Kenali 6 jenis tentera iblis bersama godaan maha dahsyat untuk bawa manusia ke neraka - Ad-din | mStar

Kenali 6 jenis tentera iblis bersama godaan maha dahsyat untuk bawa manusia ke neraka

Hanya orang yang beriman dan beramal soleh dengan melakukan setiap pekerjaan ikhlas kerana Allah akan terselamat daripada godaan Iblis.

IBLIS adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah daripada api. Iblis juga merupakan musuh manusia yang nyata. 

Allah turut berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Tipu daya iblis merupakan helah yang sangat dasyat lagi menyesatkan. Iblis telah bersumpah kepada Allah untuk menyesatkan umat manusia sehingga ke hari kiamat untuk bersama-samanya berada dalam neraka.

ARTIKEL BERKAITAN: Migrain tanpa sebab dan kerap mimpi pelik antara 26 tanda terkena sihir

Ada enam peringkat godaan iblis dan syaitan yang telah disebut oleh Imam Ibnu Qayyim secara umum dan ringkas iaitu:

Khanzab ditugaskan untuk menggoda manusia ketika mereka mengerjakan ibadah solat. - Gambar Sekadar Hiasan

Pertama: Berusaha mengkafirkan manusia dan menyuruh manusia melakukan perbuatan yang syirik kepada Allah.

Kedua: Peringkat bid'ah (ciptaan baru ibadah) yang mana mereka berusaha untuk menjadikan manusia lebih suka mencipta perkara bid'ah dan beramal dengannya lebih daripada melakukan amalan sunnah. Jika bisikan ini gagal maka Iblis akan beralih kepada peringkat yang ketiga.

Ketiga: Iblis mendorong manusia melakukan maksiat dan membuat dosa besar serta mengingkari perintah Allah. Jikalau gagal, dia akan pergi ke peringkat yang keempat.

Keempat: Peringkat melakukan dosa-dosa kecil. Iblis akan berusaha untuk mendorong manusia melakukannya serta menjadikan manusia itu memandang kecil akan dosa-dosa ini. Jikalau manusia berjaya mengelaknya, dia akan pergi ke tahap kelima.

Kelima: Iblis akan berusaha menyibukkan manusia dengan hal ehwal yang harus sehinggakan mereka lalai dan menghabiskan waktu dengan perkara tersebut.

Keenam: Iblis berusaha menyibukkan manusia dengan amal ibadah yang kurang utama lalu tertinggalah dan terlupalah yang paling utama seperti melakukan puasa sunat dan lupa untuk qada puasa Ramadan.

Iblis akan berusaha menyibukkan manusia dengan hal ehwal yang harus sehinggakan mereka lalai dan menghabiskan waktu dengan perkara tersebut.

Iblis tidak akan putus dan berhenti untuk menggoda manusia dari segenap penjuru. Andai jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat iaitu kanan, kiri, depan ataupun belakang nescaya mana-mana jalan yang dilalui maka Iblis akan sentiasa menunggunya.

Hanya orang yang beriman dan beramal soleh dengan melakukan setiap pekerjaan ikhlas kerana Allah akan terselamat daripada godaan Iblis.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hijr ayat 39 dan 40: (39) Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (40)" Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dengan keikhlasan".

Di dalam Athar Salafussaleh, mereka menamakan tentera-tentera Iblis dalam kalangan syaitan kepada beberapa nama. Jadi marilah kita kenali mereka supaya kita sentiasa berwaspada akan setiap tipu daya makhluk durjana itu.

Daasim ditugaskan memecah-belahkan hubungan kekeluargaan sehingga berlakunya perpecahan dan pergaduhan antara suami isteri.

1. Tsabr

Ditugaskan untuk menghasut manusia yang ditimpa musibah. Dia akan menghasut mereka yang ditimpakan musibah oleh Allah supaya berlebih-lebihan dalam bersedih sehingga mereka tidak reda akan ujian Allah. Contohnya berlebih-lebihan meratapi kematian seseorang.

2. Al-A'war

Ditugaskan untuk menyuruh manusia melakukan zina dan menganggap perbuatan zina itu seperti dosa-dosa kecil. Al-A'war juga yang menghiasi perempuan-perempuan ajnabi supaya kelihatan lebih cantik dan menarik di mata lelaki-lelaki ajnabi. Contohnya seorang suami akan melihat isterinya hodoh berbanding perempuan-perempuan lain yang haram baginya. Begitu juga sebaliknya.

3. Miswath

Ditugaskan untuk menyuruh manusia membawa cerita dusta dan juga berita-berita palsu. Ini banyak terjadi di zaman yang serba canggih yang mana mereka dengan mudahnya memviralkan sesuatu berita tanpa mencari kebenaran terlebih dahulu sehingga mengaibkan seseorang.

4. Daasim

Ditugaskan untuk menyelinap masuk ke dalam seseorang yang menemui keluarganya lalu dia akan menampakkan cela mereka di matanya sehingga membuatnya marah.

Daasim juga memecah-belahkan hubungan kekeluargaan dengan menyusupkan keaiban suami ke mata isteri dan juga sebaliknya sehingga berlakunya perpecahan dan pergaduhan antara suami isteri dalam hubungan rumah tangga.

5. Zaknabur

Ditugaskan untuk menggoda manusia di pasar-pasar bagi menghasut pembeli dan penjual. Bagi pembeli, Zaknabur akan menghasut supaya berbelanja boros melebihi kemampuan sehingga berlakunya pembaziran. Bagi peniaga pula, Zaknabur akan menghasut supaya menipu dalam urusan perniagaan.

6. Khanzab

Ditugaskan untuk menggoda manusia ketika mereka mengerjakan ibadah solat. Khanzab akan menyelinap masuk ke dalam hati-hati orang yang sedang mengerjakan solat supaya mereka tidak khusyuk dan lalai akan rukun dan syarat sah solat.

Insya-Allah penulisan yang akan datang Dr Hadi akan menerangkan pula mengenai tipu daya Iblis dan syaitan di dalam beribadah. 

Semoga penulisan ini memberi manfaat dan panduan kepada pembaca untuk mengenali musuh-musuh manusia yang nyata.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim). Beliau juga merangkap Panel Rujuk Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, YADIM.

Iblis , Syaitan , Addin , Daasim , Zaknabur

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain