suria

Penjelasan status talak ketika isteri sedang hamil

BERITA mengenai seorang pendakwah bebas menceraikan isterinya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan kerana kehadiran orang ketiga mengejutkan ramai pihak.

Rata-rata turut melahirkan rasa simpati terhadap nasib wanita tersebut kerana diceraikan gara-gara pendakwah bebas itu didakwa mahu berkahwin dengan seorang janda beranak satu.

Namun tindakan pendakwah itu menimbulkan persoalan dan kekeliruan sama ada seorang suami dibenarkan melafazkan cerai ketika isteri sedang berbadan dua.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz selebriti cerai isteri hamil tujuh bulan demi janda anak satu

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! 15 perbuatan ini Allah turunkan bala termasuk suami dayus ikut telunjuk isteri

ARTIKEL BERKAITAN: 5 tahun kahwin suami asyik tonton TV, isteri tak tahan akhirnya tuntut cerai 

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, majoriti ulama berpegang bahawa talak terhadap isteri ketika sedang hamil hukumnya adalah harus dan perkara itu tersabit dalam satu hadis sahih.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ فَذَكَرَ ذَلِكَ عُمَرُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا ثُمَّ لِيُطَلِّقْهَا طَاهِرًا أَوْ حَامِلًا

Maksudnya: Dari Ibnu Umar RA bahawa dia pernah menceraikan isterinya dalam keadaan haid, kemudian Umar bin Khatthab RA menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi. Lantas beliau pun berkata kepada Umar bin Khatthab RA, ‘Perintahkanlah kepada dia (Ibnu Umar RA) supaya dia kembali kepada isterinya, kemudian talaklah dia dalam keadaan dia suci atau hamil. Sahih Muslim (1471)

Ramai masih keliru sama ada Islam membenarkan talak semasa isteri sedang hamil.

Kata Zulkifli, hadis ini menjelaskan mengenai dua hukum iaitu haram menjatuhkan talak sewaktu isteri sedang dalam keadaan haid manakala hukumnya harus jika seorang wanita diceraikan ketika hamil.

"Imam al-Nawawi sewaktu mensyarahkan hadis ini berkata, hadis ini menjadi dalil keharusan talak sewaktu isteri sedang hamil yang jelas kehamilannya dan ia merupakan pandangan mazhab Syafi’e.

"Ibnul Mundzir berkata, pandangan ini juga dipegang oleh majoriti ulama, antaranya Thawus, Al-Hasan, Ibnu Sirin, Rabiah, Hammad bin Abi Sulaiman, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Tsur, dan Abu Ubaid.

"Namun Ibnul Munzir turut menambah bahawa terdapat sebahagian ulama mazhab Maliki yang mengharamkannya manakala Al-Hasan al-Basri memakruhkannya. (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 10/65) Salah satu qaul Imam Malik juga (Rujuk Al-Mudawwanah 2/4)," katanya.

Seorang suami yang baik pastinya akan mengambil kira segala aspek dan melakukan usaha sebelum melafazkan cerai terhadap isteri.

DATUK SERI DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Mufti Wilayah Persekutuan

Menghuraikan lanjut Zulkifli berkata, talak sewaktu isteri sedang hamil terletak di bawah kategori talak bukan sunniy dan bukan bid’iyy, maka hukumnya adalah harus.

Hal ini kerana tempoh edahnya tertakluk kepada kelahiran kandungan, bukan kepada haid. (Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah 3/478, Syarh al-Zarqani ‘ala Mukhtasar al-Khalil 4/144, Hasyiyata Qalyubi wa ‘Umairah 3/349, Bahr al-Mazhab 10/18, Manar al-Sabil fi Syarh al-Dalil 2/237 dan Al-Taqrirat al-Sadidah fil Masai’l al-Mufidah, hal. 92).

Namun demikian kata Zulkifli, jika tidak terzahir pada wanita tersebut tanda-tanda kehamilan, maka ia menjadi talak bid’iy. (Rujuk Hasyiyah Bujairimi ‘ala al-Khathib 3/505)

Bagaimanapun pandangan yang dianggap kuat adalah pendapat majoriti ulama yang mengharuskan talak ke atas wanita sedang hamil dan edah bagi wanita hamil yang ditalak adalah sehingga dia melahirkan kandungannya sebagaimana firman Allah SWT seperti berikut:

وَأُولاتُ الأحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: Wanita-wanita yang hamil, waktu edah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka. (Surah al-Thalaq) (4).

Jika berlaku masalah dalam perkahwinan sebaiknya selesaikan dengan baik. 

Sementara itu bercakap daripada sudut perundangan, Zulkifli berkata sekiranya isteri diceraikan ketika sedang hamil, maka dia juga layak mendapat kemudahan-kemudahan seperti perempuan yang diceraikan dengan talak rajie iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal dan apa-apa perbelanjaan lain yang patut.

"Kesimpulannya, kami berpegang kepada pendapat majoriti ulama, bahawa hukum menceraikan isteri sewaktu dalam keadaan hamil ialah harus, tidak haram dan tidak juga makruh," katanya.

Menyentuh isu sama, Zulkifli turut mengingatkan seorang suami yang baik pastinya akan mengambil kira segala aspek dan melakukan usaha sebelum melafazkan cerai terhadap isteri.

Ini termasuklah ketika seorang isteri sedang mengandungkan zuriat suami yang terpaksa berhadapan dengan keletihan dan tekanan perasaaan dalam memikirkan kesempurnaan bayi dalam kandungan.

"Apabila berlaku perceraian, ia akan menambahkan lagi penderitaan dan kesusahan yang terpaksa ditanggung, sekaligus menjejaskan kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu," ujarnya. - PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Talak, Cerai, Hamil

Artikel Lain