suria

Dosa besar tinggalkan solat atas sebab malas atau sengaja melengah-lengahkan... Bayar hutang segera!

Solat adalah suatu ibadah yang perlu ditunaikan pada waktunya.

APABILA berbicara mengenai solat, ia adalah suatu ibadah yang perlu ditunaikan pada waktunya. Kerana itulah di dalam niat solat adanya perkataan al-adaa’ (tunai) dan apabila di laksanakan luar daripada waktu ia akan disebut al-qadha (ganti).

Ini adalah seperti firman Allah SWT yang dirakamkan di dalam Al-Qur’an: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang telah ditentukan waktunya. (Surah Al-Nisa': 103)

ARTIKEL BERKAITAN: Ada pihak dakwa boleh berjudi ketika musibah Covid-19 tapi awas, ia tetap haram walaupun terdesak!

Allah juga telah memberi peringatan yang tegas kerana adanya perkataan ‘Celakalah kamu’ kepada golongan yang sengaja melewat-lewatkan solat sehingga terlepas waktu. Firman Allah yang bermaksud: Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai solatnya (Surah Al-Maa’un: 4 & 5)

Kerana itulah di dalam ayat disebut bagi orang yang solat kerana mereka itu pada asalnya melakukan solat dan mengikut peraturan-peraturannya, kemudian mereka lalai dalam mengerjakan solat atau meninggalkannya secara keseluruhan.

Kata Ibn Abbas: Mereka ini mengerjakannya akan tetapi bukan pada waktu yang telah ditetapkan (lambat), ataupun mereka mengerjakan akan tetapi telah keluar dari waktunya (qadha’ dalam keadaan yang bukan uzur).



Solat adalah seperti pertalian hamba dengan Tuhannya.

Maksud celaka bagi orang-orang yang solat itu juga adalah seperti berikut:

1.Sama ada ia selalu melambatkan solatnya sehingga hampir keluar waktu.

2.Atau meninggalkan tuntutan solat dalam rukunnya ataupun syaratnya yang mana ia dituntut bagi melakukannya.

Imam Al-Zahabi di dalam Kitab Al – Zabair mengatakan bahawa: Solat adalah seperti pertalian hamba dengan Tuhannya. Orang yang memutuskan pertalian itu dikira berdosa besar apatah lagi jika mengingkari kewajipannya atau memperkecilkan-kecilkan sehingga boleh dianggap kafir, adalah perlu untuk bertaubat dan kembali kepada Tuhan-Nya.

Jumhur ulama’ mengatakan wajib untuk bersegera dalam mengqadha solat samada ditinggalkan kerana uzur syari’e atau tidak. Ia berdasarkan keumuman hadis baginda nabi: Sesiapa yang tertinggal solat kerana lupa maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya. [HR Bukhari (597) dan Muslim (1598)]

Mengikut Mazhab Syafie, para ulamak telah memperincikan masalah ini kepada dua keadaan:

1. Sunat

Sekiranya seseorang meninggalkan solat kerana uzur syari’e seperti tertidur atau lupa, maka dihukum sunat baginya untuk segera menqadha’ solat.

2. Wajib

Sekiranya seseorang meninggalkan solat tanpa uzur syar’ie maka wajib baginya untuk segera menqadha’ solatnya. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 3/70-71)



Waktu terbaik untuk menggantikan solat adalah pada sebelum atau selepas solat fardhu.

Adalah disunatkan untuk kita menjaga tertib solat ketika menqadha’ solat-solat yang tertinggal seperti menqadha’ solat subuh terlebih dahulu kemudian solat zohor dan seterusnya. Diwajibkan pula untuk kita menqadha’ solat yang ditinggalkan tanpa uzur syar’ie terlebih dahulu daripada solat yang ditinggalkan kerana uzur syar’ie.

Waktu terbaik untuk menggantikan solat adalah pada sebelum atau selepas solat fardhu. Walaupun boleh digantikan, ia bukanlah alasan untuk kita sewenang-wenangnya meninggalkan solat.

Ini kerana mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya boleh menyebabkan dosa besar. Orang yang meninggalkan kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.

Boleh jadi seseorang itu tidak menunaikan solat fardhu kerana masih jahil agama, lagha, leka dengan dunia, kesibukkan bekerja, malas dan sebagainya Apapun alasannya, diri kita berhak untuk mendapat kehidupan yang baik di akhirat sana.Jadi berdoalah agar kita kuat dan ditetapkan hati dalam melaksanakan semua ibadah yang menjadi kefardhuan.Tambahan pula ia adalah hak Allah yang mana kita seperti berhutang.

Solat yang ditinggalkan dan tidak sempat diganti oleh seseorang tidak boleh disempurnakan qadhanya oleh orang lain atau dengan cara apa sekalipun sedangkan ibadah lain seperti puasa, zakat atau haji boleh diganti oleh waris.

Oleh itu qadha’lah lah solat yang telah ditinggalkan semampu mungkin kerana Allah Maha Mengetahui. Allah juga Maha Memberi Taubat dan oleh sebab itulah kita tidak boleh berputus asa untuk mencari redha-Nya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain