suria

Jangan anggap vertigo hanya sakit kepala... wanita, pesakit diabetes antara berisiko alaminya

Gejala vertigo apabila persekitaran dan diri tiba-tiba berpusing sehingga membuatkan diri berasa loya dan hilang keseimbangan dan rebah ke lantai.

MUNGKIN ramai daripada kita yang tidak pernah dengar atau mengetahui tentang penyakit dikenali sebagai vertigo.

Sebenarnya ramai di antara kita pernah mengalami situasi di mana diri sendiri, persekitaran atau kedua-duanya tiba-tiba bergerak atau berpusing sehingga membuatkan diri berasa loya dan hilang keseimbangan hingga rebah ke lantai.

ARTIKEL BERKAITAN: Aktiviti fizikal terapi berkesan bagi menjamin kesihatan jantung dan otak, tapi 6 golongan ini perlu dapatkan nasihat doktor sebelum bersenam

Menurut Pakar Audiologis Eartistic, Dr. Shasa Aziz, penyakit vertigo terjadi disebabkan keadaan yang menjejaskan bahagian dalam telinga atau sebahagian daripada otak manusia yang melibatkan keseimbangan badan.



Ramai menganggap vertigo adalah pening kepala atau migrain yang tidak memerlukan rawatan.

Jelas Dr. Shasa, vertigo juga terbahagi kepada dua iaitu periperal dan central.

1. Vertigo Periperal

Jelasnya, vertigo periperal disebabkan oleh masalah atau kecederaan di dalam bahagian dalam telinga iaitu Benign paroxysmal positional vertigo (BPPV) yang berkomunikasi dengan otak untuk mengawal keseimbangan.

Ia juga boleh terganggu atau bermasalah disebabkan pengambilan ubat-ubatan atau pernah mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

2. Vertigo Central

Manakala vertigo central pula kata Dr. Shasa disebabkan oleh masalah pada bahagian otak yang disebut cerebellum (yang mengawal keseimbangan badan manusia) yang memberi signal kepada tubuh.



Pakar Audiologis Eartistic, Dr. Shasa Aziz.

"Sebenarnya ramai daripada kita yang tidak sedar sakit kepala yang kita alami sehingga rasa berpusing dan hilang keseimbangan badan adalah gejala vertigo.

"Malah ramai merasakan situasi itu sebagai remeh sama ada ia hanya berlaku sekali atau merasakan ada sebab lain menyebabkan mereka berasa berpusing, loya serta hilang keseimbangan.

"Tetapi jika dibiarkan ia boleh membahayakan kesihatan dan sangat penting untuk mengenali punca, bahaya dan cara mengubatinya," katanya.

Sementara itu, Dr. Shasa menjelaskan selain diri dan persekitaran rasa berpusing dan hilang keseimbangan, gejala penyakit itu boleh bertambah parah sekiranya rasa sensasi berpusing itu berulang dan tidak berhenti walaupun pesakit dalam keadaan berdiri dan tidak bergerak.



Sensasi berpusing boleh berlaku secara berulang sehingga pesakit rebah akibat tidak dapat mengawal keseimbangan badan.

Selain itu, gejala lain penyakit vertigo termasuklah;

1. Mual dan muntah-muntah

2. Pergerakan anak mata yang tidak normal

3. Berpeluh

4. Teling berdengung dan hilang pendengaran

5. Rebah akibat sensasi berpusing

Sebenarnya ramai daripada kita yang tidak sedar sakit kepala yang kita alami sehingga rasa berpusing dan hilang keseimbangan badan adalah gejala vertigo.

DR. SHASA AZIZ

PAKAR AUDIOLOGIS EARTISTIC

Kebiasaannya, gejala ini akan hilang dan boleh kembali dalam beberapa minit, jam atau beberap hari. Bagaimanapun pesakit dinasihatkan untuk mendapat rawatan lanjut di hospital sekiranya pesakit mula menunjukkan kesukaran bercakap, anggota tubuh lemah, penglihatan kabur, pergerakan mata tidak normal, kesukaran berjalan dan demam.

Dalam perkembangan sama, Dr. Shasa menjelaskan vertigo tidak diboleh dianggap penyakit biasa tanpa sebarang rawatan kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Jelasnya, vertigo boleh memberi kesan kepada pendengaran sehingga dalam sesetengah kes pesakit hilang deria pendengaran.

Selain itu, serangan vertigo selama beberapa hari sehingga pesakit tidak mampu bergerak dan tiada koordinasi pada salah satu bahagian tubuh adalah petanda pesakit diserang penyakit angin ahmar atau masalah berkaitan otak.

"Vertigo juga boleh menyebabkan kehidupan normal seseorang bertukar menjadi beban kerana ia boleh mengganggu aktiviti harian memandangkan sukar untuk berdiri atau berjalan.



Bahaya jika kita biarkan gejala vertigo kerana ia boleh mengundang masalah lain seperti angin ahmar.

"Apabila sukar berdiri atau berjalan, pesakit mudah rebah kerana hilang keseimbangan badan dan jika tidak kena pada gaya, pesakit boleh mengalami kecederaan seperti patah tulang punggung atau tangan," jelasnya.

Pesakit juga tidak digalakkan untuk memandu kerana vertigo boleh menyerang dan pesakit akan hilang kawalan dan menyebabkan kemalangan.

Dr. Shasa memberitahu terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan gejala risiko termasuklah;

1. Mereka yang berusia lebih daripada 50 tahun

2. Wanita

3. Pernah mengalami kecederaan di kepala

4. Sejarah keluarga dengan penyakit vertigo

5. Penggunaan ubat-ubatan tertentu untuk jangka masa panjang

6. Pesakit diabetes

7. Sering mengalami tekanan

8. Jangkitan dalam telinga

9. Pengambilan alkohol



Gaya hidup yang sihat dalam mengurangkan risiko gejala vertigo.

Atas sebab itu juga kata Dr. Shasa, adalah sangat penting bagi pesakit atau mereka yang berisiko mengamalkan gaya hidup sihat bagi membendung diri daripada serangan vertigo.

Jelasnya, adalah sangat penting untuk menurunkan risiko vertigo termasuk memantau tekanan darah, kolestrol, berat badan dan kandungan gula dalam darah sentiasa berada di paras normal terutamanya bagi mereka yang berisiko.

Selain itu, hindar pergerakan secara tiba-tiba agar tidak terjatuh dan segera duduk sekiranya vertigo menyerang.

"Sebaik-baiknya gunakan bantal agar posisi kepala lebih tinggi ketika tidur dan lakukan senaman dan amalkan gaya hidup sihat," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain