suria

Bermula sebagai penternak kambing di laman rumah mentua, kini Mr. Pepper ada kilang sendiri - “Pandemik sedarkan saya...“

Mohamad Fahmy (kanan) memulakan perniagaan menternak kambing sebelum mengeluarkan produk kambing perapan dibawah jenama Mr Pepper.

JIKA kita membaca kisah kejayaan seorang usahawan, tiada seorang pun daripada mereka yang berjaya membina sebuah empayar tanpa perlu melalui cabaran dan kejatuhan sebelum berjaya.

Ia juga bukti bahawa bukan mudah untuk membangunkan sebuah perniagaan apatah lagi sekiranya tiada sebarang ilmu dan jika tersilap langkah, boleh memusnahkan semua usaha yang telah dilakukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah makan biskut kering cicah air paip... wanita ini bangkit selepas dihina! - “Kini giliran saya bantu mereka yang terkesan“

Begitu juga bagi pengasas produk Mr. Pepper, Mohamad Fahmy Jamil, lima tahun berkecimpung sebagai usahawan telah banyak dilalui sehingga adakalanya pernah berasa ingin berputus asa.

Paling memberi kesan adalah ketika negara diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu. Mohamad Fahmy mengakui berasa panik dengan situasi itu kerana tidak tahu apa harus dilakukan memandangkan hampir semua sektor ekonomi tidak dibenarkan beroperasi.

"Masa PKP semua panik, semua sektor ditutup bagi mengekang penularan Covid-19. Saya sendiri tidak tahu hendak buat apa tetapi mengambil keputusan untuk menutup operasi selama dua minggu.

Mohamad Fahmy Mr Pepper.

Berkat usaha, produk Mr Pepper kini sudah memasuki pasaran Singapura dan Brunei.

"Jualan ketika itu langsung tiada, dalam masa yang sama nak bayar hutang pembekal dan kos operasi termasuk gaji pekerja. Memang ada rasa nak mengalah," katanya kepada mStar.

Bagaimanapun menurut Mohamad Fahmy, selepas mengambil tempoh bertenang, dia sedar berputus asa bukanlah jalan terbaik yang perlu diambil sebaliknya terus berjuang kerana sudah terlalu banyak kepayahan sudah dilalui bagi membina empayar perniagaannya.

Ini termasuk cabaran mengharungi berkaitan ilmu perniagaan ketika mula-mula berkecimpung dalam bidang perniagaan termasuk pemasaran, produksi, pengurusan perniagaan dan pengurusan kewangan.

Meskipun banyak kesilapan dilakukan ketika itu namun apabila melihat kembali dia berjaya mengharungi semua cabaran itu, dia yakin dapat melalui situasi sukar ketika ini dengan baik.

"Pengalaman ketika di awal berjinak-jinak dalam perniagaan banyak membentuk diri saya hari ini. Rasanya dahulu ada lebih banyak cabaran terpaksa saya hadapi malah pernah membuat pinjaman sehingga RM200!

Apabila pandemik berlaku saya sedar ada perkara yang boleh dikawal dan sebaliknya. Jadi saya dan pasukan mengambil inisiatif untuk memfokuskan kepada apa yang boleh kami kawal dan ubah.

MOHAMAD FAHMY JAMIL

PENGASAS MR PEPPER

"Tapi saya komited, tidak pernah berputus asa dan sentiasa belajar daripada kesilapan dan pengalaman. Jadi kali ini juga saya yakin mampu melakukannya," ujarnya.

Bercerita mengenai penglibatannya dalam dunia perniagaan, Mohamad Fahmy yang pernah berkhidmat sebagai anggota tentera selama 10 tahun memberitahu sejak dibangku sekolah lagi dia memang minat berniaga.

Malah pernah berniaga secara sambilan dengan menjual pelbagai produk seperti pakaian kanak-kanak, rumpai laut dan biskut raya sebelum diterima masuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategik.

"Ketika itu saya berniaga kerana berniat untuk mengubah nasib keluarga tetapi pada masa sama saya memang berminat buat bisnes sehinggakan saya pernah jual macam-macam benda.

"Alhamdulillah pengalaman yang tak seberapa itu sedikit sebanyak membantu saya memahami selok-belok perniagaan," ujar anak kelahiran Muar, Johor ini.

WhatsApp Image 2021-08-12 at 5.50.05 PM (2)

Jika sebelum ini hanya beroperas di rumah ibu mentuanya, kini Mohamad Fahmy sudah mempunyai kilang sendiri.

Selepas mengambil keputusan menamatkan perkhidmatannya bersama angkatan tentera, Mohamad Fahmy mengambil keputusan berpindah ke rumah ibu mentuanya di Alor Gajah, Melaka pada 2015 untuk memulakan perniagaan.

Ketika itu, dia mengambil keputusan untuk menternak kambing secara kecil-kecilan di kawasan rumah ibu mentuanya untuk dijual kepada pelanggan.

Perniagaan itu semakin berkembang dan dia bersama keluarga mentuanya mula membuat perkhidmatan kambing golek dan katering di sekitar Melaka dan sambutan diterima cukup memberangsangkan.

"Atas permintaan ramai itulah saya mula mengeluarkan produk kambing perap dan seterusnya memperkenalkan jenama Mr. Pepper. Alhamdulillah bermula dengan perniagaan secara pemilikan tunggal kini bertukar kepada syarikat sendirian berhad pada tahun lalu," katanya.

Mengakui bukan mudah memperkenalkan dan menguatkan jenama Mr. Pepper kepada pelanggan namun dia menjadikan perkara itu sebagai cabaran dan ia mula menunjukkan hasil memberangsangkan.

WhatsApp Image 2021-08-12 at 5.50.07 PM (2)

Mohamad Fahmy memeriksa sendiri semua stok produk sebelum dijual kepada pelanggan.

"Sikit demi sedikit saya bina nama Mr. Pepper. Daripada adik-beradik, saudara-mara, kenalan rapat, berniaga di bazar, jualan dalam talian, semuanya saya lakukan.

"Daripada perniagaan yang dibantu oleh adik-adik ipar dan beroperasi di rumah ibu mentua, kini Alhamdulillah kami sudah pun mempunyai kilang sendiri dan staf seramai 20 orang.

"Paling membanggakan produk ini bukan sahaja boleh didapati di Melaka tetapi seluruh Malaysia termasuk Singapura dan Brunei," ujarnya.

Ketika musim pandemik ini, Mohamad Fahmy memberitahu dia menukar semua strategi perniagaan selain memperkuatkan pemasaran dalam talian, pangkalan data dan sebagainya.

Tanpa disangka katanya, formula itu membuahkan hasil apabila jualan meningkat berbanding sebelum PKP iaitu RM600,000 pada 2019 kepada RM3 juta (2020).

WhatsApp Image 2021-08-12 at 5.50.07 PM

Proses perapan dan pembungkusan dilakukan dengan teliti agar kualitinya terjamin.

"Apabila pandemik berlaku saya sedar ada perkara yang boleh dikawal dan sebaliknya. Jadi saya dan pasukan mengambil inisiatif untuk memfokuskan kepada apa yang boleh kami kawal dan ubah.

"Alhamdulillah percaturan itu membuahkan hasil dan Insya Allah kami sasarkan jualan RM5 juta tahun ini dengan pengeluaran 150 tan daging kambing," jelas bapa kepada dua cahaya mata ini.

Ditanya mengenai produk kambing perap yang dipilihnya sebagai perniagaan teras, Mohamad Fahmy menerangkan, makanan sejuk beku itu mempunyai kumpulan peminatnya yang tersendiri dan berpotensi besar dengan permintaan daripada pasaran yang semakin luas di seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai produk Mr.Pepper, beliau memberitahu, selain memiliki rasa sos perapan kambing perap yang menyelerakan, ia juga terkenal kerana dagingnya yang lembut dan tidak liat dan boleh dimasak dalam masa 10 minit untuk mendapatkan menu masakan yang sempurna.

Harganya di antara RM35 hingga RM49 mengikut saiz berat pakej dan RM29 untuk ayam perap itu juga mampu dimiliki oleh semua kategori pelanggan.

Kilang yang memiliki pensijilan halal itu juga menghasilkan produk yang tahan lama disimpan kerana cara pembungkusannya melalui vakum akan membolehkan kualiti makanan terus terjaga.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Bapa Qi Razali meninggal dunia