suria

Kualiti imej, pengecasan pantas antara ciri boleh dipertimbangkan untuk memiliki Huawei Nova 8

Huawei Nova 8 akhirnya memasuki pasaran tempatan selepas hanya dipasarkan di China pada Disember tahun lalu.

PASTI ramai peminat siri Huawei Nova yang menantikan kemunculan model Nova 8 di pasaran tempatan.

Selepas hanya mampu melihat ia dipasarkan di China sejak Disember tahun lalu, kini warga tempatan juga sudah boleh merasai sendiri pengalaman menggunakan peranti ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Menonton wayang, berkelah antara 4 aktiviti hujung minggu sebelum pandemik yang dirindui ramai

Sudah berada di pasaran, Huawei Nova 8 adalah peranti kelas pertengahan yang mampu memenuhi keperluan untuk kegunaan harian.

Mengetengahkan kelebihan pada pengecasan pantas, Huawei juga tidak ketinggalan menampilkan keupayaan kamera yang tidak mengecewakan selain rekaan eksklusif dalam kemasan warna Blush Gold.

Rekaan luar

Dengan berat hanya 169g, rekaan luar Huawei Nova 8 menempatkan dua butang (kekunci dan kawalan suara) di sisi kanan dan slot dual kad sim (micro sim) serta lubang mikrofon di bahagian atas.

Di bahagian bawah juga menempatkan lubang mikrofon, pengecas 'type-C' dan pembesar suara.

Peranti ini tidak mempunyai lubang audio maka pengguna perlu menggunakan penyesuai (adapter) untuk sambungan fon telinga.

Huawei Nova 8 turut direka dengan ukuran bezel nipis di bahagian sisi yang menjadikan telefon ini tampak lebih kemas selain memberikan keselesaan ketika memegangnya.

Spesifikasi dalaman

Di atas papan utama, Huawei menggantikan cipset Kirin 985 yang digunakan untuk Nova 8 di pasaran China kepada cip Kirin 820E buat pasaran luar. Ia juga menyokong rangkaian 5G. Prestasinya masih sama dan ia juga dipadukan dengan sistem operasi EMUI 11 yang setara seperti Android 10.

Ia digandingkan dengan dengan RAM 8GB dan storan 128GB yang biasa disediakan untuk model telefon dalam kelas ini. Telefon ini bagaimanapun tidak didatangkan dengan slot untuk kad memori.

Bateri

PENGECASAN pantas dengan pengecas 66W Huawei SuperCharge membolehkan peranti ini mencapai pengecasan penuh hanya dalam 35 minit.

Kuasanya dijana oleh kapasiti bateri 3,800mAh dan boleh bertahan sepanjang hari dengan kegunaan biasa. Kapasiti ini sedikit kecil untuk bertahan lama ketika menonton video atau bermain permainan video.

Bagaimanapun, peranti ini boleh dicas pantas dengan pengecas 66W Huawei SuperCharge. Ia boleh menyerap 60 peratus kuasa bateri dalam masa 15 minit dan mencapai pengecasan penuh hanya dalam tempoh 35 minit.

Paparan

PERANTI ini didatangkan dengan paparan skrin seluas 6.57-inch FHD+.

Huawei Nova 8 direka dengan skrin paparan melengkung OLED seluas 6.57-inch FHD+ dengan resolusi 2,340 x 1,080. Seperti kebanyakan skrin OLED, pengesanan cap jari juga beroperasi pada skrin.

Dengan 'refresh rate' 90Hz, paparan telefon lancar tanpa tersekat meskipun ketika bermain permainan video.

Kamera

TELEFON ini didatangkan dalam kemasan warna Blush Gold.

Di bahagian pengimejan pula, telefon ini mempunyai lubang di bahagian tengah atas skrin yang menempatkan kamera hadapan dengan sensor 32MP untuk swafoto. Ia juga merupakan ejen pengesanan biometrik muka.

Ia turut didatangkan dengan kuadkamera belakang yang menjadi tarikan untuk model ini.

Kamera dengan rekaan yang digelar sistem kamera nebular menempatkan kamera utama dengan sensor 64MP. Dua lagi kameranya mempunyai sensor 8MP untuk ultra-lebar dan 2MP untuk makro serta bokeh.

Kualiti imej merupakan antara kelebihan untuk telefon ini. Kawalan kemasukan cahaya, ketajaman serta fokus kamera ini dapat menghasilkan imej yang jelas dan terperinci meskipun ketika zum, mod malam atau menggunakan lensa lebar. Rakaman videonya juga tidak mengecewakan dan hasil rakaman juga jelas walaupun ketika bergerak.

Seperti peranti Huawei lain, model ini tidak disertakan dengan stor aplikasi Google Playstore. Ia juga tidak menyokong Google Mobile Services (GMS). Walau bagaimanapun, pengguna boleh mendapatkan aplikasi di Huawei App Gallery.

Untuk gaya hidup Huawei yang menyeluruh, peranti ini boleh digandingkan dengan aksesori Huawei lain seperti jam tangan pintar, tablet mahupun Huawei Matebook.

HUAWEI Nova 8 boleh disambungkan dengan Matebook untuk perkongsian paparan.

Secara keseluruhan, bagi mereka yang mahu mencari telefon baharu, Huawei Nova 8 boleh dijadikan opsyen untuk dipertimbangkan.

Harga peranti ini untuk pasaran tempatan juga berpatutan iaitu RM1,899. Kepada mereka yang berminat, Huawei Nova 8 boleh dibeli secara dalam talian atau terus ke stor fizikal Huawei serta wakil jualan yang berdekatan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain