suria

Jangan terlalu ikut nafsu hingga abai soal wali nikah, ada pasangan dah kahwin 34 tahun tapi tak sah!

Wali merupakan orang yang berhak dan berkuasa untuk mengurus atau mengatur pernikahan seseorang perempuan yang berada di bawah jagaannya.

FITRAH manusia yang Allah jadikan adalah ingin hidup berpasangan, bahagia, berkasih sayang antara satu sama lain.

Perkahwinan adalah satu fasa kehidupan dalam hidup seorang manusia dan ia merupakan suatu ibadah bagi mereka yang sudah mampu untuk berkahwin.

Setiap orang menginginkan perkahwinan yang direstui, dapat menggalas tanggungjawab dengan sebaiknya dan bahagia hingga ke akhirnya.

Sebelum berlangsungnya suatu perkahwinan, mestilah mempunyai rukun dan syarat yang perlu dipenuhi. Antara rukun perkahwinan ialah wali, pengantin lelaki, pengantin perempuan, dua orang saksi serta ijab dan qabul.

Dalam kehidupan seorang perempuan, wali adalah orang yang penting dalam akad nikah dan ia adalah suatu yang mesti dan tidak sah akad perkahwinan yang tidak dilakukan oleh wali sebagaimana hadis baginda Rasulullah: (Maksudnya): “Tidak sah nikah melainkan dengan wali.” [HR Abu Daud 2085]

2-21

Antara rukun perkahwinan ialah wali, pengantin lelaki, pengantin perempuan, dua orang saksi serta ijab dan qabul. - Gambar Sekadar Hiasan

Wali merupakan orang yang berhak dan berkuasa untuk mengurus atau mengatur pernikahan seseorang perempuan yang berada di bawah jagaannya.

Kepentingan wali terhadap wanita atau gadis adalah bersandarkan kepada hukum syarak di mana Allah SWT telah meletakkan tanggungjawab kepada lelaki lebih daripada perempuan.

Seperti mana satu kes baru-baru ini di mana masih ada pasangan yang baru mengetahui bahawa perkahwinan mereka selama 34 tahun tidak sah sehingga mereka sudah mempunyai tiga anak.

Hal ini terjadi kerana wali perempuan tersebut tidak merestui pilihan anak perempuannya kerana lelaki itu merupakan suami orang dan hendak berpoligami.

ARTIKEL BERKAITAN: Kahwin tahun 1988, dapat tiga anak... tahun 2022 baru tahu perkahwinan tak sah! Suami isteri insaf mahu nikah semula

Sebagai jalan pintas, pasangan tersebut menggunakan kaedah wali hakim dengan berjumpa jurunikah Indonesia untuk bernikah. Malangnya, wali hakim itu bukan lantikan daripada sultan dan nikah mereka tidak sah.

96144-16_29_019566

Masih ada yang tidak menyedari tentang kepentingan wali sebelum berkahwin. - Gambar Sekadar Hiasan

Secara umumnya, kuasa menikahkan anak perempuan tidak boleh berpindah kepada orang lain selagi wali yang berada di kedudukan utama seperti bapa, datuk sebelah bapa dan seterusnya masih hidup serta mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang wali.

Namun, dalam sesetengah kes yang khusus, kuasa wali boleh berpindah kepada wali hakim atas faktor tertentu yang diperlukan dari segi syarak.

Berkahwin di luar negara boleh mendatangkan risiko yang besar dan tidak baik kepada setiap pasangan kerana banyak berlaku sindiket yang menganjurkan majlis akad nikah yang tidak sah atau dalam erti kata lain, jurunikah itu sebenarnya bukan kadi yang sah.

Apa sahaja pernikahan yang dilangsungkan di luar negara sepatutnya didaftarkan semula di dalam negara. Tetapi masih ramai yang mengambil sikap tidak mahu mendaftarkannya.

Perkara seperti ini sepatutnya tidak boleh dipandang remeh kerana soal wali adalah salah satu perkara yang amat penting bagi sebuah perkahwinan yang hendak dilangsungkan. Tanpa wali, maka sesebuah perkahwinan itu tidak akan terhasil.

photo_2020-09-29_12-21-58-744x370

Pelbagai risiko bakal menanti pasangan pengantin jika bernikah di luar negara. - Gambar Sekadar Hiasan

Akibatnya, masalah akan semakin rumit jika timbul isu akan datang berkaitan hak penjagaan anak, nafkah dan sebagainya bagi pasangan tersebut.

Islam meletakkan pada setiap pernikahan perlulah memenuhi rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Maka, kekurangan dalam memenuhi syarat tersebut akan mendatangkan masalah bagi pernikahan tersebut.

Dalam sebuah hadis baginda Rasulullah: (Maksudnya): “Sultan adalah walinya seorang wanita yang tidak mempunyai wali” [HR Abu Daud 2083]

Maksud sultan disini ialah mereka yang memegang kuasa kewalian sama ada daripada kalangan imam, kadi atau para wakil mereka (iaitu wakil yang dilantik atau ditauliahkan).

Justeru, mengenai pernikahan yang telah berlaku namun diwalikan oleh mereka yang tidak bertauliah sedangkan wujud disana wali hakim, maka pernikahan mereka tidak sah dan terbatal di sisi syarak.

Oleh itu, bagi pasangan yang terlibat dengan pernikahan seperti ini, apa yang perlu dilakukan ialah:

UTU_GAMBAR-NIKAH003_preview

1. Nikah semula

Pasangan perlu pergi ke mahkamah. Hakim akan faraqkan atau bubarkan perkahwinan tersebut atas sebab tertentu dan boleh memohon wali hakim yang dilantik serta bertauliah untuk berkahwin semula dengan akad yang baru.

Walau bagaimanapun, sebarang keputusan perlu diteliti dari sudut maqasid Syariah supaya tujuan syarak tetap terjaga dalam kes ini.

Sebagai contoh keputusan nikah semula pasangan perlu dilakukan dalam keadaan tertutup dan bersifat peribadi supaya pasangan dan anak mereka terjaga dari segi aib keluarga. Hal ini bertepatan dengan elemen Maqasid Syariah iaitu penjagaan nasab dan maruah.

Bertaubat

2. Bertaubat kepada Allah

Masa tidak boleh berputar kembali. Setiap kesilapan yang kita lakukan dalam hidup ini mesti ada pengajaran agar kita tidak lakukannya buat kali kedua. Mohon ampun kepada Allah dan bertaubat padanya atas setiap kesalahan.

Apapun, dicadangkan agar berbincang dengan cara yang baik supaya persetujuan kedua-dua belah pihak sama ada wali atau dengan pasangan dapat mencapai kata sepakat agar perkahwinan dapat dijalankan sebaiknya.

Biarlah perkahwinan yang dibina itu menyenangkan hati semua orang tidak kiralah baik pasangan berkenaan ataupun walinya. Hormatilah keputusan si anak jika itu terbaik buatnya dan si anak juga hendaklah menghormati ibu bapanya.

Jangan derhaka kepada mereka kerana restu kedua ibu bapa amat penting dalam kehidupan untuk mencapai reda Ilahi.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain