suria

Bukan senang nak mandikan kucing, ambil tahu 5 cara bantu tenangkan si bulus anda!

Ada cara yang boleh dilakukan agar kucing anda berada dalam keadaan tenang ketika dimandikan.

MEMANDIKAN kucing sebenarnya bukan sesuatu yang disarankan apatah lagi jika ia dilakukan dengan kerap.

Ini kerana si bulus mempunyai kelebihan tersendiri dengan menjilat badannya yang terkena kotoran bagi membersihkan diri.

Bagaimanapun, tidak salah untuk memandikan kucing kesayangan anda terutamanya dalam situasi tidak menentu seperti faktor kesihatan dan penyakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Anda berhajat pelihara si bulus? Kenali 5 jenis kucing berbulu pendek yang sering jadi rebutan

Berikut adalah kaedah terbaik untuk mandikan si bulus kesayangan anda.

1. Potong kuku

Sebelum memandikan kucing, sebaik-baiknya potong kukunya terlebih dahulu bagi mengelakkan ia mencakar anda ketika ia dimandikan.

Kukunya yang panjang boleh menyebabkan anda terluka sekaligus merumitkan proses memandikannya.

2. Pilih tempat sesuai

Anda perlu mencari tempat sesuai untuk mandikan si bulus serta menyediakan semua kelengkapan.

Ini kerana kebarangkalian kucing cuba melarikan diri sangat tinggi. Jadi anda perlu berhati-hati, bimbang tergelincir atau perkara tidak diingini lain berlaku.

3. Produk yang tepat

Pemilihan produk seperti syampu perlu bersesuaian dengan kucing kerana bimbang ia dapat memberi kesan buruk kepada kulitnya.

Pastikan anda membersihkan keseluruhan badannya terutamanya di bahagian celah kaki, telinga dan sebagainya.

4. Air

Elakkan memandikan kucing dengan air yang terlalu sejuk atau panas. Air suam lebih sesuai bagi menenangkan si bulus.

Siram air secara perlahan-lahan dan sebaik-baiknya mulakan dengan bahagian punggung dan ekor.

Jangan sesekali merendam seluruh badan kucing ke dalam singki atau baldi yang penuh dengan air kerana ia boleh membuatkan kucing tertekan.

5. Tuala

Gunakan tuala untuk mengeringkan bulunya. Jika anda mempunyai pengering rambut, ia juga boleh digunakan bagi mempercepatkan proses pengeringan bulunya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain