suria

Pelaris dilarang dalam Islam! Peniaga jangan sesekali tabur syiling, gantung tangkal demi tarik pelanggan

Masih ada segelintir peniaga yang percaya dengan penggunaan pelaris bagi menarik pelanggan.

PERNIAGAAN merupakan pekerjaan mulia dalam usaha mencari rezeki malah Islam menggalakkan umatnya berusaha memperoleh pendapatan antaranya melalui bisnes.

Allah berfirman dalam Surah al-Jumu’ah (Maksudnya): Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

ARTIKEL BERKAITAN: Apa itu haiwan jallalah? Ketahui hukum dan tempoh kuarantin sebelum boleh dimakan

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Miqdam R.A, Rasulullah SAW bersabda;

Maksudnya: Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang itu, lebih baik daripada ia memakan makanan yang hasil dari usaha tangannya sendiri dan sesungguhnya adalah Nabi Allah Daud AS memakan makanan yang hasil dari usaha tangannya sendiri. [Riwayat al-Bukhari]

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, Nabi Muhammad SAW sendiri pernah terlibat dalam bidang perniagaan secara langsung.

Malah sahabat-sahabat besar Baginda sendiri turut terlibat dalam dunia perniagaan sepertimana sahabat Uthman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf.

Dr Zul

Zulkifli memberitahu hindarilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kepercayaan khurafat dan syirik.

Meskipun begitu kata Zulkifli, perniagaan yang dilakukan hendaklah mengikut garis-garis dan etika perniagaan yang telah ditetapkan oleh Islam.

"Usaha yang dilakukan hendaklah dipastikan tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Islam. Antaranya peniaga diminta supaya tidak melibatkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada mensyirikkan Allah SWT dalam usaha meraih rezeki dan keuntungan dalam perniagaan," katanya.

Bagaimanapun dalam dunia serba moden hari ini, masih ada segelintir peniaga yang menggunakan pelaris seperti menabur beras, syiling, garam dan seumpamanya dengan tujuan untuk menarik pelanggan.

Jelas Zuklifli, meletakkan benda-benda fizikal sebagai pelaris bagi menarik pelanggan serta melariskan perniagaan adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Hal ini kerana pergantungan seseorang akan beralih kepada pelaris, bukannya kepada Allah SWT, ia adalah satu amalan khurafat yang boleh membawa kepada mensyirikkan dan menyekutukan Allah.

"Dalam Islam, perbincangan berkenaan hal ini sering dikaitkan dengan al-tamimah (tangkal). Meletakkan benda-benda fizikal tersebut di premis perniagaan dengan harapan dapat menarik pelanggan dan melariskan perniagaan termasuk dalam perkara menggunakan tangkal," katanya.

Sesungguhnya Islam melarang sebarang penggunaan tangkal. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A., Rasulullah SAW bersabda:

Pelaris

Jauhi perbuatan syirik dan khurat kerana siksaannya tidak tertanggung.

Maksudnya: Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan ‘tiwalah’ itu adalah syirik.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Siapa yang menggantungkan tangkal, nescaya Allah SWT tidak akan selamatkannya dari tangkal itu. Dan siapa yang memakai azimat, nescaya Allah SWT tidak sempurnakan azimat itu.

Di dalam sebuah hadis yang lain, Nabi SAW bersabda: Maksudnya: Sesiapa yang menggantung sesuatu nescaya dia akan diserahkan kepadanya (benda yang digantung).

Zulkifli berkata, Ibn al-Athir sepertimana dinukilkan oleh Syeikh Mulla ‘Ali Al-Qari, berkata; "Sesiapa yang menggantungkan sesuatu ke atas dirinya daripada pelindung-pelindung, tangkal, dan yang seumpama dengan keduanya dengan beriktikad bahawa kesemua itu mendatangkan manfaat atau menghalang kemudaratan nescaya dia akan diserahkan kepadanya iaitu dia akan dibiarkan bersama benda yang dijadikan pelindung itu dan akan ditinggalkan bersamanya.

Syeikh ‘Atiyyah Saqar dalam fatwanya pernah menyebut: “Sesiapa yang mempercayai sesuatu khurafat seperti kayu kokka (sebagai tangkal pelindung yang) dapat menghindarkan syaitan dan iblis, memurahkan rezeki dan menyembuhkan penyakit, ia adalah pelaku syirik kerana segala itu adalah hak Allah SWT semata-mata.

"Sesungguhnya bukanlah dengan meletakkan objek tertentu itu, yang dapat menarik keuntungan berkali ganda. Akan tetapi, ia dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kerja keras serta sifat taqwa yang sesungguhnya kepada Allah SWT," ujarnya.

"Hindarilah perkara-perkara yang boleh membawa kepada kepercayaan khurafat dan syirik dalam usaha kita mencari rezeki yang berkat.

"Sebaliknya, berusahalah dengan cara yang baik serta lazimi dan amalkanlah ayat-ayat Quran di samping bermohon kepada Allah agar dikurniakan rezeki dan keuntungan yang berganda dalam perniagaan," jelasnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain