suria

Jika tak muat ‘sarung’ seluar ketika umur 21 tahun, anda mungkin berisiko hidap diabetes!

CUBA ambil seluar lama dan pakai, adakah masih muat dengan pinggang anda?

Jika tidak, anda mungkin berisiko untuk menghidap penyakit kencing manis jenis 2, menurut seorang pakar kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 amalan sebelum dan selepas bangun tidur ini boleh bantu anda dapatkan bentuk tubuh idaman

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah kalori yang dibakar ketika bersenam sebenarnya lebih sedikit daripada kita sangka - Kajian

Pengarah Pusat Resonan Magnetik Universiti Newcastle, Profesor Roy Taylor berkata, ukuran pinggang semasa bagi setiap orang sepatutnya sama seperti ketika mereka berusia 21 tahun.



Kencing manis merupakan satu penyakit yang menyebabkan kadar gula atau glukosa dalam badan menjadi terlalu tinggi.

“Jika anda tidak boleh muat seluar yang dipakai ketika berumur 21, anda ‘membawa’ terlalu banyak lemak dan berisiko untuk menghidap kencing manis jenis 2, walaupun anda tidak mempunyai berat berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan hasil kajiannya dalam persidangan Persatuan Eropah untuk Kajian Diabetes (EASD).

Menurut kajian berkenaan, mereka yang mempunyai berat badan sihat dan menghidap kencing manis jenis 2 dapat merawat penyakit tersebut dengan mengurangkan antara 10 hingga 15 peratus berat badan mereka.

Dalam kajian itu, lapan daripada 12 peserta - yang semuanya menghidap diabetes jenis 2 walaupun mempunyai indeks jisim badan (BMI) normal - mengikuti program penurunan berat badan selama dua minggu, menyaksikan mereka menjalani diet rendah kalori.

Dengan BMI purata sebanyak 24.5, lapan daripada 12 peserta berjaya mengurangkan tahap lemak di bahagian hati dan pankreas mereka.



Pesakit diabetes yang menurunkan 10 hingga 15 peratus berat badan berpeluang merawat masalah tersebut.

Aktiviti sel yang menghasilkan insulin di bahagian pankreas juga dianggap berjaya ‘dipulihkan'.

“Doktor cenderung menganggap bahawa diabetes jenis 2 mempunyai penyebab berbeza pada mereka yang tidak mempunyai masalah berat badan berlebihan.

"Ini bererti bahawa mereka yang mempunyai berat badan normal biasanya tidak disarankan untuk menurunkan berat badan sebelum diberi ubat kencing manis dan insulin.

"Sebaliknya, ada kecenderungan untuk memberi mereka insulin dan ubat lain pada tahap yang lebih awal.

"Apa yang kami tunjukkan adalah, jika pesakit menurunkan 10 hingga 15 peratus berat badan, mereka mempunyai peluang sangat baik untuk merawat masalah kencing manis,” jelas Taylor.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain