SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mengimpikan kehadiran zuriat sebagai pelengkap keluarga.
Namun, dalam usaha mendapatkan anak, ramai lelaki kurang menyedari risiko yang perlu ditanggung oleh isteri terutamanya jika melibatkan kelahiran secara pembedahan atau 'luar tingkap'.
Seorang pakar sakit puan (OBGYN), Dr Amirah berkongsi kisah seorang wanita berusia 35 tahun yang berhasrat untuk menambah cahaya mata.
Wanita ini telah menjalani lima kali pembedahan caesarean (czer) bersama suami pertamanya.
Kini, dia sedang hamil anak keenam bersama suami baharunya, menjadikan bilangan pembedahan yang perlu dilaluinya adalah enam kali.
Lebih membimbangkan, suaminya bercadang untuk mempunyai tiga anak dengan wanita itu, justeru isterinya perlu menjalani pembedahan sehingga lapan kali.
Jadi, timbul persoalan adakah selamat untuk seorang wanita melahirkan anak berulang kali melalui kaedah ini?
Seorang ibu hamil berhasrat untuk menambah anaknya bersama suami baharu. -Gambar hiasan
Risiko pembedahan czer berulang kali
Menurut Dr Amirah, semakin banyak kali seseorang wanita menjalani pembedahan czer, semakin tinggi risiko komplikasi yang boleh menjejaskan kesihatan.
Antara risiko utama yang perlu diberi perhatian termasuk:
1. Pendarahan berlebihan- Setiap kali pembedahan dilakukan, risiko kehilangan darah bertambah tinggi yang boleh mengancam nyawa ibu.
2. Penipisan dinding rahim- Semakin banyak kali czer dilakukan, semakin nipis dinding rahim sehingga boleh menyebabkan masalah serius termasuk koyakan rahim.
3. Gangguan kepada organ lain- Pembedahan berulang kali meningkatkan kemungkinan organ dalaman seperti pundi kencing dan usus tercedera.
4. Lekatan (adhesi) antara rahim dan ari-ari- Keadaan ini boleh menyukarkan pembedahan seterusnya dan meningkatkan risiko komplikasi serius.
Seorang wanita berdepan pelbagai risiko apabila beranak secara czer.
Perlukah menjalani prosedur sterilisasi?
Jika seorang wanita telah menjalani lima atau enam kali czer, doktor biasanya akan menasihatkan agar menjalani prosedur pensterilan.
Proses ini melibatkan proses mengikat atau memotong saluran peranakan untuk mengelakkan kehamilan seterusnya yang berisiko tinggi.
Berdasarkan pengalaman Dr Amirah, pasangan perlu berbincang dengan doktor untuk menilai keadaan dan membuat perancangan keluarga dengan lebih baik selepas tiga kali czer.
Dr Amirah turut menegaskan bahawa prosedur ikat saluran peranakan tidak akan menjejaskan keinginan seksual atau kitaran haid wanita.
Sebaliknya, ia boleh menjadi pilihan terbaik untuk mengelakkan risiko komplikasi berbahaya akibat kehamilan berulang kali melalui pembedahan.