suria

Korek hidung, derma darah batal puasa? Ini 5 perkara ramai orang salah faham setiap kali tibanya Ramadan

Ramai yang beranggapan aktiviti menderma darah akan membatalkan puasa. Gambar hiasan. Foto: Lim Beng Tatt/The Star.

RAMADAN adalah bulan ibadah yang sentiasa dinantikan setiap tahun. Kebanyakan daripada kita meletakkan target yang tinggi untuk menunaikan ibadah puasa dengan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Namun, apabila tibanya bulan ini terdapat pengharaman atau pantang larang yang tersebar hasil cetusan daripada salah faham atau penyebaran maklumat yang kurang tepat dan akhirnya menimbulkan rasa ragu bagi masyarakat awam.

Maka dengan sebab itu, salah faham ini perlu diperbaiki dan diberi pencerahan semula bagi memastikan kita beribadah dengan lebih yakin.

1. Berbuka puasa kerana derma darah dan injection

Diharuskan bagi seseorang untuk menderma darah kerana ia tidak membatalkan puasa. Menderma darah bukanlah memasukkan sesuatu bahkan ia mengeluarkan sesuatu. Begitu juga dengan menerima suntikan di siang hari Ramadan. Suntikan yang dilakukan adalah harus dan tidak membatalkan puasa kerana ia tidak melalui rongga yang terbuka. Menurut pandangan Syeikh Yusuf al-Qaradawi, suntikan tidak membatalkan puasa kerana ia bukan termasuk dalam kategori makan atau minum dari sudut syarak.

puasa 4

Solat tarawih tidak semestinya ditunaikan di masjid, malah boleh dilakukan di rumah. Gambar hiasan

2. Tarawih mesti di masjid

Isu solat tarawih mestilah ditunaikan di masjid ini akan lebih kritikal apabila melibatkan ibu yang mempunyai anak kecil. Sehinggakan ada yang meninggalkan solat tarawih bertahun-tahun semata-mata untuk menunggu anak sedikit berusia untuk datang ke masjid. Solat tarawih boleh juga ditunaikan di rumah. Ia tidak menjadi kesalahan terutamanya bagi mereka yang mempunyai keuzuran untuk pergi ke masjid. Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul menanti ketibaan Rasulullah SAW sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka. Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah:

'Sesungguhnya aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardukan ke atas kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan.'" [HR al-Bukhari, 1129]

Syeikh Syams al-Haq al-'Azim Abadi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata bahawa baginda bimbang solat tarawih akan difardukan ke atas mereka. Ini kerana boleh jadi berlakunya kefarduan atas perbuatan qiam Ramadan secara berjamaah disebabkan ia dilakukan secara berterusan. Lihat 'Aun Al-Ma'bud Syarah Sunan Abi Daud (4/180). Ini tidak menafikan fadilat menunaikan solat tarawih di masjid. Namun ia juga tidak boleh menjadi alasan untuk seseorang meninggalkan solat tarawih kerana tidak dapat hadir ke masjid.

puasa 2

Ramai yang masih was-was dengan hukum perbuatan minum atau makan apabila sudah masuk waktu imsak. Gambar hiasan

3. Imsak dah tak boleh makan

Waktu imsak ialah 10 minit sebelum masuknya waktu subuh bukanlah waktu bermulanya puasa. Maka pada tempoh tersebut dibolehkan untuk makan dan minum. Namun, sekiranya telah kedengaran azan subuh, maka hendaklah berhenti serta merta dan kemudian sempurnakan puasa tersebut sehingga masuk waktu berbuka. Asasnya, waktu imsak adalah sebagai waktu ihtiyat (berjaga-jaga) agar tidak makan melebihi waktu yang telah ditetapkan yang mana boleh membatalkan puasa seseorang itu. Sekiranya seseorang bangun lewat untuk bersahur dan masa berbaki berada dalam waktu imsak, maka dibolehkan untuk bersahur pada waktu tersebut.

4. Tak boleh korek hidung

Perbuatan mengorek hidung tidak membatalkan puasa. Ini kerana diharuskan bagi orang yang berpuasa untuk berwuduk dengan mengamalkan sunat istinsyak (memasukkan air ke dalam rongga hidung). Cumanya, jika dibuat secara berlebihan sehingga sampai ke pangkal hidung itu adalah dimakruhkan, selagi tidak sampai ke bahagian otak atau tekak. Jika sampai, maka batal puasanya.

Justeru, berdasarkan fakta tersebut, jelaslah bahawa perbuatan mengorek hidung juga tidak membatalkan puasa kerana tujuan memasukkan sesuatu benda adalah untuk mengeluarkan kotoran daripada lubang hidung. Sekalipun terdapat perbuatan memasukkan benda ke dalam saluran yang terbuka, namun ia tidak sampai kepada had rongga sehingga membatalkan puasa. Namun jika dilakukan dengan melampau dengan alat-alat yang boleh menyampaikan ke bahagian otak maka batallah puasanya.

puasa 3

Tidak semestinya orang yang berpuasa itu boleh mengabaikan kebersihan mulut. Gambar hiasan.

5. Biar mulut busuk seolah kasturi

Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari kerana-NYA. Justeru, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: "Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi." [HR al-Bukhari, 1805]

Namun ini tidaklah bererti orang yang berpuasa itu disuruh untuk membiarkan orang lain mencium bau busuk mulutnya. Apatah Lagi di zaman kini yang mana kita bekerja di tempat awam, ataupun membabitkan orang di sekeliling. Tambahan lagi, jika terdapat mereka yang bukan muslim, tentu akan menimbulkan rasa yang tidak selesa terhadap muslim yang berpuasa pada bulan Ramadan.

Oleh itu, diharuskan untuk menggosok gigi sehingga sebelum waktu zuhur atau sebelum tergelincirnya matahari. Hukum bersiwak atau gosok gigi selepas gelincir matahari adalah khilaf dalam kalangan ulama. Ada sebahagian pendapat ulama menyatakan ia makruh, manakala pendapat yang lain pula mengatakan harus. Pendapat yang sahih dan rajih adalah harus. Ini kerana bau mulut yang melampau juga tidak disenangi oleh sekeliling kita.

Kesimpulannya, beribadahlah tanpa rasa ragu-ragu di samping memperbanyakkan menuntut ilmu. Al-Hafiz al-Aini dalam kitab syarah Sahih al-Bukhari mengutip perkataan Ibnul Munayir bahawasanya ilmu adalah syarat sah ucapan dan amal perbuatan.

Sesuatu ucapan dan amal perbuatan tidak akan dinilai kecuali dengan ilmu. Oleh sebab itu, ilmu didahulukan sebelum melakukan amal. Bahkan ilmu yang akan mengesahkan niat, dan niat yang akan mengesahkan amal. [Umdatu al-Qori, Syarh Shahih Bukhari, al-Hafidz al-Aini, jilid 2, hal. 476]

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain