suria

Rumit nak buat, kuah pula pekat... fuhhh nikmatnya ‘laksa kola’ Kak Su!

Resipi kuah laksa Kak Su merupakan resipi istimewa keluarga ini dan menjadi sebutan penduduk tempatan dan pelancong yang berkunjung ke Kuala Perlis. Foto BERNAMA

JIKA berada di Perlis, tidak lengkap sekiranya tidak menikmati laksa Kuala Perlis atau dikenali juga sebagai 'laksa kola'.

Bagi penduduk tempatan, laksa kola restoran Kak Su Laksa yang terletak di Jalan Siakap Satu, Kuala Perlis adalah antara yang popular dan amat sinonim kerana kelainan proses pembuatan laksa berasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup redah 450km demi roti paung gebu, rupa-rupanya ini rahsianya!

Restoran Kak Su Laksa yang beroperasi sejak 2009 diuruskan Abdullah Osman, 60, yang juga ketua cef dan beliau masih meneruskan resípi tradisi keluarga yang diwarisi sejak 46 tahun lalu.

Nama restoran Kak Su diperoleh daripada kakak angkat beliau, Su Noh, 69, yang digelar sebagai Mak Su.

Abdullah Osman bukan sahaja pemilik tetapi ketua cef di Laksa Kak Su.

Kaedah tradisi

Saban hari, di sebalik kesibukan restoran itu, Abdullah yang lebih mesra disapa Pak Ude tekun menghasilkan laksa beras secara tradisi.

Menurut Abdullah, pada hari biasa beliau menghasilkan sekurang-kurangnya 60 kilogram laksa beras, namun kuantitinya boleh mencecah sehingga ratusan kilogram pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

"Kalau musim cuti, memang tidak berhenti… dari pagi sehingga petang memang sentiasa buat (laksa) sebab tak cukup. Ramai orang datang bukan sahaja untuk makan di sini malah bungkus secara kilo," kata Abdullah kepada Bernama ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.

Ramuan laksa beras Kak Su secara turun-temurun ialah tepung ubi kayu, tepung beras dan beras kisar.

Bagi menjamin keaslian dan kualiti laksa beras itu, Abdullah sendiri melakukan serta memantau proses pembuatannya.

Menurut Abdullah, beras kisar kini sudah semakin dilupai dan ditinggalkan oleh pengusaha laksa kerana cara penghasilannya yang rumit.

Ramuan laksa beras Kak Su secara turun-temurun ialah tepung ubi kayu, tepung beras dan beras kisar.

"Beras itu perlu direndam kemudian dikisar, barulah dijemur. Memang akan mengambil masa yang panjang.

"Hasil itulah yang dicampur dengan ramuan lain. Orang sekarang memang tidak mahu ikut resipi yang rumit ini dan mereka selalunya hanya akan guna tepung beras yang siap diproses, rasa tidak sama," katanya.

Campuran itu kemudiannya diuli dengan tangan sebelum dijadikan doh berbentuk bulat dan direbus sekitar dua hingga tiga minit sebelum dimasukkan ke dalam mesin khas untuk disebatikan semula dengan campuran tepung.

Untuk menghasilkan uraian halus laksa, bahan ini kemudiannya dimasukkan ke dalam mesin laksa atau 'gebok'. Proses terakhir ialah doh berkenaan akan ditekan dalam acuan mesin sebelum terus jatuh ke dalam kawah yang tersedia air rebusan sebelum ditos dan dihidangkan kepada pelanggan.

Keenakan dan keistimewaan laksa beras Kak Su

Untuk menghasilkan kuah laksa pula, Abdullah berkata beliau membeli ikan segar seperti ikan temenung (kembong) dan selayang setiap hari daripada nelayan dan peniaga di Jeti Kuala Perlis yang terletak berhampiran.

Laksa beras segar yang digunakan menjadikan ia enak.

"Jika musim cuti sekolah, sebanyak 200 kilogram ikan diperlukan sehari untuk menghasilkan kuah laksa,” katanya.

Resipi kuah laksa Kak Su Laksa pula merupakan resipi istimewa keluarga ini dan menjadi sebutan penduduk tempatan dan pelancong yang berkunjung ke Kuala Perlis. Ini kerana kuah laksanya berlemak, tidak pedas namun manis hasil daripada rasa ikan yang segar.

Apa yang lebih istimewa untuk menikmati laksa di restoran Kak Su Laksa ialah laksanya akan dihidangkan bersama-sama pulut udang dan kuih spera.

Kuih spera, bentuknya seperti karipap tetapi intinya berupa sambal kelapa, seperti kuih cucur badak.

Kombinasi laksa dan kuih spera ini benar-benar memberi rasa yang unik dan sedap bagi penggemar laksa utara.

"Di sini (laksa Kak Su), kami memang akan campur pulut udang dalam laksa, memang sangat sedap. Kepada yang tidak biasa boleh sahaja makan pulut berasingan.

"Selain pulut udang, kami ada jual kuih lain dan keropok lekor," kata Abdullah. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain