JIKA anda masih tertanya-tanya kenapa ramai begitu taksub dengan patung berbulu, bermata besar dengan senyuman pelik yang diberi nama Labubu, anda tidak keseorangan.
Namun di sebalik wajah patung 'ugly-cute' ini, tersembunyi empayar bernilai berbilion dolar kerana Labubu kini berada di mana-mana termasuklah di tangan selebriti antarabangsa.
Disebabkan Labubu menjadi fenomena dunia, Pengasas Pop Mart International Group, Wang Ning kini menjadi individu ke-10 terkaya dan yang paling muda di China pada usia 38 tahun.
Menurut Forbes, nilai kekayaan bersihnya mencecah AS$22.7 bilion (sekitar RM107 bilion), meningkat hampir empat kali ganda sejak awal 2024.
Asal usul Labubu
Watak ini dicipta oleh Kasing Lung, seorang artis berdarah Hong Kong-Belgium yang terkenal dengan gaya seni 'raksasa comel'.
Labubu mula muncul dalam siri buku ilustrasi The Monsters pada 2015.
Pada 2019, Pop Mart mengambil langkah berani dengan melesenkan Labubu dan memasukkannya ke dalam koleksi 'blind box' di mana pembeli tidak tahu figura mana yang mereka perolehi sehingga kotak dibuka.
Elemen kejutan inilah yang membuatkan ramai pembeli muda menjadi 'gila', khususnya Gen Z (generasi Z).
Lisa Blackpink antara penggemar koleksi patung Labubu. -Foto Allkpop
Dari koleksi ke peringkat antarabangsa
Labubu kini muncul dalam ratusan rekaan dari rantai kunci hinggalah patung bersaiz manusia dan pernah dilelong pada harga AS$150,000 (sekitar RM632,000) di Beijing.
Antara peminat selebriti termasuklah Rihanna, Kim Kardashian, Lisa Blackpink dan Ananya Panday yang mana mereka pernah dilihat bergambar bersama figura ini.
Pop Mart 'meletup' lepas IPO (Tawaran Awam Permulaan)
Wang Ning memulakan Pop Mart pada 2010 sebagai kedai gaya hidup kecil di Beijing namun segala-galanya berubah selepas memfokuskan kepada pasaran art toys.
Apabila Pop Mart disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong pada 2020, pelaburannya melonjak 79 peratus pada hari pertama.
Kini Pop Mart memiliki kedai di bandar utama dunia seperti New York, London dan Tokyo serta membuka taman tema sendiri di Beijing.
Malah, jenama mewah seperti Coach dan Louis Vuitton juga sudah bekerjasama dengan Pop Mart.
Firma seperti Deutsche Bank dan Morgan Stanley juga kini menaikkan unjuran saham Pop Mart.
Berikut merupakan 10 individu terkaya di China setakat pertengahan tahun 2025.
1. Zhong Shanshan – AS$60 bilion (RM287 bilion)
Beliau merupakan pemilik Nongfu Spring, syarikat air mineral terbesar di China.
2. Zhang Yiming – AS$57 bilion (RM280 bilion)
Zhang merupakan pengasas ByteDance, sebuah syarikat induk kepada aplikasi terkenal TikTok.
3. Ma Huateng (Pony Ma) – AS$53 bilion (RM260 bilion)
Beliau merupakan pengasas Tencent, sebuah teknologi gergasi di sebalik aplikasi popular seperti WeChat dan permainan video Honor of Kings.
4. Lei Jun – AS$42 bilion (RM210 bilion)
Pengasas syarikat Xiaomi yang terkenal dengan telefon pintar dan peranti elektronik mampu milik.
5. William Ding – AS$39 bilion (RM195 bilion)
Beliau merupakan pengasas utama di sebalik NetEase, salah satu syarikat teknologi terbesar China yang memfokuskan kepada hiburan dan pendidikan.
6. Colin Huang – AS$34 bilion (RM170 bilion)
Pengasas Pinduoduo, platform e-dagang yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna luar bandar di China.
7. He Xiangjian – AS$32 bilion (RM160 bilion)
He merupakan pengasas Midea Group, jenama perkakas rumah yang terkenal di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
8. Jack Ma – AS$30 bilion (RM150 bilion)
Walaupun pernah ‘menghilang’, pengasas Alibaba ini kekal dalam senarai 10 teratas dengan empayar perniagaan yang masih kukuh.
9. Wang Chuan-fu – AS$25 bilion (RM125 bilion)
Beliau merupakan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) BYD (Build Your Dream), syarikat pembuat kenderaan elektrik yang bersaing rapat dengan Tesla di pasaran China dan global.
10. Wang Ning – AS$21 bilion (RM102 bilion)
Nama baharu dalam senarai ini. Wang Ning ialah pengasas dan CEO Pop Mart, jenama yang terkenal dengan patung koleksi ‘blind box’ seperti Labubu. -First Post