suria

Dah berniat puasa sebulan? Jangan lupa ‘renew’ niat setiap hari juga ikut mazhab Syafie

Ini penjelasan mengenai niat puasa sebulan di bulan Ramadan. (Gambar hiasan, Freepik)

RAMADAN yang baru menjengah tiba bermaksud ramai yang akan melipat-gandakan ibadah.

Namun begitu, ketika ini juga banyak kemusykilan yang timbul terutamanya berkenaan niat berpuasa.

Niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib.

Niat puasa sekali untuk sebulan Ramadan atau perlu diperbaharui setiap hari? (Gambar hiasan, Freepik)

Tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu. Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat.

Tetapi adakah niat puasa itu wajib diperbaharui setiap hari atau boleh disebut sekali sahaja pada awal Ramadan dan kekal hingga ke akhirnya.

Ayuh kita lihat kupasan terperinci oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada penjelasannya mengenai niat puasa.

Syarat-syarat niat:

Dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

Kebanyakan kitab-kitab fiqh menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya. Antara yang disebutkan ialah:

Al-Jazm (الجزم): yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.

Al-Ta’yiin (التعيين): iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ianya puasa Ramadan, wajib (qada, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura).

Tidak memadai dengan berniat secara mutlaq untuk berpuasa.

Al-Tabyiit (التبييت): menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat).

Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah. Ini berdasarkan sebuah hadith Nabi yang bermaksud: Barangsiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut). Riwayat Abu Daud (2454).

Teenage girl with praying. Peace, hope, dreams concept.

Niat merupakan perkara utama untuk menjadikan puasa seseorang itu sah.

Adakah perlu diperbaharui niat setiap malam atau boleh niat sekali gus untuk keseluruhan Ramadan?

Ini merupakan antara permasalahan yang sering timbul dalam kalangan masyarakat Islam dan menurut pembacaan kami, para ulama terbahagi kepada dua pendapat di dalam permasalahan ini:

Pertamanya, boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik.

Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.

Ia sepertimana solat yang di mana seseorang itu hanya perlu niat di permulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain.

Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.

Ada percanggahan pandangan dalam kalangan ulama mengenai perbincangan permasalahan niat puasa. (Gambar hiasan, Freepik)

Keduanya, tidak berpada dengan niat sebulan sekali gus perlulah memperbaharui niat pada setiap malam.

Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadith Hafsah R.Anha sebelum ini.

Ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya). Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak.

Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.

Digalakkan untuk berniat puasa setiap malam. (Gambar hiasan, Freepik)

Berdasarkan dalil dan juga alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur.

Iaitu pendapat mazhab kita, mazhab al-Syafie yang mengatakan niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa.

Adapun pendapat yang mengatakan boleh berniat sekali gus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga.

Dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam. - Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain