suria

Adakah membaca Surah Hud ayat 44 ketika banjir perbuatan bidaah? Ketahui fatwa-fatwa mengenainya

UMAT Islam sangat digalakkan untuk mengambil ibrah dari kisah para Nabi dan orang soleh. Sheikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah (m. 1417H) menukilkan ungkapan ulama salaf soleh: “Cerita-cerita merupakan tentera daripada tentera-tentera Allah SWT, Allah SWT menguatkan dengannya akan hati-hati para waliNya.”

Dikatakan bahawa ungkapan ini pernah disebut oleh Imam al-Junaid al-Baghdadi (m. 298H) yang merupakan ulama besar salaf soleh dalam bidang tasawuf.

Ungkapan para ulama tersebut berkaitan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad SAW) untuk menguatkan hatimu dengannya.” - (Surah Hud, 11: 120).

ARTIKEL BERKAITAN: Ajaib! Dua naskhah al-Quran tetap kering walau ditenggelami air banjir di Hulu Langat... Itulah bukti kekuasaan Allah!

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahuilah hukum dalam Islam jika seseorang terpaksa mencuri makanan akibat darurat seperti musibah banjir

Ibrah Surah Hud Ayat 44

Contoh kisah yang boleh diambil manfaat ialah firman Allah yang bermaksud: Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu." Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim." (Surah Hud, 11: 44).

Menurut Tafsir al-Jalalain tulisan Imam Jalal al-Din al-Mahalli (m. 864H) dan muridnya Imam Jalal al-Din al-Suyuti (m. 911H), Allah memerintahkan bumi agar menelan air yang keluar darinya, maka bumi terus menelan airnya.

Tetapi air hujan masih turun dari langit sehingga terjadinya sungai-sungai dan laut-laut. Allah memerintahkan langit agar berhenti menurunkan air hujan, maka hujan pun berhenti. Air pun berkurang maka kaum Nabi Nuh AS telah selesai dibinasakan.

file7j0mrv0cfixgwqah7hs

Bencana banjir telah mengakibatkan pelbagai kerosakan.

Ayat ini adalah sebahagian daripada sejarah Nabi Nuh yang berhadapan dengan kaumnya yang tidak beriman kepada Allah. Antara perkara yang dapat diambil ibrah dari sejarah Nabi Nuh contohnya tidak melanggar perintah Allah agar beriman kepadaNya dan tidak menyembah berhala.

Begitu juga kesabaran Nabi Nuh yang berdakwah tempoh yang lama tapi hanya beberapa orang sahaja yang beriman sehingga akhirnya mereka dibinasakan secara keseluruhannya. Perlu diketahui juga bahawa antara kelebihan umat Nabi Muhammad adalah azab yang dikenakan tidak seperti dahulu lagi.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku memohon tiga perkara kepada Tuhanku, maka Dia memberiku dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhanku agar tidak membinasakan umatku dengan kekurangan makanan, maka Dia memperkenankanku, dan aku memohon Dia tidak membinasakan umatku dengan ditenggelamkan, maka Dia memperkenankanku, dan aku memohon Dia tidak menimpakan permusuhan di antara mereka, maka Dia menolaknya." - (Riwayat Imam Muslim).

Azab tersebut tidak berlaku secara besar-besaran seperti kaum terdahulu. Terdapat beberapa lafaz hadis yang lain permohonan tiada kemarau dan tidak dikuasai orang kafir secara total juga diterima oleh Allah menurut riwayat Imam Tirmizi.

Tabarruk, Tawassul dan Tajribah dengan Surah Hud Ayat 44

Di samping ibrah sejarah Nabi Nuh tersebut, terdapat para ulama yang mengambil berkat (tabarruk) atau menjadikan wasilah (tawassul) dengan ayat 44 Surah Hud ini untuk memohon sesuatu kepada Allah.

Contohnya mereka bertabarruk atau bertawassul dengan ayat ini untuk memohon kepada Allah agar menghentikan hujan dan menghindari banjir. Selain itu, terdapat juga ulama melakukannya untuk memohon kesembuhan penyakit daripada Allah.

Ia juga dikenali sebagai tajribah atau mujarrabah yang ringkasnya bermaksud pengalaman dan percubaan para ulama berdasarkan ijtihad mereka.

616f1e73-a2d6-4957-8da3-e024affa2ace-14_35_758865

Umat Islam disarankan fokus berdoa dan membantu mangsa banjir sekadar mampu.

Menurut Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah (m. 751H) dalam kitab Zad al-Ma’ad, gurunya iaitu Imam Ibn Taimiyyah (m. 728H) pernah menulis ayat 44 Surah Hud pada dahi lebih dari seorang pesakit hidung berdarah dan mereka sembuh.

Ia juga dicatat oleh Imam Ibn Muflih al-Hanbali (m. 763H) dalam al-Adab al-Syar’iyyah, bahawa ia sebagai rukyah dan tabarruk dengan ayat al-Quran dalam rawatan jasmani.

Rukyah ini juga disebut dalam kitab al-Mawahib al-Laduniyyah tulisan Imam al-Qastalani (m. 923H) tanpa menyatakan sama ada ia diamalkan oleh Imam Ibn Taimiyyah ataupun tidak.

Imam al-Zarqani (m. 1122H) mensyarahkan kitab ini dengan menerangkan beberapa maksud amalan rukyah tersebut dan juga huraian ayat 44 Surah Hud tersebut dengan tafsiran yang selari dengan kitab Tafsir al-Jalalain seperti yang disebut pada awal artikel ini.

Fatwa-fatwa tentang Bidaah, Tawassul, Tabarruk, Tajribah dan Surah Hud Ayat 44

Amalan ini tidak disuruh oleh Rasulullah menerusi dalil khusus maka ia didakwa sebagai bidaah bahkan mungkin syirik, jadi bolehkah ia diamalkan? Apakah hukumnya bertabarruk dan bertawassul dengan surah Hud ayat 44 ini menerusi tajribah para ulama untuk memohon sesuatu kepada Allah?

1. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan pada 10 Januari 2018, tidak salah untuk berdoa kepada Allah dengan bertawassul dan bertabarruk dengan ayat-ayat al-Quran termasuklah ayat 44 Surah Hud ini dengan membawa contoh tajribah Imam Ibn Taimiyyah tadi.

Namun daripada sudut keutamaan, digalakkan agar masyarakat melazimi jua doa-doa yang warid (datang) daripada al-Quran dan hadis Rasulullah yang berkat dan mujarab.

Baca Al Quran

Contoh lain menurut Mufti Wilayah Persekutuan pada 23 November 2021, mengamalkan bacaan surah Taha ayat 1-5 sebagai penawar dan pelembut bagi hati yang keras adalah harus.

Ia berdasarkan dalil yang mengharuskan berdoa dan rukyah menggunakan ayat al-Quran dan nama Allah meskipun tiada dalil khusus dari al-Quran dan hadis yang menyatakan sedemikian.

Dinukilkan pandangan Imam al-Qurtubi oleh Imam al-Suyuti dalam al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran: “Harus ruqyah dengan menggunakan kalam Allah dan nama-namaNya. Bahkan sekiranya ia ma’thur (terdapat dalil al-Quran dan sunnah) maka ia disunatkan.”

Dinukilkan juga pandangan Sheikh al-Mubarakfuri (m. 1363H) dalam Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi: “Maka mintalah kepada Allah SWT dengan al-Quran (tawassul) dalam setiap perkara daripada perkara-perkara dunia dan akhirat”.

2. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman pada 20 Mac 2016 memutuskan bahawa antara ciri-ciri amalan dan fahaman yang bertentangan dengan Ahli Sunah Waljamaah ialah menganggap tawassul, tabarruk dan istighasah sebagai bidaah, serta mendakwa selawat syifa’ dan selawat tafrijiyyah susunan ulama (yakni tajribah tawassul dengan Nabi) sebagai syirik.

Fatwa ini juga menyatakan bahawa amalan tawassul, tabarruk dan istighasah diterima oleh jumhur ulama empat mazhab. Berkenaan selawat tafrijiyyah, Pusat Fatwa Jordan menyatakan ia tidak termasuk dalam larangan syarak, hukumnya harus.

3. Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 23-24 Mei 2017 memutuskan bahawa amalan-amalan Ahli Sunah Waljamaah yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi termasuk dalam perkara khilafiyyah di sisi ulama dan fuqaha adalah tidak bercanggah dengan syariat Islam seperti amalan tawassul.

file7izljr2hi53ljg39aa

Ketika ini ramai sedang berkerjasama melakukan kerja-kerja pembersihan.

4. Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 25 Mei 2012 bersetuju untuk melarang pembidaahan dan penghinaan terhadap amalan-amalan Ahli Sunah Waljamaah, antaranya ialah tawassul.

5. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan pada 31 Mei 2016 memutuskan bahawa amalan bertawassul dan bertabarruk tidak boleh dibidaahkan.

6. Menurut Pusat Fatwa Mesir, para ulama bersepakat bahawa al-tarku (ertinya lebih kurang: tiada dalil dari Rasulullah dan salaf soleh menunjukkan hukumnya adalah haram) bukanlah satu-satunya cara pendalilan, kerana cara pendalilan adalah menggunakan nas (al-Quran dan hadis), ijmak dan qiyas.

Ini adalah kesepakatan dalam kalangan ulama Islam, kerana terdapat shawahid dan athar menunjukkan bahawa para sahabat sendiri tidak berpandangan bahawa apabila Rasulullah tidak buat maka hukumnya pasti haram atau makruh.

Demikianlah apa yang para fuqaha’ fahami sepanjang zaman menurut fatwa tersebut. Disimpulkan dari Pusat Fatwa Mesir juga bahawa, harus hukumnya untuk berzikir dan berdoa dengan lafaz ghair ma’thur (tiada dalil khusus dari al-Quran dan hadis) menerusi amalan para ulama.

Terdapat zikir, selawat, doa dan hizib susunan mereka sebagai mujarrabah (atau tajribah) untuk menghilangkan kesusahan. Ia bukan bidaah kerana masih termasuk dalil umum tentang zikir dan doa (bukan dalil khusus) tapi afdalnya adalah bertabarruk (tayammun) dengan lafaz ma'thur untuk tolak wabak (termasuk ujian banjir dan seumpamanya).

Rumusan dan cadangan

1. Umat Islam perlu mengambil ibrah dari kisah-kisah para nabi, rasul dan ulama untuk mendorong kepada kebaikan.

2. Doa dan zikir yang ma’thur ketika, banjir, hujan dan seumpamanya adalah lebih afdal diamalkan, tapi perlu difahami bahawa yang tidak ma’thur seperti amalan Surah Hud ayat 44 ketika hujan atau rukyah ini bukanlah bidaah kerana masih ada dalil umum sandarannya dan ia tetap berpahala.

Kalaupun Imam Ibn Taimiyyah tidak pernah bertawassul dengan ayat ini untuk ruqyah penyakit jasmani, hukumnya harus berdasarkan kefahaman majoriti ulama Ahli Sunah Waljamaah sama ada menerusi al-Quran, hadis, qiyas atau ijmak.

3. Berkenaan situasi Malaysia yang menghadapi musibah banjir, umat Islam disarankan fokus berdoa dan membantu mangsa banjir sekadar mampu. Elakkan tanpa sedar menyakiti hati-hati mangsa banjir atau para sukarelawan yang membantu mereka dengan tuduhan bidaah bahkan syirik berkaitan ayat 44 Surah Hud ini, kerana mungkin mereka pun mengamalkan tajribah, tabarruk atau tawassul dengannya.

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain