suria

Prank tekup kek tak ubah macam orang hilang akal, Ustaz Azhar Idrus tegur TikToker - “Jangan melampaui batas”

Ustaz Azhar Idrus menjelaskan hukum bergurau atau prank dari sudut Islam.

BEBERAPA hari lalu kecoh di media sosial mengenai penularan video TikToker, Daing Ellando yang melakukan prank menekup sebiji kek di pada muka seorang wanita.

Video tersebut nyata mengundang kecaman ramai pihak termasuk selebriti tanah air dengan menyifatkan ia sebagai tindakan biadab, lebih-lebih lagi wanita berkenaan datang bersama anak lelakinya yang berkerusi roda.

Selepas teruk dikecam, Daing membuat permohonan maaf dan menjelaskan video berkenaan merupakan prank dan lakonan semata-mata bagi program Raja Viral.

Difahamkan, penghasilan video prank tersebut bertujuan sebagai satu sosial eksperimen untuk melihat reaksi rakyat Malaysia.

Perkara berkenaan turut mendapat perhatian tokoh pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang menerangkan hukum prank atau bergurau daripada sudut agama Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada orang tinggal solat, tapi ‘ganti’ dengan amalan baik lain untuk dapat pahala... ini penjelasan UAI!

ARTIKEL BERKAITAN: [V] TikToker diugut bunuh selepas buat prank! Mangsa rupanya ibu angkat, setuju berlakon demi bantu kerjaya anak muda di TikTok

Menerusi satu kuliah agamanya baru-baru ini, UAI menjelaskan dengan panjang lebar selepas diajukan soalan oleh salah seorang jemaah masjid.

"(Soalannya) zaman sekarang macam-macam budak nak tarik perhatian orang, buat prank lempar kek atas muka orang. Apakah hukumnya?

"Kita Islam ini yang terbaik. Serius pun Rasulullah, bergurau pun Rasulullah. Contoh terbaik adalah Rasulullah. Dia (baginda) bergurau tak macam kita bergurau.

"Kita macam orang hilang akal. Nak buat content, banyak view, yang haram pun haramlah," ujarnyanya.

prank 1

Seorang wanita menjadi 'mangsa' prank di mana wajahnya dilempar sebiji kek.

Menurut beliau, selain menjadikan Rasulullah sebagai role model, umat Islam wajib mengikut landasan dan batas yang sudah ditetapkan dalam melakukan sesuatu perkara, termasuklah bergurau.

"Sebab itu, apa jadi sekalipun, iman dan Islam jaga kita. Kamu layan TikTok, dengan iman dan Islam. Kamu layan YouTube, dengan iman dan Islam. Kamu buat content untuk Facebook, dengan iman dan Islam. Maknanya akidah tak lari, syariat kita betul," terangnya.

Jelas Ustaz Azhar, tiada salahnya untuk merakam video bagi dimuatkan sebagai konten di media sosial, asalkan tidak meninggalkan dua perkara asas tersebut.

"Saya nak buat content, ustaz... nak bubuh dalam YouTube. Bereh, (asalkan) jangan sampai kita tinggal iman dan Islam. Maksud iman itu jangan lari dari akidah. Maksud Islam itu, ikut pantang larang halal haram.

"Buat (konten) yang baik. Contohnya, kita pandai mencandat sotong. Hah, tunjuklah dalam video beberapa minit. Itulah caranya... buat yang baik.

"(Atau) Ambil ayat al-Quran, ambil tafsir al-Quran, baca maksud ayat...dua minit. Duit dapat, boleh berdakwah lagi (dalam masa yang sama).

"Ini buat prank, nampak aurat lagi... semua haram. Jadi berpada-pada jangan melampaui batas," terang beliau.

Semoga pencerahan Ustaz Azhar dapat menjawab persoalan mengenai garis panduan yang dianjurkan Islam dalam bab bergurau. Selamat beramal!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain