suria

Guna pengering tangan, topeng muka tak bermakna anda bebas Covid-19, ketahui 10 mitos wabak ini

Terdapat pelbagai andaian dan mitos disebarkan segelintir pihak mengenai Covid-19 yang ramai terpedaya.

PENULARAN wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di Malaysia telah membuatkan ramai daripada kita berasa takut dan panik.

Sehingga Rabu lalu, sebanyak 117 kes baharu dilaporkan dan pertambahan itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini sebanyak 790 kes.

Masih ada dalam kalangan pesakit positif Covid-19 pula sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Tidak cukup hanya bersih tangan, persekitaran juga penting!

Dalam pada itu, diketahui umum wabak ini telah mencatat dua kematian di Sarawak dan Johor pada Selasa.


Orang ramai membuat pembelian panik.

Sementara itu, di laman sosial ramai mula menjadi 'pakar' apabila ada menyebarkan maklumat palsu termasuklah pelbagai mitos kononnya boleh menyembuhkan pesakit serta petua mengelak daripada terkena ancaman wabak itu.

Berikut adalah 10 mitos mengenai Covid-19 yang tidak seharusnya anda percaya seperti dilaporkan Medical News Today.

1. Menyembur klorin atau alkohol pada kulit dapat membunuh virus Covid-19 dalam badan

Mitos itu sama sekali tidak benar! Ini kerana menyembur alkohol atau klorin pada badan boleh mendatangkan kemudaratan terutamanya jika ia terkena mata atau masuk ke dalam mulut.

Meskipun kedua-dua bahan itu boleh membasmi kuman pada permukaan, ia tidak sepatutnya digunakan pada kulit. Apatah lagi membunuh virus dalam badan.

2. Hanya orang dewasa boleh dijangkiti wabak Covid-19

Virus itu boleh terdedah kepada sesiapa sahaja tidak kira usia. Bagaimanapun, individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes atau ashma, situasi mereka boleh jadi lebih buruk jika terkena jangkitan itu.

3. Individu dijangkiti Covid-19 akan mati

Kenyataan ini sama sekali tidak benar. Laporan yang dikeluarkan oleh Kawalan dan Pencegahan Penyakit China mendapati 80.9 peratus kes wabak itu dikategorikan sebagai tidak teruk.

4. Kucing dan anjing boleh sebar Covid-19

Ketika ini, kajian masih dilakukan mengenai kenyataan itu. Namun dalam satu kes di Hong Kong, anjing peliharaan seorang pesakit positif Covid-19 tidak menunjukkan sebarang simptom ia sakit.

Saintis masih berdebat tentang hal itu malah seorang profesor di Universiti Nottingham, UK memberitahu ia memerlukan kajian lebih menyeluruh terutamanya dalam membezakan jangkitan sebenar dan mengesan kehadiran virus itu pada haiwan.

5. Topeng muka dapat cegah jangkitan virus

Pekerja kesihatan menggunakan topeng muka khusus yang diikat ketat pada wajah bagi melindungi mereka daripada jangkitan. Bagaimanapun topeng muka pakai buang tidak dapat memberi perlindungan sama.

Ini kerana topeng muka pakai buang ini tidak dapat diikat ketat dan rapat pada wajah, kuman masih boleh menembusi mulut dan hidung. Jika seseorang itu mempunyai masalah kesihatan, memakai topeng boleh membantu melindungi orang lain daripada dijangkiti.

Bukan sahaja memakai topeng muka, kita turut disarankan untuk membasuh tangan dengan kerap serta menggunakan hand sanitizer.

6. Pengering tangan dapat bunuh kuman Covid-19

Ia hanya mitos, pengering tangan tidak mampu membunuh virus itu. Adalah lebih baik amalkan kerap membasuh tangan menggunakan sabun dan menjadi kebersihan diri.

7. Kita perlu berada dekat dengan individu positif Covid-19 sebelum dijangkiti

Semakin lama anda berada dengan individu dijangkiti virus itu namun tidak mustahil virus boleh berpindah dalam tempoh kurang 10 minit. Jangan ambil risiko!

8. Antibiotik dapat bunuh virus Covid-19

Antibiotik hanya berkesan terhadap bakteria, ia tidak mampu membunuh virus.

9. Pengimbas suhu badan boleh diagnos virus

Pengimbas suhu hanya boleh mengesan sama ada seseorang itu demam atau pun tidak. Simptom virus itu hanya muncul dua hingga ke 10 hari selepas dijangkiti.

Ini bermaksud seseorang yang dijangkiti boleh menunjukkan suhu badan normal sebelum menunjukkan simptom tertentu.

10. Bawang putih dapat cegah Covid-19

Ada kajian menyatakan bawang putih mungkin boleh melambatkan pertumbuhan sesetengah jenis bakteria. Pun begitu, Covid-19 disebabkan oleh virus, jadi tiada bukti mengatakan ia boleh melindungi individu daripada dijangkiti wabak itu.

Covid-19, Koronavirus, Virus, Wabak, Mitos

Artikel Lain