 'memagar' anaknya supaya suami yang betul-betul baik sahaja boleh berkahwin dengan dia.
"Kematian satu per satu suaminya membuatkan Cik Siti menjadi buah mulut orang sehingga ada yang menuduh dia melakukan ilmu hitam padahal dia langsung tidak mengetahui tentang perkara itu," ujarnya.
Namun terdapat satu lagi versi mengatakan suami-suami Cik Siti sebenarya tidak meninggal dunia sebaliknya mereka menceraikannya sejurus selepas malam pertama kerana tidak berpuas hati dengan fizikal gadis itu.
Ilmu pendiding yang diturunkan kepada Cik Siti dikatakan telah menutup 'pandangan' para suami daripada melihat tanda-tanda kewanitaan yang dimilikinya sehingga suami ke-100 berjaya membuka 'pagar' tersebut.
Difahamkan, jolokan 'jalang' diberikan kepadanya kerana asyik berkahwin kemudian bercerai sepanjang hayatnya.