suria

Jangan ambil ringan diabetes, obesiti semasa hamil! Ketahui 5 komplikasi yang bakal menanti

NCD dan faktor risiko yang berkaitan tidak diberikan perhatian sewajarnya terhadap ibu hamil. - Gambar hiasan/PP

MENURUT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kematian global melibatkan ibu hamil menurun sebanyak 44% dari tahun 1990 hingga 2015.

Kebanyakan penambahbaikan difokuskan kepada punca kematian ibu yang paling biasa berlaku, termasuk komplikasi obstetrik seperti keguguran atau proses kelahiran yang sukar.

Bagaimanapun, punca tidak langsung seperti penyakit tidak berjangkit (NCD) dan faktor risiko yang berkaitan tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Dr. H. Krishna Kumar berkongsi jenis-jenis komplikasi yang biasa berlaku sekiranya si ibu menghidapi diabetes (sedia ada) atau mengalaminya semasa mengandung.

Ibu-ibu yang mengalami diabetes semasa hamil berdepan dengan pelbagai risiko sebelum dan selepas melahirkan bayi. - Life Span

1. Ibu: Pra-eklampsia atau konvulsi dan koma yang berlaku semasa seseorang sedang hamil atau selepas bersalin, bayi yang lahir mati (stillbirth) dan pembedahan caesarean.

2. Bayi: Kelahiran pramatang, trauma kelahiran, sindrom kesusahan pernafasan, hipoglisemia, pembentukan organ secara tidak normal semasa perkembangan fetus dan bayi bersaiz besar untuk usia kehamilan.

3. Kedua-duanya (dalam jangka masa panjang): Obesiti, diabetes jenis dua dan sindrom metabolik lain.

Sementara itu, jika ibu yang obes atau naik berat badan berlebihan semasa hamil, ini adalah komplikasi yang mungkin berlaku:

4. Ibu: Diabetes semasa hamil, pra-eklampsia, stillbirth, pendarahan, jangkitan dan pembedahan caesarean atau kelahiran instrumental.

5. Bayi: Bayi bersaiz besar untuk usia kehamilan, pembentukan organ secara tidak normal semasa perkembangan fetus, obesiti dan kelahiran pramatang.

Ibu yang naik berat badan berlebihan ketika hamil mungkin melalui kelahiran pramatang. - Timedotcom

NCD lain juga membawa kepada pelbagai komplikasi yang berkaitan semasa kehamilan.

Tambah membimbangkan, penyakit jantung adalah punca utama kematian ibu semasa kehamilan di kebanyakan negara maju.

Wanita yang mempunyai penyakit jantung sedia ada juga terdedah kepada komplikasi obstetrik dan jantung jika mereka hamil, dan mungkin dinasihatkan untuk tidak mengandung.

Wanita yang mempunyai NCD perlu menjalani kaunseling dengan pakar obstetrik ketika merancang untuk mengandung agar dapat memahami risiko yang bakal diambil.

Sekiranya mereka hamil, rawatan antenatal dan selepas bersalin yang betul dan tepat pada masanya adalah penting untuk memantau status kesihatan mereka. - Star 2

Artikel Lain