suria

Saintis universiti di Singapura guna peranti kesan masalah kemurungan, bakal perluas kajian libatkan 1,000 koresponden

Masalah kemurungan semakin banyak dilaporkan terutamanya sejak dunia dilanda pandemik.

SAINTIS dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura (NTU) telah membangunkan program berkomputer yang mampu mengesan individu berisiko tinggi untuk mengatasi masalah kemurungan.

Program ramalan itu menganalisis aktiviti fizikal, corak tidur dan ritma sirkadian melalui data daripada peranti yang boleh dipakai seperti jam tangan Fitbit.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan percaya minum air kencing mampu cegah Covid-19, ada 5 masalah lain menanti!

Percubaan terhadap 290 koresponden pada 2019 selama tiga bulan menunjukkan bahawa program ini mempunyai ketepatan 80 peratus dalam mengesan mereka yang mengalami kemurungan (atau berisiko tinggi mengalami gejala depresi) berbanding individu yang sihat.

Koresponden yang berusia di antara 21 dan 69 tahun itu dipakaikan alat pengesan selama dua minggu. Usia purata peserta adalah 33 tahun.

Pengarah Pusat Sains Kesihatan Penduduk, Fakulti Perubatan Lee Kong Chian, Profesor Josip Car yang mengetuai kajian itu berkata, pasukannya sedang merancang kajian lebih besar terhadap 1,000 koresponden yang dipantau selama dua tahun bagi memperhalusi dan menambah baik algoritma pengesanan mesin itu.

1456043

Profesor Josip Car memberitahu peranti seperti jam tangan Fitbit digunakan untuk mengesan data koresponden.

Josip berkata sesiapa boleh menyertai kajian itu tanpa sebarang kriteria tertentu.

Sementara itu, masalah kemurungan telah memberi kesan kepada 264 juta orang di seluruh dunia dan separuh daripadanya tidak dikesan dan dirawat menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Institut Kesihatan Mental pula pada Ogos tahun lalu menjelaskan kajian terhadap 1,000 koresponden mendapati 13 peratus daripadanya menunjukkan simptom kebimbangan melampau (anxiety) dan kemurungan ketika pandemik Covid-19.

Sementara itu, Josip menjelaskan kajian yang dilakukan NTU bukan bertujuan untuk meramalkan kemungkinan seseorang mengalami kemurungan, sebaliknya bagi mengesan jika seseorang itu menunjukkan sebarang risiko.

Kemurungan

Masalah kemurungan tidak boleh dipandang ringan.

Pasukan penyelidikan itu juga kata Josip turut menemui corak tertentu dalam tingkah laku seseorang yang boleh dikaitkan dengan gejala kemurungan seperti perasaan tidak berdaya dan putus asa, kehilangan minat dalam aktiviti harian, perubahan selera makan dan berat badan.

Mereka yang mempunyai kadar denyutan jantung berbeza antara pukul 2 pagi dan 4 pagi, dan antara 4 pagi dan 6 pagi lebih terdedah untuk menunjukkan gejala kemurungan lebih teruk.

Ini mengesahkan penemuan daripada kajian terdahulu yang mendapati bahawa perubahan dalam kadar denyutan jantung semasa tidur mungkin merupakan penanda fisiologi yang sah untuk depresi.

"Corak tidur yang tidak teratur, seperti waktu bangun dan waktu tidur berbeza-beza juga dikaitkan dengan kecenderungan yang lebih tinggi untuk mengalami gejala kemurungan," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain