suria

Usah malu-malu buat saringan kanser payudara, jangan tunggu sampai ketulan ketumbuhan besar dan pecah

Pemeriksaan payudara boleh dilakukan sendiri di rumah atau melakukan ultrasound dan mammogram di hospital.

LAPORAN Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCRR) 2012-2016 yang dikeluarkan pada tahun 2020 menunjukkan peratusan kes barah payudara dikesan di tahap tiga dan empat semakin meningkat.

Sebanyak 47.9 peratus kes pada tahap itu dilaporkan pada 2012-2016 berbanding 43.2 peratus antara 2007 hingga 2011.

Angka tersebut jelas menunjukkan kesedaran tentang bahaya kanser payudara masih rendah dalam kalangan wanita dan tidak hairan ia menjadi pembunuh nombor satu wanita di seluruh dunia.

Malah satu daripada 27 wanita di Malaysia berisiko untuk mendapat kanser payudara. Apakah punca keadaan ini berlaku?

SMCV_mStar.Media.Buy.Poster

Pakar dalam bidang kesihatan wanita dan kanak-kanak di Sunway Medical Centre Velocity (SMVC).

Pakar Perunding Onkologi, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkata, takut berhadapan dengan realiti menjadi penyebab utama golongan ini enggan mendapatkan rawatan akibat daripada salah tanggapan berkenaan penyakit tersebut.

Malu dan masalah komitmen juga boleh menjadi penyumbang kerana ketika mendapatkan rawatan, ada beberapa perkara perlu dikorbankan seperti pekerjaan, menjaga anak-anak dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu ada diabetes, boleh ke menyusu bayi? Ini fakta tepat, memang selamat

ARTIKEL BERKAITAN: Cara bedung yang salah boleh jadi salah satu punca Hip Dysplasia? Ketahui simptom untuk mengenal pasti masalah ini

"Punca paling penting adalah kurangnya pendedahan dan ilmu tentang kemudahan dan proses mendapatkan ujian saringan serta rawatan untuk kanser payudara.

"Perkara ini juga yang menyebabkan isu-isu lain seperti malu untuk mendapatkan rawatan, takut berhadapan dengan realiti dan kebimbangan terhadap komitmen yang membuatkan golongan ini tidak mahu mendapatkan diagnosis dan rawatan awal," katanya kepada mStar.

Berdasarkan pengalaman, Dr Hafizah memberitahu pesakit hanya akan datang ke hospital apabila mereka mula merasa sakit atau ketulan di payudara semakin membesar.

file724mevr822xw5pi0bnb

Takut berhadapan dengan realiti antara punca masih ramai wanita enggan melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

Biasanya, pesakit yang datang ke hospital sudah pun mengalami simptom seperti ketulan ketumbuhan yang boleh dirasai atau apabila ketulan ketumbuhan sudah pecah sehingga menyebabkan pendarahan.

"Oleh itu, apabila anda dapat merasa sebarang ketulan atau keadaan payudara anda tidak normal, sila hadir membuat pemeriksaan segera supaya sel-sel kanser tidak merebak," katanya.

Jangan takut buat pemeriksaan kerana ia mampu selamatkan nyawa

Sementara itu Pakar Perunding Pembedahan Am, Payudara dan Endokrin, Dr Suziah Mokhtar pula menjelaskan peratusan survival pesakit boleh melebihi 98 peratus selepas menerima rawatan sekiranya kanser dapat dikesan di peringkat awal.

Pemeriksaan ultrasound dan mammogram boleh dilakukan sekurang-kurangnya sekali setiap satu atau dua tahun apabila memasuki usia 40 tahun hingga 75 tahun.

Jelas Dr Suziah, bagi wanita yang berisiko tinggi seperti mereka yang mempunyai mutasi gen kanser payudara (BRCA1 dan BRCA2) dan sejarah keluarga di sebelah mak atau ayah yang menghidapi kanser payudara atau kanser ovari, mereka dinasihatkan untuk membuat ujian saringan pada umur lebih awal.

Dr Hafizah Zaharah New

Pakar Perunding Onkologi, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah Ahmad.

"Ada pesakit bimbang bahawa mereka akan merasa sakit ketika menjalani pemeriksaan mamogram atau bimbang untuk mengetahui keputusan ujian saringan tetapi hakikatnya mesin mammogram sebenarnya sudah banyak mengalami penambahbaikan untuk mengurangkan ketidakselesaan.

"Nasihat saya jangan takut untuk terima keputusan pemeriksaan kerana pengesanan di peringkat awal boleh menyelamatkan nyawa," jelasnya.

Selain mammogram, Dr Suziah berkata, wanita berumur 40 tahun ke bawah boleh menjalani ujian ultrasound payudara bagi mengesan ketumbuhan atau ketulan kecil pada payudara.

"Kebanyakan ketumbuhan kecil ini tidak boleh dirasai dengan pemeriksaan tangan. Jadi, ujian ultrasound dan mammogram boleh dilakukan untuk membezakan sama ada ketumbuhan itu merbahaya atau tidak.

Picture 4

Pengesanan awal kanser payudara boleh menyelamatkan nyawa pesakit.

"Jika ketumbuhan didapati mempunyai ciri-ciri kanser, prosedur biopsy akan dilakukan bagi mengeluarkan sampel kecil tisu ketumbuhan untuk ujian makmal bagi mengesan sama ada ia barah atau pun tidak," ujarnya.

Perbezaan prosedur lumpectomy dan mastectomy

Dalam pada itu, Dr Suziah menjelaskan, terdapat dua prosedur yang boleh dijalani oleh pesakit kanser payudara iaitu lumpectomy dan mastectomy.

Dr Suziah menjelaskan lumpectomy adalah pembedahan pembuangan ketulan kanser payudara dan sedikit tisu normal di sekelilingnya untuk memelihara tisu payudara yang tidak terkesan.

Mastectomy pula katanya adalah pembedahan membuang semua tisu payudara. Sama ada sebahagian besar kulit payudara dan putting pula bergantung kepada keadaan pesakit.

"Pembedahan membuang atau mengambil sampel kelenjar limpa di ketiak juga perlu dilakukan untuk memastikan rawatan kanser adalah lengkap.

Dr Suziah Mokhtar New

Pakar Perunding Pembedahan Am, Payudara dan Endokrin, Dr Suziah Mokhtar.

"Lumpectomy pula selalunya dipilih sekiranya ketulan kanser berada di peringkat awal termasuk saiz ketumbuhan lebih kecil berbanding saiz payudara dan berada di tempat sesuai.

"Mastectomy pula disarankan apabila terdapat lebih daripada satu ketulan di bahagian payudara yang berbeza dan ia lebih besar berbanding saiz payudara," ujarnya.

Menjelaskan lanjut tentang prosedur ini, Dr Suziah memberitahu selepas pembedahan, saiz dan bentuk payudara mungkin boleh berubah tetapi prosedur pembentukan semula payudara (breast reconstruction) menggunakan pemindahan tisu daripada bahagian lain pesakit boleh dilakukan.

Bagi mastectomy pula, pembinaan semula payudara boleh dilakukan pada masa yang sama atau selepas selesai rawatan susulan mengikut kesesuaian pesakit.

"Sekiranya pesakit memilih untuk tidak membuat prosedur pembinaan semula payudara, mereka boleh membeli pakaian dalam yang direka khas untuk golongan yang menjalani mastectomy ini.

Lumpectomy

Lumpectomy adalah pembedahan pembuangan ketulan kanser payudara dan sedikit tisu normal di sekelilingnya untuk memelihara tisu payudara yang tidak terkesan.

Bagaimanapun jelasnya, pesakit yang telah menjalani lumpectomy untuk rawatan kanser pertama perlu menjalani pembedahan mastectomy sekiranya barah itu berulang di payudara yang sama.

Jika rawatan pertama pesakit adalah mastectomy kata Dr Suziah, pesakit mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut sebelum menjalani rawatan susulan dan ia bergantung kepada tempat dan saiz kanser berulang itu.

Lanjut mengenai perkara itu, Dr Suziah menjelaskan pesakit yang selesai menjalani lumpectomy wajib menjalani radioterapi.

Bagaimanapun rawatan itu mungkin tidak perlu dilakukan kepada pesakit peringkat awal yang memilih mastectomy.

"Rawatan kimoterapi pula bergantung kepada laporan penuh daripada makmal setelah mengkaji tisu yang dibuang semasa pembedahan.

Masectomy

Mastectomy adalah pembedahan membuang semua tisu payudara sama ada sebahagian besar kulit payudara dan puting bergantung kepada keadaan pesakit.

Pakar Onkologi akan mengesyorkan pengambilan ubat terapi hormon sekiranya ia sesuai dengan jenis kanser yang dialami," ujarnya.

Rawatan terapi bersasar pilihan buat pesakit

Sementara itu, selain daripada kimoterapi dan radioterapi, Dr Hafizah menjelaskan beberapa rawatan lain yang boleh dijalani pesakit adalah rawatan terapi bersasar atau Targeted Therapy.

Dr Hafizah menjelaskan rawatan ini bergantung kepada jenis kanser payudara kerana targeted therapy memerlukan sasarannya yang tersendiri dan ini boleh diketahui melalui pemeriksaan makmal (specimen biopsy).

"Melalui pemeriksaan makmal, kita boleh mengetahui jenis sel kanser payudara yang dihadapi pesakit dan jika jenis kanser ini mempunyai reseptor estrogen, progresteron atau Her 2 positive.

Kemudian, doktor dapat menasihatkan pesakit jika targeted therapy bersesuaian sebagai plan rawatan untuk mereka. Sesetengah plan rawatan akan menggabungkan rawatan kemoterapi dan targeted therapy," ujarnya.

women-portrait-ponytail-wallpaper-preview

Gaya hidup sihat sangat penting dalam menurunkan risiko kanser payudara.

Gaya hidup main peranan

Meskipun tiada siapa benar-benar pasti tentang penyebab kanser, Dr Suziah berkata, kajian menunjukkan bahawa selain daripada faktor genetik, terdapat beberapa faktor persekitaran dan gaya hidup yang meningkatkan risiko untuk mendapat kanser.

Jelasnya, wanita yang tidak pernah melahirkan anak selepas berumur 30 tahun didapati lebih berisiko untuk menghidap kanser tersebut berbanding mereka yang pernah bersalin sebelum memasuki usia itu.

"Wanita yang menyusukan anak melebihi tempoh setahun didapati mempunyai risiko lebih rendah untuk menghidap kanser payudara.

"Kajian juga menganggarkan risiko kanser payudara boleh meningkat sehingga 10 peratus dalam kalangan perokok selain pengambilan alkohol belebihan serta akibat daripada peningkatan hormon wanita yang boleh berlaku secara tidak langsung," jelasnya.

Obesiti juga kata Dr Suziah, terutamanya dalam kalangan wanita putus haid dan pemakanan tidak sihat boleh meningkatkan risiko barah payudara apatah lagi kekurangan aktiviti fizikal dan penggunaan pil hormon yang turut boleh menyumbang kepada penyakit ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain