suria

Ramai lelaki tak segan silu pakai rantai, gelang... Haram hukumnya! Untuk tujuan perubatan pun ada syarat

Ustazah Asma' menegur golongan Adam yang mengenakan aksesori seperti wanita. Gambar hiasan

MENGENAKAN perhiasan atau aksesori seperti rantai dan gelang bukan sahaja menjadi kegemaran golongan Hawa.

Sebaliknya ketika ini, kaum Adam juga tidak ketinggalan memakai perhiasan ini malah budaya sedemikian semakin menjadi-jadi apatah lagi dalam kalangan selebriti.

Perkara ini bukanlah satu contoh yang baik kerana ia berkait rapat dengan soal hukum.

Terpanggil untuk mengulas mengenai perkara tersebut, tokoh pendakwah bebas, Ustazah Asma' Harun tampil menerangkan hukum pemakaian aksesori ini dalam kalangan kaum lelaki.

"Melihat budaya lelaki memakai rantai terutama artis yang boleh mempengaruhi anak muda sangat membimbangkan.

"Sebenarnya kita lihat sekarang semakin ramai lelaki memakai rantai sama ada daripada besi, perak atau emas, seolah-olah sudah menjadi kebiasaan," tulisnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Berikut adalah hukum berkaitan dengannya, sebagaimana yang dikongsi oleh Ustazah Asma'.

1. Memakai rantai bagi lelaki

Daripada Ibnu Abbas r.a, beliau berkata:

"Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai orang perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai orang lelaki." (HR Bukhari, hadis sahih)

Syeikh Badruddin al-'Aini pula mengulas hadis ini, kata beliau:

"(Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki yang menyerupai perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang tangan, gelang kaki, dan juga anting-anting." (Kitab 'Umdatul Qari, Al-'Aini 22/41)

ARTIKEL BERKAITAN: Elak tanggung dosa bagi lelaki berpakaian wanita walaupun sekadar parodi untuk jual produk... Haram hukumnya!

Jelas daripada hadis di atas bahawa haram bagi seseorang untuk memakai pakaian atau perhiasan yang khas bagi jantina berlawanan dengannya.

Pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita ini tiada khilaf dalam kalangan alim ulama sama ada daripada sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat.

2. Barang perhiasan dari emas untuk lelaki

Kaum lelaki diharamkan untuk mengambil emas sebagai perhiasan, maka begitu juga dengan memakai cincin emas bagi lelaki juga jelas pengharamannya melalui hadis Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:

"Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas." (HR Muslim, hadis sahih)

Rasulullah SAW pernah melihat seseorang memakai cincin yang diperbuat daripada emas lalu Baginda SAW mencabut cincin tersebut dari tangan lelaki tersebut lalu mencampakkannya, kemudian Baginda SAW bersabda:

"Seseorang dari kalian sengaja meletakkan bara daripada api neraka di tangannya." (HR Muslim, hadis sahih)

gelang

Pemakaian aksesori untuk tujuan perubatan juga mempunyai syaratnya. Gambar hiasan.

Namun dalam isu ini terdapat beberapa pengecualian, antaranya ialah fatwa daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Negeri Sembilan akan keharusan pemakaian gelang atau rantai tangan bagi lelaki untuk tujuan perubatan atau rawatan.

Bagaimanapun fatwa ini berdasarkan keperluan dan hajat dengan syarat:

1. Ia bukan diperbuat daripada emas, perak, suasa atau sutera (bagi lelaki).

2. Tidak terdapat unsur najis padanya.

3. Tidak mempercayai atau meyakini bahawa pemakaian gelang tangan tersebut boleh menyembuhkan penyakit tertentu kerana ia dikhuatiri boleh menjerumuskan seseorang kepada unsur khurafat yang boleh menjejaskan akidah.

4. Tidak menyebabkan kemudaratan kepada pemakainya.

5. Mendapat perakuan daripada pakar perubatan yang beragama Islam dan telah terbukti secara saintifik bahawa ia merupakan antara kaedah rawatan yang berkesan dalam merawat penyakit.

Dalam pada itu, Ustazah Asma' berpandangan lelaki yang memakai gelang untuk tujuan perubatan, dinasihatkan tidak memakainya di tempat awam secara terbuka atau menghebahkannya di media sosial.

Ia bertujuan untuk mengelakkan fitnah terhadap pemakai kerana melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan fitnah adalah makruh.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain