suria

Berkawan sampai berjaya bersama! 6 BFF sarung selempang pink, tekad raih ANC ketika semester satu jadi kenyataan

Enam sahabat baik ini berjaya merangkul Anugerah Naib Canselor. Dari kiri Nur Shazwani, Nurul Khalidah, Shahrul Hakem, Ahmad Lukman, Anis Farieda dan Siti Nur Arifah.

MENGGENGGAM segulung ijazah merupakan detik yang paling bermakna buat mereka yang bergelar mahasiswa.

Lebih manis apabila berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dan mengecapi nikmat tersebut bersama rakan-rakan seperjuangan.

Siapa yang tidak bangga dan teruja apabila dapat menyarung jubah lengkap dengan selempang berwarna pink!

Begitulah kisah enam sahabat ini yang berjaya menamatkan pengajian dengan meraih Anugerah Naib Canselor (ANC) sewaktu Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), minggu lalu.

Menurut Ahmad Lukman Rusli, dia dan lima lagi sahabatnya iaitu Nur Shazwani Ahajani, Nurul Khalidah Khalid, Shahrul Hakem Mohamed Shahrom, Anis Farieda Sharudin dan Siti Nur Arifah Ibrahim merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Pengurusan Perladangan.

"Kami mula berkenalan ketika mengikuti pengajian peringkat diploma di kampus UiTM Jasin, Melaka pada 2015. Persahabatan menjadi akrab sehingga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

anc 3

Bergambar bersama rakan sekuliah ketika Hari Konvokesyen, minggu lalu.

"Ketika awal-awal menjadi rakan sekuliah lagi, kami berenam senang antara satu sama lain dan daripada situ, kami bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh untuk meraih Anugerah Naib Canselor.

"Bermula dengan tekad tersebut, kami berpegang teguh untuk berjaya bersama-sama atau berkumpulan, bukan hanya individu yang seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing sahaja.

"Lagipun, nampak manisnya pengakhiran perjalanan kita sebagai seorang penuntut apabila kecapi kejayaan bersama rakan-rakan," ujar pemuda berusia 25 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula mak ayah tak restu, risau tiada masa depan... Graduan perubatan buktikan keupayaan diri, jadikan seni sebagai kerjaya

Bercerita mengenai kaedah pembelajaran yang diamalkan bersama rakan-rakannya, pemuda yang senang disapa sebagai Lukman ini berkata, mereka lebih gemar mengulangkaji bersama-sama agar dapat bertukar idea dan buah fikiran.

"Cara kami, sentiasa amalkan belajar berkumpulan supaya kita dapat mendengar pendapat setiap orang. Perbezaan pendapat itulah kita gunakan sebagai satu cara untuk menambah ilmu pengetahuan.

"Memang terbiasa untuk kami kongsi ilmu, idea, tip secara berkumpulan tanpa ada yang terpinggir. Takkan kita nak berjaya seorang diri kan? Selalunya kami gunakan medium grup WhatsApp.

"Ketika Covid-19 melanda pada 2020, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak mengubah cara belajar kami.

Memang terbiasa untuk kami kongsi ilmu, idea, tip secara berkumpulan tanpa ada yang terpinggir. Takkan kita nak berjaya seorang diri kan?

AHMAD LUKMAN RUSLI

"Ini kerana sebelum ini kami selalu berjumpa malah sampai pagi buat assignment bersama-sama. Apabila di rumah, komitmen masing-masing berbeza. Oleh itu kami cari satu masa yang semua orang free untuk belajar sama ada menerusi panggilan video atau Google Meet," ujarnya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Tambah Lukman, mereka berenam juga begitu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum sewaktu bergelar penuntut.

"Kalau ada group assignment yang berenam, memang kami berenam sepakat jadi ahli kumpulan. Tak ada orang lain dah.

"Selain itu, kami juga aktif menyertai pertandingan yang dianjurkan universiti malah pernah memenangi pertandingan inovasi," tambahnya.

Lukman kini berkhidmat di Pejabat Risda di Kota Kinabalu, Sabah dan dalam masa yang sama sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Sains Teknologi Pengurusan Perladangan.

anc 2

Enam sahabat ini memasang tekad mahu meraih Anugerah Naib Canselor ketika semester pertama diploma.

"Lima rakan saya yang lain juga kini semuanya sudah mempunyai karier masing-masing dalam sektor pertanian.

"Di kesempatan ini, saya mewakili rakan-rakan ingin mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para pensyarah, rakan sekuliah dan ibu bapa yang sentiasa memberi semangat dan dorongan untuk berjaya.

"Untuk adik-adik yang bakal menjadi graduan atau melangkah ke alam pekerjaan, guna ruang dan peluang yang ada. Fokus juga bidang ko-kurikulum sebab ia ada nilai tambah yang menjadikan kita graduan holistik.

"Akhir kata, ingat... tak ada yang mustahil kalau ada tekad dalam diri," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain