suria

MDEC latih 30,000 usahawan mikro... Sasar jualan berjumlah RM35 juta

Gobind Singh Deo (tengah) merasmikan eUsahawan dan Gig Fest pada Selasa.

KEUSAHAWANAN merupakan nadi ekonomi negara.

Sama seperti sektor lain, usahawan dan ahli perniagaan juga perlu mengikuti peredaran dunia digital sekiranya tidak mahu ketinggalan.

Justeru itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bertekad untuk melengkapi komuniti sasaran iaitu individu, graduan serta perusahaan mikro, kecil dan Sederhana (PMKS) dengan kemahiran literasi digital.

Ia penting untuk memastikan mereka dapat berkembang maju, berdaya saing dan kekal relevan dalam sektor ekonomi digital hari ini.

Perkara tersebut mendapat sokongan penuh Menteri Digital, Gobind Singh Deo ketika berucap merasmikan Karnival eUsahawan dan Gig 2024 anjuran MDEC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.

"MDEC menawarkan dua program berimpak tinggi iaitu Program eUsahawan dan Program Global Online Workforce (GLOW), seiring usaha kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara dalam sektor keusahawanan dan gig.

"Sejak program ini dilaksanakan pada tahun 2015, MDEC berjaya melatih seramai 563,543 usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion," ujar Gobind.

Gobind Singh Deo menyampaikan ucapan di majlis perasmian eUsahawan dan Gig Fest.

Tambah Gobind, terdapat tiga sektor yang menjadi penyumbang utama kepada jualan terkumpul berkenaan.

"Antara tiga sektor utama yang menyumbang kepada jualan terkumpul adalah sektor makanan dan minuman (F&B) dengan catatan sebanyak 40 peratus serta sektor kecantikan dan kesihatan sebanyak 25 peratus.

"Tidak dilupakan juga sektor gaya hidup dan pakaian sebanyak 15 peratus. Untuk sasaran program eUsahawan pada tahun 2024, MDEC akan melatih seramai 30,000 peniaga.

"Mereka terdiri daripada usahawan mikro dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan sasaran jualan berjumlah RM35 juta," kata Gobind.

Dalam pada itu MDEC akan turut menyediakan 100 hab baharu di lokasi strategik seperti universiti serta pusat komuniti bagi membolehkan usahawan tempatan mendapat pendedahan mengenai teknik pemasaran digital.

Bukan itu sahaja, menerusi program Global Online Workforce (GLOW), MDEC menyasarkan latihan kepada 5,000 pelajar IPT dengan menyediakan kemahiran digital untuk mendapatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi di platform pekerjaan gig serantau.

Menerusi program GLOW, MDEC membantu seramai 105,390 peserta dan menjana pendapatan sehingga RM282.76 juta setakat akhir tahun lepas.

GLOW yang dilaksanakan MDEC sejak 2016 bertujuan mengasah kemahiran dan pengetahuan rakyat.

Khususnya mereka yang diberhentikan kerja, dipotong gaji dan graduan yang menganggur sehingga akhirnya berjaya menjadi freelancer atau pekerja bebas digital di platform tempatan dan antarabangsa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain