suria

Kecut perut dapat visa Furada! Ketahui tip jika dapat visa ini untuk buat haji

Lembaga Tabung Haji merupakan agensi pengurusan haji yang efisyen dan diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi sebagai terbaik.

TULAR dan hangat kisah 26 jemaah haji terkandas di lapangan terbang Jeddah minggu ini. Netizen memberi pelbagai reaksi berhubung perkara itu.

Sebahagian besar marahkan agensi pengendali terbabit. Tidak kurang juga umpama memujuk hati jemaah agar bersabar serta bermuhasabah. Ada juga yang membuat tuduhan dan melontarkan kata-kata tidak enak terhadap syarikat pengendali itu.

Buangkan amarah dan andaian negatif kerana kes sedang disiasat. Kehangatan membicarakan mengenainya, ingin saya berkongsi pengalaman menggunakan visa Furada untuk menyempurnakan ibadat berkenaan, sekali gus membawa jemaah ke Tanah Suci menerusi visa tersebut.

Pada 2015, saya mula mengenali visa haji Furada apabila diminta menjadi petugas haji. Mulanya saya sangat bimbang kerana tidak pernah mendengar perkataan itu. Sekembali ke rumah, saya mula melayari internet dan mencari maknanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Visa Furada: Ini bukan masa untuk mencari salah - Fuziah

ARTIKEL BERKAITAN: Sekumpulan jemaah Malaysia terkandas di Jeddah, Arab Saudi tidak benarkan kemasukan mengerjakan haji

Masih tidak berpuas hati dengan hasil yng ditemui, saya tanya pula kepada dua kenalan yang pernah bertugas di Tabung Haji. Jawapan mereka sama seperti hasil yang diperoleh di internet. Kegusaran saya lenyap, lantas menerima tawaran untuk menggalas tugasan menyantuni tetamu Allah pada tahun berkenaan.

Begitu juga pada tahun-tahun berikutnya. Namun, pada 2016, pemergian saya ke Tanah Suci membuat hati kecut perut apabila dimaklumkan oleh pengurus operasi ketika itu bahawa bukan semua visa diperoleh.

Ketika itu, saya dan 120 jemaah sudah tiba di KLIA, Sepang dan saya terus ke kaunter daftar masuk untuk melihat susunan pasport. Sejurus ternampak gambar saya di belakang pasport, saya mengucapkan Alhamdulillah.

Siti Esah Hussain menangis kesedihan ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak dapat mengerjakan ibadah haji musim ini berikutan masalah tiket dan visa furada. Seramai 26 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah sejak Isnin lalu selamat tiba di KLIA pada Rabu.

Seorang lagi petugas turut bertanya adakah pasportnya juga ada dan saya mengatakan ada. Justeru, berangkatlah kami seramai 120 jemaah pada petang itu ke Tanah Suci.

Setelah setengah jam di udara, terdengar beberapa jemaah bersuara terkejut kerana mendapati tarikh visa yang tertera adalah pada hari berangkat. Ada yang bertanya kepada saya kenapa jadi begitu dan seperti tidak percaya.

Saya katakan ya, semua visa baru diperoleh pada pagi itu dan tiba di KLIA pada jam 1.30 tengah hari. Ramai yang mengatakan syukur dapat berangkat. Namun, ada beberapa jemaah yang tidak memperoleh visa dan terpaksa pulang hampa. Visa mereka masih diproses.

Simpati saya pada jemaah berkenaan tetapi apakan daya. Usaha telah pun dilaksanakan tetapi rezeki belum menyebelahi mereka. Dengan wajah sedih, jemaah terbabit memohon agar kami semua mendoakan mereka untuk dapat bersama-sama nanti. 

Ada yang mengalirkan air mata. Alhamdulillah, jemaah berkenaan bertemu kami dua hari selepas itu. saya dan petugas lain dimaklumkan bahawa pasport jemaah yang lewat dua hari itu sebenarnya antara yang mula-mula dihantar untuk permohonan visa tetapi entah kenapa tidak diperoleh sebagaimana yang lain.

Apakah visa furada?

Visa Furada dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi dan lazimnya hanya kenamaan dan pihak tertentu memperolehinya. Selalunya visa diproses beberapa hari sebelum tarikh dijadualkan berangkat.

Kenapa bakal jemaah memilih visa Furada?

Berdasarkan pengalaman, sebahagian besar jemaah memilih visa Furada kerana enggan menunggu lama untuk mengerjakan ibadat haji setelah lewat atau tidak mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji untuk menunaikan haji. 

Keadaan ini menyebabkan giliran mereka sangat lewat dan kemungkinan sudah terlalu uzur atau tiada lagi. Selain itu, ada juga yang memilih visa Furada kerana berkemampuan mahu menunaikan haji lebih daripada sekali dan ada segelintir pula mahu membawa anak remaja. Keadaan itu semua menjadikan mereka cenderung memilih visa Furada bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Visa Furada hanya untuk golongan berada?

Tidak juga kerana ada antara jemaah bekerja makan gaji tetapi memberi keutamaan dan mahu menyempurnakan ibadat haji ketika masih kuat serta bertenaga. Tidak dinafikan visa Furada dijual pada harga yang tinggi iaitu di antara RM12,000 dan RM16,000. Itu tidak termasuk harga pakej haji dan total kos berjumlah dari RM35,000 ke atas manakala tempohdi Tanah Suci ialah satu bulan, termasuk perjalanan pergi balik.

Apakah persediaan jika mendapat visa haji Furada?

1. Buat sedikit kajian mengenai syarikat pengendali haji yang menawarkan visa Furada.

2. Bertanyalah secara khusus mengenai wang yang diserahkan dan pastikan simpan segala invois dan resit pembayaran.

3. Perbanyak doa dan solat hajat.

4. Bersedia dengan segala keperluan untuk ke Tanah Suci seminggu sebelum berangkat.

5. Berfikir positif dan rasional.

6. Membawa wang secukupunya atau buka akaun Rajhi atau mengemas kini perbankan anda kepada pengeluaran antarabangsa kerana jemaah haji visa Furada tidak boleh mengeluarkan wang di kaunter Tabung Haji.

7. Bawa bekalan ubat-ubatan secukupnya kerana jemaah haji visa Furada tidak boleh mendapat perkhidmatan perubatan di klinik kesihatan Tabung Haji.

8. Ambil insurans kesihatan/pelancongan.

Hakikatnya, setiap umat Islam yang mahu menjejakkan kaki ke bumi Haramain untuk mengerjakan haji dan umrah perlu memperbanyakkan doa, solat hajat dan taubat selain bertawakal kerana kedatangan kita atas kehendak serta undangan daripada Allah.

***Raihanah Abdullah ialah pembimbing umrah dan jemaah haji wanita.

visa furada, jemaah haji, Tabung Haji

Artikel Lain