suria

Ibadah haji dalam dunia AI… Arab Saudi guna dron pantau keselamatan jemaah

Jutaan jemaah haji berangkat ke Arab Saudi untuk menunaikan haji. -Gambar hiasan

ARAB Saudi melaksanakan beberapa perubahan besar sempena musim haji tahun 2025.

Ia dilihat sebagai perubahan paling ketara dalam sejarah haji yang menjadi tumpuan jutaan jemaah setiap tahun.

Menurut laporan Time, Arab Saudi bukan sahaja memperkenalkan peraturan baharu melibatkan kanak-kanak, malah turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memantau jemaah.

1. Larangan bawa kanak-kanak

Perubahan yang menjadi bualan ramai adalah larangan membawa kanak-kanak menyertai ibadah haji bersama penjaga mereka.

Kerajaan Arab Saudi menyebut faktor keselamatan sebagai sebab utama pelaksanaan perubahan ini. 

Pada tahun 2024, lebih 1,300 jemaah dilaporkan meninggal dunia, kebanyakannya akibat cuaca panas melampau dan kesesakan. 

Arab Saudi memperkenalkan larangan ke atas jemaah kanak-kanak sempena musim haji kali ini. -Gambar hiasan

Namun, dasar baharu ini dilihat bertentangan dengan tradisi berzaman yang menyaksikan keluarga sering menunaikan haji bersama-sama.

2. Keutamaan kepada jemaah pertama kali

Dalam satu langkah besar lain, kerajaan Arab Saudi memberi keutamaan kepada umat Islam yang belum pernah menunaikan haji.

Perubahan ini bertujuan menangani isu keadilan yang sudah lama berbangkit dalam komuniti Muslim global, yang mana jemaah berulang dari negara kaya lebih mudah mendapatkan tempat berbanding mereka yang kali pertama dari negara membangun.

3. AI

Buat pertama kali, sistem pemantauan canggih menggunakan dron berteknologi AI digunakan untuk mengawasi pergerakan jemaah, lengkap dengan teknologi imej termal bagi memantau dan bertindak segera terhadap ancaman keselamatan.

Dron “Saqr” (Falcon) yang diperkenalkan oleh Pertahanan Awam Arab Saudi juga boleh mengesan dan menahan jemaah tanpa permit, selaras dengan kempen "Tiada Haji Tanpa Permit."

Muslim pilgrims from all around the world doing tawaf, praying around the kabah in Mecca, Saudi Arabia, during hajj and umra period.

Arab Saudi menggunakan AI untuk memantau jemaah. -Gambar hiasan

4. Cuaca panas

Di Masjidil Haram pula, sistem penyejukan terbesar di dunia dengan kapasiti 155,000 tan penyejukan disediakan bagi menangani cuaca panas ekstrem.

Langkah tambahan untuk mengurangkan panas pada musim haji 2025 termasuk perluasan kawasan berbumbung sebanyak 50,000 meter persegi.

Selain itu pemasangan lebih 400 unit penyejuk tambahan, serta penempatan ribuan petugas kesihatan dalam keadaan bersiap siaga.

5. Akses

Arab Saudi turut memperketatkan dasar visa dengan mengehadkan jemaah dari 14 negara, termasuk Pakistan, Iraq dan Maghribi kepada hanya visa masuk tunggal.

Sebelum ini, pemegang visa masuk berganda boleh memasuki negara itu semasa musim haji dan menunaikan ibadah tanpa permit rasmi. 

Kini, tempoh visa haji diseragamkan dan akan tamat pada 10 Muharram bersamaan 6 Julai 2025.

Akses ke kota suci juga diperketatkan yang mana sejak akhir April, hanya pemegang visa haji rasmi, pemastautin sah, atau kakitangan yang diberi kuasa sahaja dibenarkan memasuki Makkah. 

Setakat tahun ini, sebanyak 269,000 individu telah dihalang memasuki kota itu kerana tiada permit yang sah.

Artikel Lain