suria

Tak mahu tandatangan perjanjian, tuan rumah pula kena tanggung separuh bil elektrik! Ejen terkejut bakal penyewa ini letak syarat ‘gila’

Surat perjanjian perlu ditandatangani bagi mengelak masalah yang bakal timbul di kemudian hari. -Gambar hiasan

SEORANG ejen hartanah 'pening kepala' selepas calon penyewa menuntut permintaan melampau bagi sebuah rumah sewa berharga RM1,000 sebulan.

Menerusi tangkap layar perbualan di WhatsApp yang dikongsikan di laman Thread, calon penyewa wanita itu mengemukakan lima syarat utama yang mengejutkan dan dianggap mustahil untuk dipenuhi oleh mana-mana tuan rumah.

Antaranya, dia meminta semua bilik dipasang penyaman udara tetapi pemilik perlu menanggung separuh bil utiliti sekiranya jumlahnya melebihi RM200.

"Kemudian kena cat semula rumah dengan warna putih. Owner kena pasang table top dengan kabinet sebab barang masak saya banyak.

"Owner tak boleh ambil deposit utiliti. Kalau ambil deposit, saya nak tukar nama," kata wanita itu.

Selain  itu ia juga enggan menandatangani surat perjanjian sewa kerana tidak ingin terikat.

Tuan rumah layak menolak permintaan tidak masuk akal daripada penyewa jika ia bakal merugikannya. -Gambar hiasanTuan rumah layak menolak permintaan tidak masuk akal daripada penyewa jika ia bakal merugikannya. -Gambar hiasan

Daripada perkongsian itu, ada perkara penting yang perlu diberi perhatian serius terutamanya berkaitan isu perjanjian bertulis antara penyewa dan pemilik rumah.

Antara isu yang berpotensi berlaku termasuklah:

1. Bayaran sewa tidak menentu

Tanpa perjanjian bertulis, tuan rumah mungkin berdepan masalah kelewatan atau kegagalan bayaran sewa.

Malah, penyewa juga berkemungkinan tidak menjelaskan bil elektrik, air, internet, dan lain-lain tepat pada masanya.

2. Kerosakan harta benda

Perjanjian sewa biasanya mengandungi klausa 'Tanggungjawab Penyewa' yang menjelaskan siapa yang perlu menanggung kos pembaikan jika berlaku sebarang kerosakan.

Tanpa perjanjian ini, sukar untuk menentukan pihak yang bertanggungjawab.

3. Pertikaian sukar diselesaikan

Perjanjian sewa yang lengkap memperincikan peraturan dan tanggungjawab kedua-dua pihak. 

Jika berlaku pertikaian, ia boleh dirujuk kepada terma dalam perjanjian tersebut sebagai rujukan sah.

Tanpa dokumen ini, penyelesaian mungkin menjadi lebih rumit dan mengambil masa.

Semua urusan sewa rumah digalakkan dibuat berdasarkan perjanjian bertulis, bagi melindungi hak kedua-dua pihak. 

Tuan rumah juga tidak wajib memenuhi permintaan luar kontrak seperti penambahan perabot atau kelengkapan tanpa persetujuan bersama.

Artikel Lain