suria

Pernah dibuli kerana hidap disleksia, Zaim kini bangkit... hanya mahu ingat memori indah

Zaim Iskandar Husni tidak pernah menjadikan kekurangan dirinya sebagai alasan untuk mengecap kejayaan.

DISLEKSIA tidak pernah menghalang remaja ini daripada mencapai cita-cita dan aspirasinya untuk berdiri atas kaki sendiri serta mengecap kejayaan seperti orang lain.

Bagi Zaim Iskandar Husni, dia percaya dengan kesabaran dan kesungguhan, sesiapa pun, bahkan mereka yang mempunyai 'kekurangan' pasti boleh berjaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Membesar sebagai 'slow learner' bukan alasan cipta kejayaan... Madiha Fuad kini uruskan 5 syarikat, bangun aplikasi bantu individu murung

Disahkan menghidap disleksia pada usia sembilan tahun, Zaim mengakui ketika awal persekolahan di tadika dan sekolah rendah dia mengalami kesukaran sebelum keluarga menyedari masalah dihadapinya.

"Sukar bagi saya untuk menyesuaikan diri. Saya masih ingat, kesukaran saya dan rakan sekelas yang terpaksa mencatat semasa guru menulis di papan hitam.

"Setiap perkataan itu seolah-olah melonjak ke papan hitam sementara beberapa huruf bahkan muncul ke belakang, terbalik atau berkumpul bersama,” katanya.

Zaim, 23, memberitahu gurunya ketika itu juga tidak dilatih untuk mengenal pasti masalah pembelajaran yang dihadapi murid sekali gus menyukarkan dirinya mendapat pertolongan sewajarnya.



Zaim (dua dari kiri) bersama ibu bapanya (tengah) dan dua adik beradik yang menjadi tulang belakang kejayaannya dan penyokong terbesarnya.

Bagaimanapun penilaian oleh pakar kanak-kanak ketika itu mengesahkan dia menghidapi disleksia sebelum keluarga mendaftarkan dirinya ke pusat disleksia bagi membolehkan dia belajar dengan teknik yang betul.

Selepas menghabiskan beberapa bulan di pusat itu, Zaim memberitahu dia kemudian kembali ke sekolah rendah biasa yang tanpa disedari tetap mempunyai cabaran tertentu untuk insan sepertinya.

"Saya terpaksa menerima keadaan dibuli oleh rakan sekelas dan juga rakan sebaya. Ini merupakan pengalaman pahit bagi saya semasa bersekolah, ” ujarnya.

Di sebalik setiap cabaran dan kesukaran, Zaim bagaimanapun memberitahu dia tetap mempunyai pelbagai memori indah ketika zaman persekolahannya.

Malah dia sentiasa mengingati dan berterima kasih terhadap rakan-rakan yang baik hati serta keluarga yang membantu membentuk siapa dirinya hari ini.

“Ibu bapa adalah tulang belakang kejayaan saya. Mereka telah memberi saya sokongan dan kasih sayang yang tak terhingga, dan mereka terus mendorong saya untuk melalui sebarang kesulitan, ” katanya.

Saya terpaksa menerima keadaan dibuli oleh rakan sekelas dan juga rakan sebaya. Ini merupakan pengalaman pahit bagi saya semasa bersekolah.

ZAIM ISKANDAR HUSNI

"Saya juga mempunyai adik beradik dan rakan-rakan yang luar biasa. Mereka yang tetap menjadi penyokong terbesar saya!" tambah pelajar yang bersemangat itu, yang kini mengikuti Diploma Pengurusan Hotel di INTI International College Subang (INTI).

Menceritakan pengalamannya sepanjang pandemik ini, Zaim berkata sukar baginya untuk menyesuaikan diri dengan kelas dalam talian sepenuhnya.

Zaim juga memberitahu berasa sedih tidak dapat berinteraksi secara fizikal atau bertukar idea dengan rakan sekuliah dan pensyarahnya disebabkan pandemik.

Meskipun begitu, dia berasa sangat beruntung kerana mendapat sokongan pensyarah di INTI yang komited untuk terus membantunya berjaya dalam akademik.

“Sejak saya memulakan pengajian di INTI, para pensyarah saya sangat membantu, sabar dan berdedikasi. Mereka tidak pernah putus asa, dan komitmen tanpa lelah mereka itu telah menjadi inspirasi kepada saya untuk terus belajar, ” katanya.

Zaim turut menyatakan dia juga menghargai inisiatif pihak pengurusan yang telah memberikannya masa tambahan sewaktu peperiksaan berlangsung.



Zaim, yang merupakan peminat Formula 1 dan kereta, bergambar pada pelancaran BMW 2019.

Ini katanya adalah sebagai sebahagian daripada amalan terbaik mereka untuk menyokong pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran atau yang memerlukan keperluan khas.

Sebagai pelajar tahun akhir diploma, Zaim berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya atau mendapat pekerjaan setelah perintah kawalan pergerakan ini dilonggarkan.

Impian utamanya adalah untuk menguruskan rangkaian hotel sendiri dan dia bertekad untuk merealisasikannya.

"Terdapat ramai orang hebat yang terus berjaya melakukan kehebatannya di dunia ini, meskipun berhadapan dengan kesukaran dalam pembelajaran seperti disleksia.

"Antaranya adalah seperti Albert Einstein, Thomas Edison, Henry Ford, Muhammad Ali, Sir Richard Branson, dan Jamie Oliver. Manakala di Malaysia, kita mempunyai Kapten

James Anthony Tan, rakyat Malaysia pertama yang terbang secara solo mengelilinggi dunia pada tahun 2013. Jika mereka boleh hadapi rintangan untuk mengejar impian mereka, saya pun boleh," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain