suria

Padah tak hirau sejarah hutan lipur! 2 sahabat diganggu, cabut lari selepas berkhemah di port cantik tepi sungai

Hutan merupakan 'rumah' kepada pelbagai jenis makhluk. -Gambar hiasan

UDARA yang segar, pohon yang rendang dan bunyi deruan air sungai dari kejauhan sungguh menenangkan fikiran yang berserabut.

Itulah kedamaian yang didambakan Aiman selepas hampir dua minggu memerah otak menjawab peperiksaan akhir untuk semester pengajiannya di sebuah universiti awam.

"Ahhh," Aiman meregangkan badan sejurus menjejakkan kaki di sebuah hutan lipur yang baru dibuka, terletak di pinggir ibu kota.

Turut menemani pemuda berusia 24 tahun itu adalah sahabat karib merangkap rakan sekelas, Reza.

"Tak ramai orang eh, padahal hari minggu ni. Mungkin sebab jalan masuk ke sini agak jauh ke dalam dan berliku kot.

Keheningan alam semula jadi boleh menjadi terapi. -Gambar hiasan

"Kalau macam ni rupanya, betul la apa yang video tu cakap, ini port healing paling eksklusif dekat tengah bandar. Mujur kita sampai sini sebelum betul-betul viral, lagi sebulan tempat ni mesti havoc," Aiman berborak bagi memecah kesunyian.

Reza pula masih sibuk menguruskan barang-barang perkelahan yang dibawa mereka.

"Eh banyak borak la. Kau tu dah la biar aku seorang je drive dari hostel sampai ke sini, lepas tu sedap je tidur sepanjang perjalanan. Aku tahu balik nanti kau yang drive.

"Dah, sini tolong aku angkat barang, entah apa yang kau packing ni, macam nak pindah rumah gamaknya," kata Reza yang sedikit berisi badannnya

Barang-barang yang dibawa Aiman itu terdiri daripada set barbeque, bekalan makanan dan juga peralatan khemah. Aiman merancang untuk berkhemah di hutan lipur itu selama satu malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan intern terkena badi mayat selepas buat liputan kes maut jatuh bangunan

ARTIKEL BERKAITAN: Huni homestay dah setahun tak disewa, pemuda demam 3 hari selepas tahan ‘azab’ pintu tak henti diketuk sampai subuh

"Kau relaks je Za, aku dah baca komen dekat video yang trending tu. Mereka yang pernah sampai sini cakap laluan nak ke sungai tak jauh mana dan tak curam. Kau mesti boleh hadap punya.

"Kita lalu depan rumah ketua kampung tu, kemudian jalan kaki dalam 500 meter dan terus sampai sungai. Ayuh Za, kita mencari 'syurga dunia'," ujar Aiman memberikan semangat.

Maka, bermulalah pengembaraan dua sekawan itu yang bakal memberikan mereka 1001 pengajaran.

"Weh Man, asal rumah ketua kampung ni semacam je aku tengok. Kenapa tingkap dia semua pecah, lalang panjang gila, dinding dah berlumut, siapa duduk sini dulu?" soal Reza ketika melewati kediaman yang terbiar itu.

Tolong la kita pulang sekarang Man.

REZA

Wajah Aiman langsung berkerut apabila diajukan soalan sedemikian oleh Reza.

"Kenapa mulut kau gatal nak tanya juga eh? Okay la, aku cerita sikit tapi kau kena steady, jangan menggelabah. Macam ni, kalau berdasarkan apa aku baca internet waktu scouting tempat ni, diaorang cakap dekat sini dulu ada perkampungan.

"Tapi tiba-tiba pada satu malam tu, dalam 25 tahun lepas, kawasan sini bergegar seolah dilanda gempa bumi. Esok pagi, seorang renjer daripada kem berdekatan datang check tempat ni.

"Dan kau tahu tak, seluruh desa tu hilang, memang lesap seperti ditelan perut bumi. Apa yang tinggal hanyalah kawasan lapang dan rumah ketua kampung ni. Menariknya, tak ada satu pun media tempatan yang lapor tentang insiden tu.

"Macam sengaja hendak dibiarkan terpadam daripada lipatan sejarah negara. Cuma, kalau berdasarkan desas-desus, orang cakap penduduk kampung tu amalkan ilmu hitam dan akhirnya disumpah laknat.

Rumah usang pasti mempunyai masa silamnya tersendiri. -Gambar hiasan

"Itulah kisahnya, tapi aku tak percaya pun, mitos je tu. Lagipun tempat ni tengah viral la Za, apa yang kau nak takut. Rumah ketua kampung ni entah-entah pondok pengawal je sebenarnya. Dah, jom gerak!" kata Aiman menyedapkan hati.

Setibanya Aiman dan Reza di tapak perkhemahan, kelihatan kawasan itu lengang tanpa ada pengunjung yang lain walaupun jam sudah menunjukkan pukul 11 pagi.

"Fuh ini baru best Za, privacy habis. Seluruh tempat ini untuk kita seorang je. Kau tolong setting apa semua, aku nak terus terjun sungai. Dah panas badan ni, dapat mandi-manda memang syok.

"Aku tahu nanti bila aku naik, unggun api dah menyala dan khemah dah berdiri. Aku nak terus bakar ayam, lepas tu masuk tidur, memang syahdu.

"Boleh kan Za? Ini bukan first time kau camping, kau tu lagi otai kalau nak dibandingkan dengan aku," ujar Aiman memberikan arahan sambil Reza mengangguk lemah.

Dua pemuda itu langsung menghabiskan sepetang mereka menikmati keindahan alam di samping leka bersembang kosong.

Di kala senja

Menjelang Maghrib, Aiman dan Reza memasuki khemah serta menarik zip bagi menutup pintu, mereka berbaring sebelah-menyebelah, bersedia untuk tidur.

"Man, aku macam tak sedap hati la, kita berdua je manusia yang ada dekat sini, sempat lagi ni kalau kita nak balik," Reza menyuarakan kerisauannya.

"Santai je Za, tutup mata kau dan tidur, esok pagi kita nak bangun awal, boleh sambung mandi sungai," pujuk Aiman lantas terlelap, barangkali kepenatan setelah seharian bersuka ria.

Tik, tik, tik, bunyi jarum jam berdetik kedengaran secara sayup-sayup.

Aiman dilihat berjalan berseorangan di tebing sungai, hala tujunya entah ke mana, langit malam pekat tidak menunjukkan sebarang cahaya bulan dan bintang. Mata Aiman memutih, tanpa ada iris dan pupil hitam.

Tiba-tiba, dari seberang sungai, muncul bebola api menghampiri Aiman. Bebola api itu saiznya sebesar bola sepak.

Turut kedengaran daripada bebola api itu adalah suara garau yang berkecamuk bunyinya, tidak dapat dipastikan apa yang dibicarakan.

Air yang tenang juga boleh membawa bahaya. -Gambar hiasan

"Berambus kamu sebelum dibinasakan," antara ayat yang dapat ditangkap daripada suara itu sekiranya diamati dengan teliti.

Aiman kemudian secara mengejut direntap dari belakang sehingga kepalanya terhantuk pada sebuah batu. Impak hentaman menyebabkan Aiman tidak sedarkan diri.

Tik, tik, tik, bunyi jarum jam berdetik kedengaran secara sayup-sayup.

Kicauan burung dapat didengari di luar khemah, hari seperti sudah pagi. Aiman perlahan-lahan membuka matanya.

Kelihatan Reza terbaring dalam keadaan mengiring menghadap Aiman, matanya terbeliak luas merenung, badannya bermandi peluh dan menggigil.

"Man, kau mimpi ke apa yang aku mimpi? Tolong la kita pulang sekarang Man," rayu Reza tersedu-sedu.

Dua sekawan itu kemudian terburu-buru meninggalkan kawasan perkhemahan mereka tanpa mengemas barang yang dibawa.

Dalam hati masing-masing, Aiman dan Reza berikrar untuk tidak sesekali kembali ke hutan lipur berkenaan, mereka mahu melupakan apa yang pernah terjadi dan apa yang wujud pada hari penuh misteri itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain