suria

Ajaib! Dua naskhah al-Quran tetap kering walau ditenggelami air banjir di Hulu Langat... Itulah bukti kekuasaan Allah!

Asma Harun melihat sendiri dua buah al-Quran milik Raja Hasanah yang tidak terkena air banjir.

VIDEO siaran langsung di Facebook oleh pendakwah bebas terkenal Ustazah Asma' Harun ketika memberi bantuan kepada mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada Isnin lalu cukup menginsafkan.

Mana tidaknya, ketika menziarah sebuah keluarga yang terlibat dalam banjir iaitu Raja Hasanah dan suami Mohammed Rafzan, wanita itu mendedahkan dua kitab suci al-Quran miliknya langsung tidak basah dan berada dalam keadaan baik seperti sebelum berlakunya bencana alam itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahuilah hukum dalam Islam jika seseorang terpaksa mencuri makanan akibat darurat seperti musibah banjir

Dedah Raja Hasanah, kejadian itu cukup menakjubkan dan menginsafkan dirinya apabila kedua-dua al-Quran itu yang diletakkan di atas meja langsung tidak basah dan rosak meskipun paras banjir mencecah bumbung rumah.

al-Quran

Kitab al-Quran milik Raja Hasanah berada dalam keadaan baik meskipun rumahnya ditenggelami air banjir sehingga paras bumbung.

"Ketika air mula naik saya selamatkan dan pindahkan dua al-Quran itu ke atas meja kerana tidak mahu ia terkena air. Bagaimanapun, siapa sangka paras air naik sehingga hampir paras bumbung dan menenggelamkan semua barang-barang.

"Dengan kuasa Allah apabila kembali ke rumah, al-Quran itu langsung tidak rosak apatah lagi terkena air meskipun barang lain habis rosak," katanya.

Menurut Raja Hasanah, sebelum banjir berlaku, dia sempat membaca surah al-Quraisy selain memberitahu setiap hari akan membaca satu atau dua juzuk al-Quran bersama suaminya.

Sementara itu, Asma' yang juga pengasas dan penaung Sahabat Amal Care (SAC) berkata, peristiwa tersebut membuktikan ada keajaiban bukti kekuasaan Allah walaupun dilanda musibah.

Asma 2

Asma' turut memberikan kata-kata semangat kepada Raja Hasanah sekeluarga.

Tersentuh dengan peristiwa itu, Asma' berkata, al-Quran itu seperti terjaga dan kering tanpa sebarang kesan disentuh oleh air banjir.

"Kita nak pergi sebuah rumah, bayangkan semua rumah dah tenggelam tetapi ada al-Quran yang tidak basah. Itu keajaiban Tuhan, al-Quran tidak basah tetapi semua harta benda terbalik, terpusing dan tenggelam tetapi kitab itu tidak basah.

"Antara keajaiban ini, dalam keadaan air sudah tenggelamkan rumah tetapi al-Quran selamat, Allahuakhbar! Kita boleh tengok al-Quran ini, dua-dua kering. Subhanallah. Bayangkan air dah tinggi dan kita boleh nampak meja ini ada selut.

“Tuan-tuan bayangkan air dah berada pada tahap yang tinggi, dinding- dinding ada kesan lumpur dan al-Quran ini seolah-olah tidak terkena langsung air," ujarnya.

Raja Hasanah Suami

Raja Hasanah, suami (Mohammed Rafzan) dan anak lelaki mereka reda dengan ujian Allah.

Dalam kunjungan itu, Asma' sempat menitipkan doa buat keluarga Raja Hasanah dan menasihatkan agar mereka bersabar dengan ujian itu kerana itu adalah tanda Allah menyayangi mereka.

Katanya lagi, keajaiban itu juga mungkin disebabkan asbab amalan wanita itu mengamalkan membaca al-Quran setiap hari dan menjadikan kitab suci itu sebagai sahabat baiknya.

Imam Muslim daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda:

(Maksudnya): “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya. Bacalah Al-Zahrawan iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana keduanya nanti datang pada hari kiamat seakan-akan awan atau cahaya matahari ataupun seperti burung yang berbulu yang terbang mengelilingi pembacanya. Bacalah surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya membacanya ada berkat dan meninggalkannya adalah penyesalan. Tukang sihir tidak akan mampu menandinginya.” (Riwayat Muslim)

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain