suria

Kebiasaan baharu Aidilfitri... jika sukar patuh SOP elak terima tetamu - "Kita tak pasti di mana musuh paling senyap itu berada"

Hari Raya bakal disambut dengan suasana berbeza tahun ini.

SEMAKIN hampir lebaran, semakin kuat jugalah perasaan ingin balik kampung, tradisi yang sudah sinonim dengan amalan beraya warga kota.

Ada yang menyimpan cuti tahun semata-mata supaya dapat menghabiskan masa lebih lama di kampung beraya bersama emak dan ayah juga sanak saudara yang sekian lama tidak bersua.

Bertambah meriah suasana dengan lagu ‘Balik Kampung’ dendangan penyanyi tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Bagaikan tidak lengkap juga suasana menjelang lebaran sekiranya lagu berentak rancak ini tidak diputarkan oleh stesen radio dan televisyen.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak dapat balik beraya tanda kasih sayang kepada ibu bapa... elak mereka dijangkiti, kita mampu harunginya!

Namun, tahun ini, ‘Balik Kampung’ perlu ditangguhkan dahulu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas beliau Ahad lepas dengan rendah diri memohon kemaafan daripada rakyat Malaysia apabila mengumumkan “pulang ke kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tahun ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.”

Ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun, sebagai langkah untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.



Hari Raya tahun ini pastinya berbeza tanpa semua keluarga yang tidak dapat pulang ke kampung.

Ziarah norma baharu

Larangan balik kampung tidak bermakna umat Islam di negara ini tidak boleh meraikan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 24 Mei depan.

Bagaikan memahami gelojak hati rakyat, Perdana Menteri mengumumkan bahawa ziarah-menziarah dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

Namun bagi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula, lebih baik meraikan Aidilfitri sesama ahli keluarga di rumah sahaja dan abaikan kebenaran angka 20 yang ditetapkan itu kerana ia lebih selamat.

Mengulas mengenai ‘ziarah norma baharu’ ini, Dr Ku Suhaila Ku Johari berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian jitu bukan sahaja tuan rumah tetapi juga tetamu.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, bukan hanya meliputi aspek penjarakkan sosial, kebersihan, pemakaian penutup mulut dan hidung mahupun penyediaan cecair pembasmi kuman tetapi lebih daripada itu.

“Setiap rakyat Malaysia tidak boleh bersikap ambil ringan apabila diberi sedikit kelonggaran. Risiko penularan Covid-19 berkemungkinan besar boleh berlaku memandangkan kita tak pasti di mana ‘musuh dalam senyap’ itu dan bila jangkitan boleh berlaku.

“Sambutlah hari raya secara sederhana. Hormati dan titikberatkan aspek keselamatan, “ katanya kepada Bernama.



Rakyat tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Banyak perkara perlu dibuat

Bagi tuan rumah yang memasang hasrat untuk menerima kedatangan tetamu pada hari raya serta mereka yang mahu menziarah, ada banyak tanggungjawab yang perlu diberi perhatian.

Tetamu misalnya, mereka tidak boleh lagi bersikap ‘terjah sahaja rumah saudara-mara dan kawan-kawan’ dengan alasan ‘ala, inikan raya’. Norma baharu ialah telefon dahulu tuan rumah.

Mungkin ada yang tidak bersedia menerima kedatangan tetamu. Selidiki sama ada rumah yang ingin diziarahi itu mempunyai warga emas yang menghidapi penyakit kronik dan sebagainya.

Warga emas yang mempunyai penyakit berisiko tinggi sekiranya dijangkiti Covid-19. Difahamkan jumlah kes kematian bagi kes Covid-19 bagi individu 60 tahun ke atas adalah lebih 50 peratus, manakala bagi pesakit penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan darah tinggi, kes kematian adalah 85 peratus ke atas.

Biarpun demikian, sekiranya tuan rumah yakin boleh melaksanakan penjarakkan sosial untuk menerima kedatangan tetamu, Ku Suhaila berkata mereka boleh mempraktikkan amalan kebanyakan pusat membeli-belah atau mana-mana syarikat pada ketika ini.

Misalnya, tuan rumah bersama ahli keluarga bolehlah menandakan jarak 1 meter di lantai rumah untuk memudahkan urusan tetamu mengambil juadah supaya tidak berhimpit, menyusun kerusi dengan jarak sepertimana ditetapkan, menggunakan alat periksa suhu badan 2 buluntuk mencatatkan suhu badan setiap tetamu sebelum dibenarkan masuk ke dalam rumah, dan seterusnya mencatatkan nama dan nombor telefon setiap tetamu yang hadir.



Sambutan Hari Raya bersama keluarga terdekat sahaja.

“Ini antara yang perlu dilakukan tuan rumah selain memakai penutup mulut dan hidung, dan menyediakan cecair pembasmi kuman di setiap sudut rumah serta sabun dan membuat jadual kedatangan tetamu supaya tidak datang serentak.

“Kena sediakan juga stok penutup muka dan hidung kerana mungkin ada tetamu yang datang tidak memakainya. Walaupun kelihatan agak leceh dan janggal, sebagai tuan rumah, kita perlu menyediakan terbaik. Tetamu akan cenderung untuk menghormati tindakan berjaga-jaga tersebut.

“Sekiranya tuan rumah berasa sukar untuk melaksanakan, sebaiknya, elak daripada menerima tetamu, ” katanya.

Ahli rumah jadi pemantau

Menyedari risiko ada yang mungkin alpa dengan SOP, beliau berkata tuan rumah boleh melantik seseorang dalam keluarganya ataupun setiap daripada ahli keluarga berperanan sebagai ‘pemantau’.

Tugas pemantau adalah memastikan setiap tetamu mengikuti SOP serta mengamalkan disiplin kawalan kendiri di samping menegur secara berhemah sekiranya ada yang mula leka.

“Sekiranya ada warga tua yang beramah mesra dan tidak mempedulikan batas sentuhan, orang dewasa misalnya ketua keluarga perlulah memainkan peranan untuk memaklumkan.

“Namun begitu, sensitiviti warga tua harus dijaga. Kita boleh menggunakan pendekatan lebih menyenangkan seperti adanya teknik ‘humor’ atau bergurau, gaya bahasa sopan dan berhemah serta berkasih sayang untuk mengingatkan mereka SOP, ” katanya.

Selain itu, beliau berkata teknik cetakan kertas peringatan yang ditampal di setiap sudut rumah boleh dijadikan alternatif oleh tuan rumah supaya tetamu tidak alpa.

Ia boleh dibuat secara kreatif dengan penggunaan bahasa berhemah supaya tidak mencetuskan rasa kurang senang.



Rumah Terbuka Hari Raya juga tidak dibenarkan. Gambar hiasan.

“Misalnya, cetakan kertas peringatan boleh diselitkan sekali ucapan Hari Raya mahupun ucapan terima kasih kerana mematuhi SOP. Saiznya tidaklah perlu terlalu besar sehingga menampakkan seperti notis amaran.

“Boleh juga meletakkan notis di dalam bingkai gambar. Kaedah ini sedikit sebanyak mampu membantu mengingati SOP bukan sahaja tetamu tetapi juga tuan rumah, ” katanya.

“Ini antara yang perlu dilakukan tuan rumah selain memakai penutup mulut dan hidung, dan menyediakan cecair pembasmi kuman di setiap sudut rumah serta sabun dan membuat jadual kedatangan tetamu supaya tidak datang serentak.

“Kena sediakan juga stok penutup muka dan hidung kerana mungkin ada tetamu yang datang tidak memakainya. Walaupun kelihatan agak leceh dan janggal, sebagai tuan rumah, kita perlu menyediakan terbaik. Tetamu akan cenderung untuk menghormati tindakan berjaga-jaga tersebut.

“Sekiranya tuan rumah berasa sukar untuk melaksanakan, sebaiknya, elak daripada menerima tetamu, ” katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain