suria

Berapa umur terbaik khatan anak lelaki? Ini teknik, 5 aspek penjagaan selepas bersunat ibu bapa perlu tahu

Trend masa kini menyaksikan bayi seawal usia sebulan telah dikhatankan.

PROSES berkhatan melibatkan anak lelaki merupakan amalan biasa dalam kalangan masyarakat di negara kita.

Biasanya, kanak-kanak akan 'disunatkan' apabila mereka berumur sekitar 12 tahun, namun tradisi itu dilihat semakin berubah pada hari ini.

Menurut Pengarah Perubatan dan Pemilik Klinik Iris, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman, trend masa kini menyaksikan bayi seawal usia sebulan telah dikhatankan yang mana ia sebenarnya lebih senang untuk dijaga dan dirawat.

"Dahulu berkhatan selalu dilakukan kepada kanak-kanak lingkungan usia sekolah rendah hingga menengah rendah. Tapi sekarang, kita sudah melihat trend bahawa anak lelaki seawal usia sebulan ke atas juga sudah boleh dikhatankan.

"Betul. Dah banyak bayi yang berjaya dikhatankan dan tekniknya juga sama seperti khatan kanak-kanak usia sekolah rendah. Sebenarnya lebih senang penjagaan pada bayi yang masih kecil, senang untuk dikawal, tidak meronta-ronta atau berdrama sewaktu proses berkhatan dan rasa sakit mereka juga lebih sekejap.

dr arisman

Pengarah Perubatan dan Pemilik Klinik Iris, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman.

"Kebersihan pada alat sulit mereka lebih awal dijaga dapat mengelakkan jangkitan kuman yang senang berlaku," ujarnya.

Berikut merupakan teknik berkhatan yang sering menjadi pilihan:

1. Teknik Dorsal slit atau Teknik Freehand (konvensional) - Teknik ini perlu jahitan. Alat yang digunakan untuk memotong kulup ialah gunting atau diathermy (selalu disebut masyarakat sebagai laser).

2. Teknik Clamp (moden) - Atau dipanggil berkhatan menggunakan devices (circumcission via devices), misalnya Alisklamp, Ismailclamp, Smartklamp. Teknik ini tidak memerlukan jahitan.

3. Teknik Sutureless (moden) - Teknik ini masih jarang digunakan iaitu teknik menggunakan gam tisu dermabond. Ia dilakukan tanpa jahitan.

4. Teknik Gun stapler, gabungan klamp dengan jahitan, dan macam-macam lagi. (Sangat jarang)

Berikut merupakan perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa:

1. Pantau perdarahan - Selalu pantau sama ada berlaku perdarahan yang aktif atau tidak. Perlu sediakan kain kasa jika ada perdarahan sedikit-sedikit maka boleh lakukan compression di rumah.

Segelintir ibu bapa memilih untuk melakukan khatan ke atas bayi mereka seawal usia sebulan.

2. Pemakaian - Pakai seluar yang longgar atau kain pelikat atau seluar dalam khatan. Banyak jual secara online sekarang.

3. Diet - Lebihkan makanan yang tinggi protein untuk proses luka cepat sembuh. Misalnya ayam dan telur. Makan telur tidak akan buat luka jadi nanah!

4. Ubat - Diberikan ubat tahan sakit. Paling selamat adalah ubat Paracetamol. Ada krim ubat antibiotik dan ada air garam untuk membersihkan dan menjaga luka di rumah.

5. Basahkan dengan air bersih tempat jahitan luka supaya luka tidak menjadi bentan. Biasanya doktor akan berikan air garam dan lakukan sitz bath (duduk berendam dalam bekas besar untuk membersihkan bahagian alat sulit dan kawasan sekitarnya, mengelakan sakit dan juga gatal) di rumah.

Yang penting, jangan letak minyak gamat, daun-daun herba, krim produk tidak sepatutnya pada tempat jahitan luka kerana ia boleh mengundang jangkitan kuman, pesan Dr Arisman lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain