suria

Awas isteri gaji besar, ada beza antara suami baik dan bertanggungjawab! Hamba lebih mulia jika semua kena beli sendiri

Isteri dilema apabila suami sering mengabaikan tanggungjawab.

"SAYA tanggung apa juga belanja. Kadang-kadang ada juga dia hulur seratus dua... sebab gaji dia lebih kecil dari gaji saya," demikian pengakuan seorang wanita.

Meskipun mengakui suaminya seorang yang baik kerana bukanlah kaki pukul mahupun panas baran, namun wanita ini sebenarnya sering berasa tertekan dan tidak bahagia.

Malah, dia turut menyatakan rasa terlalu penat kerana menjadi seorang isteri sehingga beranggapan dirinya kufur dengan nikmat yang diberikan.

Lebih menyedihkan apabila si suami bukan sahaja tidak mempedulikan perasaannya malah kadang kala bertindak seolah-olah 'supporter' (penyokong) tetapi sebenarnya mengabaikan tanggungjawab.

Lagaknya umpama suami mithali yang memberi izin kepada isterinya untuk membeli apa sahaja yang dihajati sedangkan kos perbelanjaan adalah daripada poket si isteri sendiri.

Demikian antara luahan seorang isteri yang diceritakan kembali oleh pendakwah bebas, Ustazah Sharifah Zahidah Syed Noh.

Mendalami kisah wanita tersebut, kebahagiaan yang hilang itu berkemungkinan berpunca daripada sumber kewangan berikutan dia terpaksa menanggung segala perbelanjaan dengan alasan 'bergaji besar'.

Suami yang mengabaikan tanggungjawab punca para isteri tertekan

Suami yang mengabaikan tanggungjawab punca para isteri tertekan.

Menurut Sharifah Zahidah, keadaan yang berlaku terhadap wanita tersebut adalah dilema yang paling banyak dihadapi golongan isteri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Pelacur lagi bermaruah” - Islam larang suami isteri normalisasi 'content soft porn' di media sosial

"Suaminya bukanlah orang jahat tetapi segala beban nafkah diletakkan di pundak si isteri... kereta rosak, isteri pergi baiki dan keluarkan wang. Yuran sekolah anak-anak ditanggung 100 peratus oleh isteri, apatah lagi keperluan lain seperti susu, lampin pakai buang, baju.

"Suami sekadar tukang bawa pergi membeli. Belum kira bab perabot dan kelengkapan rumah, bayaran sewa rumah, bil air, api, elektrik dan internet. Jika bukan isteri yang membayar, sudah lama mereka bergelap gelita," katanya.

Nasib seorang isteri boleh jadi lebih teruk dari seorang hamba. Inilah isteri yang telah ‘hilang’ fungsinya dalam rumahtangga.

USTAZAH SHARIFAH ZAHIDAH

Disebabkan segala perbelanjaan ditanggung oleh isteri, sang suami merasakan dirinya mempunyai banyak wang sehingga terfikir boleh 'menanggung' seorang lagi isteri.

Tidak kurang juga yang merasakan dirinya mempunyai banyak masa lapang kerana isteri sibuk bekerja.

Sedangkan wang yang banyak itu disebabkan isteri melepaskan hak-haknya demi menyenangkan suami.

Ustazah Sharifah Zahidah berkongsi kisah dilema wanita yang sering dihadapi para isteri masa kini.

Ustazah Sharifah Zahidah berkongsi kisah dilema wanita yang sering dihadapi para isteri masa kini.

Justeru, Sharifah Zahidah menyimpulkan bahawa suami yang baik adalah berbeza dengan suami bertanggungjawab.

Menjelas mengenainya, ujar beliau, seorang lelaki boleh menjadi suami yang baik tetapi langsung tidak bertanggungjawab dan sebaliknya.

"Suami tidak baik yang bertanggungjawab akan membeli isterinya dengan harta. Dia tabur harta pada isteri, menafkahi secukupnya tetapi ada perempuan lain, menonton porno, berkata-kata kesat, bermuamalam dengan kelat, meninggalkan solat dan sebagainya.

"Dia membeli isteri dengan menyempurnakan keperluan material tetapi dia tetap gagal sebagai seorang ketua keluarga.

"Suami baik yang tidak bertanggungjawab pula akan memperlakukan isteri dengan layanan baiknya... Anjing mana tak setia dengan tuan, kan? Itupun belum tentu kesetiaan yang berpanjangan. Hujung usia, diduakan juga sang isteri tua," ujarnya.

Tambah beliau, kebanyakan wanita sedar tentang situasi pertama manakala tidak ramai yang membuka mata apabila melalui situasi kedua kerana terselindung di sebalik perilaku baik suami.

Beliau turut menyifatkan bahawa isteri yang diperguna lebih teruk berbanding hamba sahaya kerana mereka tetap mendapat upah setelah penat bekerja.

"Sudahlah segalanya dia (isteri) usahakan dengan tulang empat kerat... makan, pakai dan tempat tinggal pula perlu disediakan kepada ‘tuannya’? Segala masalah rumahtangga juga, terbeban atas dirinya untuk diselesaikan.

"Rupanya, nasib seorang isteri boleh jadi lebih teruk dari seorang hamba. Inilah isteri yang telah ‘hilang’ fungsinya dalam rumahtangga," tegas Sharifah Zahidah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain