suria

Pakar saran formula menabung tak membebankan! Gaji RM3,000 boleh letak RM900 di bank kemahuan

Boros berbelanja atau tiada perancangan kewangan hanya akan membawa padah. -Gambar hiasan

GAJI yang diperoleh daripada hasil kerja keras pastinya mahu dibelanjakan dengan bebas.

Namun, seseorang itu perlulah berhati-hati, tidak berjoli atau mengikut hawa nafsu dalam berbelanja, risau membawa kerugian di kemudian hari.

Menerusi perkongsian pakar kewangan, Adam Zubir di laman TikTok, didedahkan satu petua bagi membantu mereka yang dihimpit isu ini.

Antaranya mewujudkan akaun tambahan dikenali sebagai bank kemahuan, selain dua akaun utama dalam pengurusan kewangan iaitu bank keperluan dan bank simpanan.

Tip ini sangat sesuai bagi mereka yang bergaji dalam lingkungan RM3,000 dan anda boleh menyimpan sehingga RM1,500 sebulan.

Apakah itu bank kemahuan'?

Menurut Adam, dalam keghairahan kita untuk menyimpan duit, kita juga perlu meletakkan wang pada satu tempat yang kita boleh berbelanja sakan seperti makan mewah atau pergi bercuti.

Barulah adil. Jadi di sinilah fungsinya diwujudkan bank kemahuan.

Formula yang dikongsikan Adam Zubir.

Pecahan agihan kewangan

Adam mencadangkan formula 50-20-30. Bermaksud, 50 peratus daripada gaji anda yang berjumlah RM3,000 dimasukkan ke dalam bank keperluan, iaitu sebanyak RM1,500.

Kemudian 30 peratus ke dalam bank kemahuan iaitu sebanyak RM900. Akhirnya baki 20 peratus iaitu RM600 diletakkan ke dalam bank simpanan.

Formula ini adalah ideal bagi mereka yang tinggal di pinggiran bandar dan kos sara hidup tidak terlalu tinggi.

Namun, bagi mereka yang menetap di ibu kota, Adam memberikan alternatif formula 80-10-10.

Bermakna RM2,400 untuk bank keperluan, RM300 untuk bank simpanan dan RM300 seterusnya untuk bank kemahuan.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain