suria

Ada beza di antara asma, bronkitis dan penyakit tibi... gejala lebih buruk jika terkena Covid-19, kawal sebelum parah!

Semenjak penularan Covid-19, ramai mengalami sindrom pasca wabak itu termasuk batuk berterusan.

BANYAK dilaporkan tentang bekas pesakit Covid-19 terpaksa bergelut dengan sindrom long covid meskipun sudah disahkan bebas daripada wabak itu.

Antara gejala yang biasa dialami adalah seperti kelesuan, sukar tidur pada waktu malam, batuk berpanjangan dan kesukaran bernafas.

Gejala seperti ini pastinya membimbangkan bagi pesakit asma kerana jika terkena Covid-19, pasti keadaan mereka akan bertambah buruk.

Pakar Perunding Perubatan dan Paru-Paru, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa bagaimanapun berkata, sindrom pasca Covid-19 boleh berlaku dan ia boleh memberi kesan lebih serius kepada pesakit asma.

Ini kerana pesakit asma sememangnya mempunyai masalah saluran pernafasan yang lebih sensitif berbanding individu biasa.

SMCV_mStar.Media.Buy.Poster

Pakar dalam bidang kesihatan wanita dan kanak-kanak di Sunway Medical Centre Velocity (SMVC).

“Setelah pesakit asma terkena Covid-19, saluran pernafasan yang sensitif tadi boleh menjadi semakin serius. Oleh itu, pesakit asma yang terkena jangkitan ini perlu lebih berhati-hati dan memastikan ubat-ubatan yang diberi oleh doktor digunakan dengan baik dan sempurna,” katanya.

Pun begitu kata Dr Nurul Yaqeen, ia juga bergantung kepada tahap penyakit asma dan bagaimana kawalan simptom penyakit tersebut dikawal.

Jelasnya, sekiranya penyakit asma itu adalah pada tahap terkawal dan pesakit tidak mempunyai simptom serta telah lengkap tiga dos vaksinasi Covid-9, maka risikonya adalah rendah.

ARTIKEL BERKAITAN: Cara bedung yang salah boleh jadi salah satu punca Hip Dysplasia? Ketahui simptom untuk mengenal pasti masalah ini

“Sebaliknya jika pesakit berada di tahap tidak terkawal, dan simptom asma juga sangat teruk serta tidak mendapat vaksinasi lengkap, maka risiko semakin tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 tahap serius.

“Tahap keseriusan jangkitan juga bergantung kepada banyak perkara termasuklah usia pesakit, faktor penyakit kronik lain seperti diabetes, darah tinggi, masalah jantung serta tidak mendapat vaksin yang lengkap,” ujarnya.

809e3514-aa99-42fc-97d5-4a362cbb67b8

Terdapat perbezaan di antara asma dan bronkitis.

Beza asma dan bronkitis

Menjelaskan mengenai penyakit asma, Dr Nurul Yaqeen berkata, asma adalah keradangan yang terkait dengan saluran pernafasan.

Ia berpunca daripada saluran pernafasan yang terlalu sensitif sehingga mudah tersumbat jika terdedah kepada habuk, asap, udara tercemar, cuaca sejuk atau jangkitan virus dan bakteria.

“Ia biasa berlaku dalam kalangan orang yang mempunyai sejarah keluarga penyakit yang sama atau mempunyai alahan kulit atau resdung.

“Berlainan pula dengan bronkitis, ia hampir sama dengan asma tetapi boleh berlaku dalam kalangan orang biasa yang tidak mempunyai sejarah keluarga, alahan kulit atau resdung dan bersifat sementara serta boleh sembuh setelah mendapat rawatan.

“Berbeza dengan asma, ia merupakan penyakit kronik yang memerlukan ubat dan kawalan simptom sepanjang hayat,” jelasnya.

Dr Nurul Yaqeen New

Pakar Perunding Perubatan dan Paru-paru, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa.

Kongsi Dr Nurul Yaqeen, gejala yang biasa berlaku dalam kalangan pesakit asma dan bronkitis adalah sesak nafas, dada berasa sempit, batuk berpanjangan, batuk pada waktu malam dan berbunyi berdehit (wheezing).

Jelasnya lagi, faktor pencetus serangan asma dan bronkitis juga adalah berbeza-beza bagi setiap individu.

Sebagai contoh, seseorang itu lebih mudah mendapat serangan sekiranya terdedah kepada cuaca sejuk dan asap rokok.

Selain itu kata Dr Nurul Yaqeen, terhidu sesetengah jenis minyak wangi atau melakukan aktiviti senaman juga boleh mengundang masalah asma dan bronkitis.

“Namun begitu, secara umumnya, faktor persekitaran sangat memainkan peranan penting dalam mencetuskan serangan asma dan bronkitis. Persekitaran udara yang bersih boleh membantu mengurangkan risiko serangan asma dan bronkitis,” katanya.

Asap Rokok

Terdedah kepada asap rokok juga boleh menjadi pencetus serangan asma dan bronkitis.

Ujian spirometry boleh mengesan asma, pelbagai kaedah rawat pesakit

Bagi mengesan penyakit asma, Dr Nurul Yaqeen berkata, biasanya ujian Spirometry akan dilakukan bagi mengukur isipadu udara yang dihembus keluar daripada paru-paru dalam masa sesaat atau ‘forced expiratory volume in one second’ (FEV1).

Selain itu, kaedah tersebut juga boleh mengukur isipadu udara yang terkandung di dalam paru-paru ketika pernafasan biasa atau ‘forced vital capacity’ (FVC).

“Setelah ujian dilakukan, ini diikuti dengan pemberian ubat ‘bronchodilator’ untuk melihat peningkatan ukuran FEV1 sebelum dan selepas rawatan.

“Kaedah ini juga dipanggil ‘reversibility testing’. Kaedah ini boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit asma dan juga penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD),” terangnya.

Bagi merawat pesakit, Dr Nurul Yaqeen memberitahu perkara paling penting adalah mengenal pasti faktor pencetus dan cuba mengelakkan diri daripada terdedah kepadanya.

732x549_THUMBNAIL_Spirometry

Ujian Spirometry dilakukan bagi mengukur isipadu udara yang dihembus keluar daripada paru-paru dalam masa sesaat atau ‘forced expiratory volume in one second’ (FEV1).

Sebagai contoh, jika pesakit mengenal pasti asap rokok adalah penyebab serangan asma, maka dia hendaklah berhenti merokok atau menjauhkan diri daripada perokok.

Jelasnya lagi, inhaler juga sangat penting mengikut cadangan doktor dan penggunaan alat itu mempunyai pelbagai tahap dan jenis bergantung kepada tahap pesakit berkenaan.

“Sekiranya asma seseorang itu sangat tidak terkawal, maka dia mungkin perlu menggunakan dua atau tiga jenis inhaler untuk mengawal penyakitnya.

“Terdapat juga ubat-ubatan tablet yang boleh membantu mengawal penyakit asma. Selain itu, sangat penting juga untuk mengawal penyakit- penyakit yang terkait dengan asma seperti ekzema, resdung dan sebagainya.

“Jika penyakit yang terkait dengan asma ini tidak terkawal dengan baik, maka penyakit asma itu juga akan sukar dikawal dan dirawat,” katanya.

how-to-manage-asthma-in-kids-alt-722x406

Penggunaan inhaler boleh membantu pesakit asma.

Sementara itu, bagi pesakit Covid-19 dan golongan berisiko, Dr Nurul Yaqeen berkata, mereka perlu memastikan diri untuk mendapat vaksinasi lengkap.

Ini termasuklah vaksin influenza dan pneumococcal yang boleh membantu memelihara paru-paru mereka bukan sahaja daripada jangkitan Covid-19 tetapi juga jangkitan virus influenza dan bakteria lain yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru.

“Mereka juga perlu memastikan orang disekeliling sudah mendapat vaksinasi lengkap kerana persekitaran sangat penting dalam memastikan kesihatan mereka terjamin.

“Sekiranya pesakit dikelilingi orang-orang yang sihat, maka risiko untuk mendapat serangan asma yang terkait dengan jangkitan Covid-19 menjadi rendah,” katanya.

Jangan pandang ringan bahaya Tibi!

Dalam perkembangan lain, Dr Nurul Yaqeen turut melahirkan kebimbangan apabila masih ramai yang tidak peka terhadap penyakit tuberkulosis atau tibi, malah ada segelintir pesakit mengambil ringan tentangnya.

752333-tb-patient-02

Penyakit tibi juga mempunyai bahaya yang tersendiri dan tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, masih ada pesakit yang enggan menghabiskan ubat-ubatan mengikut preskripsi kerana menyangka mereka sudah pun sembuh sedangkan rawatan ubat Tibi ini perlu dihabiskan selama minimum enam bulan.

“Tuberkulosis atau tibi ini berpunca daripada bakteria ‘mycobacterium tuberculosis’ yang menyebabkan jangkitan di paru-paru dan ia disebarkan melalui udara.

“Apabila pesakit tibi ini batuk atau bersin, kuman daripada pesakit akan bertebaran di udara dan menjangkiti sesiapa sahaja yang menghidu udara tersebut.

“Kuman tibi ini akan memasuki tubuh pesakit melalui hidung, seterusnya pergi ke paru-paru dan menyebabkan jangkitan paru-paru,” katanya.

Menjelaskan mengenai golongan berisiko mendapat tibi, Dr Nurul Yaqeen berkata, ahli keluarga atau rakan terdekat paling rentan terhadap kuman itu kerana berada dekat dengan pesakit.

Medications prescribed

Penting untuk menghabiskan ubat selama minimum enam bulan.

Ini termasuk golongan warga emas, kanak-kanak, golongan yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, masalah jantung dan perokok tegar kerana sistem imunisasi mereka lebih rendah berbanding individu sihat.

“Jika terlewat mendapat rawatan, tibi boleh membawa maut. Selain itu, tibi juga boleh menyebabkan masalah paru-paru kronik seperti paru-paru berparut (fibrosis) dan saluran pernafasan bengkak (bronchiectasis).

“Tibi paru-paru juga boleh merebak ke organ lain hingga menyebabkan masalah jangkitan tibi ke otak, kulit, jantung, hati dan lain-lain,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Dr Nurul Yaqeen, rawatan segera boleh menyelamatkan nyawa dengan syarat pesakit perlu memastikan ubat dimakan selama enam bulan.

Jelasnya, rawatan ubat tibi terdiri daripada dua bulan fasa insentif dan empat bulan fasa sambungan di mana empat jenis antibiotik perlu diambil selama dua bulan, diikuti dengan dua jenis antibiotik selama empat bulan.

“Lawatan ke klinik setiap dua bulan juga perlu dilakukan bagi memantau respons terhadap rawatan di mana ujian x-ray akan dilakukan secara berkala bagi memastikan pesakit Tibi sembuh dengan baik,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain