suria

Awas! Pesakit diabetes boleh jadi lebih teruk kalau tak elak 5 menu sedap sarapan pagi ini - Kajian

Penghidap diabetes perlu melakukan amalan pemakanan yang seimbang agar dapat mengawal kandungan gula dalam badan tanpa menjejaskan kesihatan.

SARAPAN pagi sudah sebati dengan masyarakat Malaysia, malah telah menjadi rutin dalam kehidupan sehari-hari sehingga adakalanya pesakit kencing manis lupa akan beberapa perkara yang perlu dielakkan ketika makan pagi.

Memilih menu sarapan pagi yang betul adalah penting untuk membantu mengawal diabetes.

ARTIKEL BRKAITAN: Dah jadi tabiat baring selepas makan? Hati-hati... Ketahui risikonya jika anda masih lakukan amalan ini

Bagaimanapun, penghidap diabetes cenderung mempunyai keterbatasan terhadap pengambilan makanan bagi mengelakkan kandungan gula yang tinggi.

Berikut adalah lima jenis sarapan pagi yang perlu dielakkan oleh pesakit kencing manis, termasuk;

1. Roti, nasi, dan pasta

Roti bukan dari sumber gandum, nasi dan pasta ialah makanan berkarbohidrat tinggi. Makanan jenis ini telah terbukti meningkatkan paras gula dalam darah - ia perlu dielakkan penghidap diabetes tahap satu atau tahap dua.

Menurut portal Healthline, dalam hipotesis mereka, walaupun pasta bebas dari sumber gluten namun ia tidak menjamin bahawa makanan itu bebas gula.

Kajian lain juga mendedahkan bahawa makanan berkarbohidrat tinggi bukan sahaja meningkatkan gula dalam darah, tetapi boleh mengurangkan fungsi otak pada penghidap diabetes tahap 2.

Pesakit kencing manis dinasihatkan supaya tidak makan roti, nasi dan pasta. Mereka boleh menggantikan ketiga-tiga makanan dengan makanan yang tinggi serat di samping dapat memperlahankan penyerapan gula ke dalam aliran darah.

2. Bijirin manis

Pengambilan bijirin untuk sarapan pagi boleh mendatangkan kesan buruk kepada pesakit kencing manis.

Walaupun produk bijirin sering mempunyai slogan 'sihat', tetapi ini bukanlah pilihan yang tepat untuk penghidap diabetes.

Untuk mengatasi rasa lapar tetapi masih mengekalkan paras gula dalam darah, penghidap diabetes perlu mengambil makanan yang rendah karbohidrat dan kaya dengan protein.

Kebiasaannya, bijirin adalah salah satu sekatan diet untuk pesakit diabetes.

3. Yoghurt dengan rasa buah

Yogurt mempunyai banyak jenis, tetapi yogurt dengan perisa buah buahan bukanlah pilihan yang baik untuk penghidap diabetes.

Yogurt yang mempunyai rasa biasanya dibuat daripada susu rendah lemak dan serat, dicampur dengan karbohidrat dan gula. Ini boleh meningkatkan gula darah dan insulin dalam badan.

Pesakit kencing manis dinasihatkan mengambil yogurt tanpa gula dan perisa atau yogurt kosong.

Selain mengelakkan rintangan gula, ia juga bermanfaat untuk mengawal berat badan dan mengekalkan kesihatan usus.

4. Jus buah-buahan

Kandungan gula dalam jus buah menyebabkan ramai pesakit kencing manis tidak dinasihatkan untuk mengambil minuman ini.

Senang kata, tanpa gula jus minuman tiada rasa, kerana ramai orang yang menganggap gula sebagai penambah rasa tanpa mengambil kira hal buruk yang mungkin berlaku.

Oleh itu, jus buah pada waktu sarapan pagi perlu dielakkan oleh pesakit kencing manis.

Sebaliknya, pengambilan air dengan hirisan limau (Infuse Water) boleh menjadi alternatif untuk mengalihkan pengambilan jus buah. Kandungan dalam air infusi ini hanya kurang daripada 1 gram karbohidrat, dan hampir bebas kalori.

5. Kentang goreng

Kentang goreng agak tinggi kandungan karbohidrat dalam kumpulan makanannya. Sebiji kentang bersaiz sederhana sebelum digoreng mengandungi 11.8 gram karbohidrat.

Sementara itu, apabila kentang dikupas dan digoreng dalam minyak sayuran, ia menghasilkan 36.5 gram karbohidrat.

Makanan yang digoreng dalam minyak sayuran telah terbukti menghasilkan sejumlah besar sebatian yang bahaya untuk kesihatan.

Beberapa kajian menyebut pengambilan kentang goreng dan makanan bergoreng lain berisiko tinggi menghidap penyakit jantung dan kanser. Inilah yang menjadikan kentang goreng sebagai jenis sarapan pagi yang perlu dielakkan oleh pesakit kencing manis.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

diabetes, penyakit diabetes, gula, nasi, pasta

Artikel Berkaitan

Artikel Lain