suria

Al-Quran dibeli secara pos perlu ada peraturannya agar kesucian kitab Islam itu tidak tercemar

Penghantaran Al-Quran melalui perkhidmatan pos adalah tidak diharuskan jika dikhuatiri ianya terdedah kepada unsur–unsur yang boleh mencemari kesucian Al-Quran.

AL-QURAN merupakan firman Allah yang diturunkan kepada Baginda Rasulullah. Al-Quran merupakan kitab yang menjadi panduan kepada umat Islam.

Sejak Al-Quran diturunkan, ia telah dipelihara dengan begitu rapi. Ramai para hafiz Al-Quran telah dilahirkan bermula zaman Baginda Rasullullah hinggalah ke hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dosa besar tinggalkan solat atas sebab malas atau sengaja melengah-lengahkan... Bayar hutang segera!

Al-Quran juga dipelihara dalam bentuk tulisan yang mana pada peringkat awalnya ramai penulis menghasilkan mushaf dan selepas perkembangan teknologi, ia dihasilkan dalam bentuk percetakan.

Semua penjagaan Al-Quran dalam bentuk mushaf dan hafazan menjadi bukti yang kukuh bahawa ianya terpelihara daripada segala kesalahan dan kekurangan.

Ini bertetapan dengan firman Allah di dalam Surah Al-Hijr ayat ke 9: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.

Oleh kerana itu, Al-Quran perlulah dijaga dan dipelihara dengan baik. Terdapat beberapa persoalan yang selalu diajukan kepada ustaz mengenai Al-Quran antaranya:



Kaedah pelupusan Al-Quran adalah ia dibakar di tempat yang baik dan ditanam ditempat yang elok supaya tidak dilangkah.

1. Cara melupuskan ayat suci Al-Quran

Apabila berbicara mengenai ayat Al-Quran, perlu kita fahami bahawa ayat Al-Quran itu meliputi mana-mana bahagian ayat Al-Quran dalam bahasa arab.

Cara untuk menguruskannya ialah dengan dibakar atau ditanam. Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak boleh dibaca dan yang bukan Rasm Uthmani hendaklah dilupuskan. Kaedah pelupusan adalah dibakar di tempat yang baik dan ditanam di tempat yang elok supaya tidak dilangkah.

Ia berdasarkan tindakan Khalifah Islam ketiga, Uthman bin Affan RA ketika menyatukan umat Islam di atas satu mushaf. "Beliau membakar mushaf-mushaf lain yang menyalahinya. Perbuatan tersebut dilakukan dengan disaksikan oleh para sahabat.

"Ibn Batthal mengatakan, perintah Uthman supaya dibakar helaian-helaian dan mushaf-mushaf Al-Quran sewaktu isu mengumpulkan al-Quran itu menunjukkan bahawa kitab-kitab yang tertulis nama Allah SWT boleh dibakar dengan tujuan untuk memuliakannya, menjaganya daripada dipijak oleh kaki manusia dan memeliharanya daripada dibuang di atas tanah

2. Pembelian naskhah Al-Quran secara online

Pembelian sesuatu barang melalui online pada masa kini sudah menjadi kebiasaan kerana ia banyak memudahkan urusan kita sehinggakan pembelian Al-Quran juga melalui online.

Pada asasnya hukum jual beli Al-Quran secara online adalah diharuskan selagi mana dalam proses tersebut adab dan kesucian mushaf tersebut dijaga.

Pembelian bahan-bahan gunaan dan hiasan yang mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran perlulah mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Ini adalah bagi memastikan keaslian ayat-ayat suci Al-Quran tanpa berlakunya penyelewengan ayat-ayat tersebut.



Bagi mereka yang menjual Al-Quran secara online pula perlulah memastikan Al-Quran dibungkus dengan bungkusan tebal supaya tidak rosak.

3. Penghantar Al-Quran melalui online

Penghantaran Al-Quran melalui perkhidmatan pos adalah tidak diharuskan jika dikhuatiri ia terdedah kepada unsur–unsur yang boleh mencemari kesucian Al-Quran. Namun jika perkara ini tidak dapat dielakkan maka hukumnya dibolehkan dengan syarat;

I. Bagi mereka yang menjual Al-Quran secara online pula perlulah memastikan Al-Quran dibungkus dengan bungkusan tebal supaya tidak rosak.

II. Adalah perlu untuk memberitahu kepada pejabat pos bahawa ia merupakan kitab suci Al-Quran yang perlu dijaga dengan baik dan diletakkan ditempat yang baik supaya bungkusan Al-Quran itu tidak dilangkah, dipijak atau dibaling.

Pihak syarikat penghantar perlulah peka dengan perkara ini dan jika dikhuatiri tidak mampu untuk menguruskan maka elakkan daripada mengambilnya.

Ini kerana, mereka yang tidak cakna dan tidak kisah akan kesucian Al-Quran boleh termasuk dalam golongan yang mempersendakan Allah dan kalamNya. Firman Allah di dalam Surah At-Taubah ayat 65 dan 66:

65- Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

66- Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.

As-Syeikh Doktor Wahbah Az-Zuhaili dalam Tafsir Al-Munir telah menjelaskan sekiranya Allah menurunkan Al-Quran keatas gunung seperti manusia yang mana Allah berikan akal dapat berfikir dan membezakan antara hak dan batil maka gunung-ganang itu akan pecah kerana khusyuk dan takut kepada Allah.

Begitulah kehebatan dan keagungan Al-Quran yang mana kita tidak boleh ambil mudah apatah lagi kita sebagai umat Islam seharus dan sewajibnya menghormati Al-Quran.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



Artikel Berkaitan

Artikel Lain