suria

Bertabahlah! Bukan sahaja derita hidap leukimia, 2 kanak-kanak ini diuji lagi... kali ini kehilangan insan tersayang

Nur Syafiza Alyaa Syamsuddin (dua dari kiri) bersama ibu, Habibah Abdul Majid dan Nur Dina Fahana (dua dari kanan) bersama bapanya Mazlan Abu Bakar reda dengan ujian.

AIR mata lelaki ini tumpah sebaik sahaja terkenang saat pemergian isteri tercinta tahun lalu selepas lima tahun bertarung melawan kanser payudara.

Semua memori indah bersama isteri, Rubiah Daud mula menerpa di dalam minda Mazlan Abu Bakar selain bagaimana kanser telah meragut kebahagiaannya dan tiga anak mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidap kanser, wanita ini tak nak layan perasaan cuma ‘semak’ kepala berdepan soalan orang tak sensitif - “Dah nak kena, tak boleh buat apa... terima sajalah, kita kena terima!”

Lebih memilukan, anak keduanya, Nur Dina Fahana Mazlan turut disahkan menghidap leukimia pada 2019 ketika dia lebih banyak memberi perhatian kepada isteri yang sedang menjalani rawatan.

"Usianya baru 11 tahun ketika itu... Saya masih ingat anak mengadu dia sering berasa penat meskipun hanya berjalan dalam jarak dekat dan wajahnya sentiasa nampak pucat.

Fahana 2

Nur Dina Fahana bersyukur keadaannya semakin pulih dan berjanji untuk menjaga bapanya dengan baik.

"Tanpa berfikir panjang saya terus membawanya ke Hospital Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan dan hati saya sebagai seorang bapa luluh apabila anak kesayangan saya disahkan menghidap leukimia," katanya kepada mStar.

Demi isteri dan anak tercinta, Mazlan, 60, mengambil keputusan berhenti kerja sebagai seorang penjaga stor dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menjaga dua insan penting dalam hidupnya.

Tiada apa dalam fikirannya selain ingin melihat kedua-dua mereka kembali sihat, namun Mazlan reda dengan perancangan Allah apabila belahan jiwanya pergi dahulu meninggalkan mereka sekeluarga.

"Semangat memang hilang apabila isteri meninggal dunia tetapi apabila terkenangkan anak yang masih bertarung melawan kanser saya jadi kembali kuat.

"Kasihan juga melihat dia terpaksa melalui rawatan kimoterapi tetapi Alhamdulillah keadaannya beransur pulih," ujarnya.

Fahana

Nur Dina Fahana gembira mendapat Happy Box daripada pengasas BeeBudz Honey iaitu Nur Haizan Ghazali.

Sementara itu, Nur Dina berkata, dia bersyukur kerana leukimia itu berjaya dikesan pada tahap awal dan sudah pun menyelesaikan semua rawatan kimoterapi pada 2019.

Meskipun belum bebas kanser sepenuhnya, namun kata Nur Dina dia berasa sihat dan sudah mampu melakukan pelbagai perkara termasuk ke sekolah.

"Sekarang masih menjalani rawatan susulan di HKL selain makan ubat diberikan doktor. Setakat ini, belum disahkan bebas kanser tetapi saya optimis dan yakin akan kembali sihat sepenuhnya dan boleh jaga ayah," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Dua dugaan mencabar, tawakal dan reda ujian Allah

Sementara itu, bagi Nur Syafiza Alyaa Syamsuddin, 15, yang juga disahkan menghidap leukimia pada 2019, dia mula sedar sesuatu tidak kena dengan dirinya apabila berasa mudah penat ketika berjalan, wajah menjadi pucat malah mengambil wuduk menjadi perkara cukup membebankan.

Namun remaja itu tidak pernah menyangka dia akan menghidap kanser malah tidak mengetahui mengenai penyakit dikenali sebagai leukimia kerana menyangka dirinya hanya mengalami sakit biasa.

Syafiza keluarga

Nur Syafiza Alyaa Syamsuddin bersama ibu dan tiga anak saudaranya.

"Bapa membawa saya ke klinik kesihatan untuk membuat pemeriksaan dan doktor sukar mengambil darah dan lebih mengejutkan apabila darah yang keluar cair seperti air sirap.

"Doktor terus merujuk saya ke Hospital Kuala Lumpur untuk berjumpa pakar dan selepas seharian melalui pelbagai pemeriksaan, doktor mengesahkan saya menghidap leukimia.

"Masa itu saya seperti tidak tahu apa-apa kerana tidak tahu pun apa itu leukimia tetapi saya kuatkan semangat apabila terkenangkan ayah dan ibu," katanya.

Namun katanya, perjuangannya melawan kanser bukan perkara mudah termasuklah ketika bapanya diserang angin ahmar pada 2020 sebelum meninggal dunia pada Ogos tahun sama.

"Ia memang dugaan berat terutamanya buat ibu tetapi saya reda dan lebih nekad untuk kembali pulih seperti sedia kala meskipun ada ketikanya saya tidak mahu meneruskan rawatan.

syafiza 3

Pelajar tingkatan tiga ini mahu bergelar pensyarah.

"Bagi saya kimoterapi tidak menyakitkan tetapi kesan selepas itu membuatkan rasa tidak selesa, cepat penat, ditambah pula rambut saya gugur sehingga kepala menjadi botak," katanya yang bercita-cita untuk bergelar seorang pensyarah.

Sementara itu, bagi ibu Nur Syafiza iaitu Habibah Abdul Majid, 52, kehilangan suami ditambah dengan keadaan anaknya memberi tamparan hebat kepadanya, namun reda dengan ujian yang menimpa.

Katanya, sebagai seorang ibu, hatinya hancur apabila mendapat tahu anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan menghidap kanser namun dia terima dugaan tersebut.

"Saya tawakal dan terima meskipun sedih. Apabila suami pula diserang angin ahmar, ujian itu memang hebat tetapi saya kuatkan semangat. Kekuatan itu datang daripada diri sendiri dan kesabaran terhadap ujian membuatkan saya reda dengan ujian daripada Allah," katanya.

Tak sihat tapi semangat bantu kanak-kanak kanser

Dua kisah pesakit barah itu turut membuka hati seorang pejuang kanser iaitu Salina Abdullah untuk tampil dengan kempen sumbangan Happy Box buat kanak-kanak penghidap kanser.

Sumbangan Makna

Salina Abdullah (paling kiri) menyerahkan cek sumbangan kepada wakil Majlis Kanser Malaysia (MAKNA), Mohd Tarmizi Abd Rahman.

Salina yang juga pengasas Hungry Hantoo Shop berkata, idea kempen itu diadakan bagi menggembirakan penerima selain usaha menyedarkan masyarakat tentang kanser yang dihidapi golongan kanak-kanak.

"Alhamdulillah kempen yang dimulakan tahun lalu telah berjaya menyumbang sebanyak 270 kotak Happy Box kepada pesakit kanser kanak-kanak di seluruh Malaysia.

"Di dalam kotak itu antaranya mengandungi buku nota, buku cerita, madu, pencuci tangan dan buku nota sumbangan BGCH For The Community untuk membuatkan kanak-kanak berasa gembira meskipun sedang bertarung dengan kanser," katanya yang turut mendapat sokongan dan kerjasama pengasas BeeBudz Honey, Nur Haizan Ghazali dan Majlis Kanser Malaysia (MAKNA).

Bercakap mengenai Happy Box, ia dijual pada harga RM85 sekotak dan bersyukur apabila usaha itu mendapat perhatian masyarakat yang membeli untuk disumbangkan kepada pesakit kanser kanak-kanak.

Bagi tahun kedua penganjuran kempen itu, Salina berkata, pihaknya berhasrat untuk tampil dengan kempen Back to School dalam menyediakan keperluan bagi golongan ini kembali ke sekolah.

Makna Salina

Meskipun masih berjuang melawan kanser, Salina komited membantu pesakit barah lain terutamanya kanak-kanak.

Dalam perkembangan sama, Penolong Pengurus Projek MAKNA, Mohd Tarmizi Abd Rahman kagum dengan semangat Salina dalam usahanya membantu pesakit kanser meskipun dirinya sendiri sedang berjuang melawan barah.

"Inisiatif Salina dan pasukannya membantu pesakit kanser dalam keadaaannya sendiri tidak berapa sihat cukup mengagumkan. Saya harap program seumpama ini dapat diteruskan dan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk turut menghulurkan bantuan.

"Ini kerana masih ramai pesakit kanser terutamanya golongan kanak-kanak yang belum dicapai, program seperti ini bukan sahaja membantu tetapi dapat mewujudkan kesedaran tentang kanser," ujarnya.

Pada program lawatan ke rumah pesakit kanser itu, Salina turut menyerahkan cek sumbangan RM5,000 kepada MAKNA.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain