suria

Dapat ke Makkah buat umrah tapi tipu status vaksinasi, apa hukumnya?

Ada yang sanggup menipu status vaksinasi mereka untuk mengerjakan ibadah umrah di Makkah.

MASIH terdapat segelintir individu yang enggan mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi diri mereka daripada wabak Covid-19.

Dalam masa sama, ada pula menggunakan taktik licik dengan menipu sijil lengkap vaksinasi bagi membolehkan mereka ke luar negara termasuk mengerjakan ibadah umrah di Makkah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahuilah hukum dalam Islam jika seseorang terpaksa mencuri makanan akibat darurat seperti musibah banjir

Apa yang lebih membimbangkan, penularan varian Omicron yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini boleh memberi kesan kepada individu yang belum divaksin dan berkemungkinan menyebarkannya kepada orang lain.

Kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini mendedahkan seramai 17 daripada 122 individu disahkan dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi.

245508269_4746546978729055_2809918999427142464_n

Pendakwah Mohamed Hanafiah Malek memberitahu perbuatan menipu untuk ke Makkah adalah berdosa.

Negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi ini ialah dari United Kingdom membabitkan empat kes, Nigeria (4), Emiriah Arab Bersatu (4) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi.

Persoalannya, adakah ibadah umrah seseorang itu sah di sisi hukum syarak sekiranya pemergian ke tanah haram itu dengan menipu status vaksin mereka?

Pendakwah, Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali Ustaz Hanafi berkata, perbuatan menipu status vaksinasi mereka untuk ke Makkah adalah berdosa di sisi agama Islam meskipun umrah yang dikerjakan sah.

Mohamed Hanafiah berkata, dosa yang ditanggung oleh individu ini terbahagi kepada dua iaitu dosa menipu dan dosa mendatangkan mudarat kepada orang lain.

"Apabila seseorang itu dijangkiti dengan Covid-19, dia boleh menjangkiti orang lain... dosa itu banyak!

vaccine

Mendapatkan suntikan vaksin antara syarat untuk ke Makkah dalam suasana pandemik ketika ini.

"Bayangkan sekiranya wabak itu merebak kepada lebih ramai orang tanpa disedari, dosa itu akan bertambah," katanya kepada mStar.

Mohamed Hanafiah menyarankan kepada individu yang pernah menipu berhubung status vaksinasi mereka untuk mengerjakan umrah agar segera bertaubat dengan dosa yang telah dilakukan.

Jelasnya, seseorang itu tidak sepatutnya menipu dalam keadaan apa sekali pun semata-mata ingin pergi ke Tanah Suci.

"Jangan menipu mengenai status vaksinasi, dan jangan menipu semata-mata untuk melakukan umrah.

"Apabila bercakap mengenai bab menipu, siapa pun, janganlah menipu sebab perbuatan itu akan menyebabkan padah lebih besar terutamanya dalam kemelut seperti Covid-19," ujarnya.

file7j2bc7m2qmv117shq7qo

Jemaah perlu mengikuti SOP ketat di Makkah bagi mengelakkan penularan wabak.

Pada 18 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan rakyat negara ini yang telah lengkap vaksin dibenarkan untuk menjalani ibadah umrah tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak imigresen melalui skim MyTravelPass.

Bagaimanapun, kerajaan memutuskan untuk menggantung sementara perjalanan ke Arab Saudi berkuatkuasa 8 Januari lalu dan keputusan itu adalah untuk memperlahankan jangkitan Omicron di negara ini.

Ia ekoran pengembara yang positif pada minggu epidemiologi (ME) ke-52 iaitu minggu terakhir tahun 2021 adalah sebanyak 1,842 kes yang dikesan di pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Daripada jumlah itu, 85 peratus atau 1,558 kes membabitkan pengembara yang pulang dari Arab Saudi dan varian Omicron paling banyak dikesan daripada individu yang pulang mengerjakan umrah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harry Maguire jadi sasaran Chelsea