suria

Sanggup redah 450km demi roti paung gebu, rupa-rupanya ini rahsianya!

Roti Paung Che Wan berada di Nilai menawarkan dua jenis roti mentega dan kacang merah harga yang dijual bermula dengan harga RM4.50 sesuai untuk hidangan sarapan pagi atau minum petang.

ROTI paung yang begitu sinonim dan popular di Terengganu kerana keenakan dan teksturnya yang gebu, kini boleh dinikmati di Nilai, Negeri Sembilan.

Kedai Roti Paung Che Wan cawangan Nilai yang baru beroperasi di sebuah premis di hadapan Aeon Mall dekat Nilai, sejak 1 Mei lepas memudahkan penggemarnya untuk membeli roti berkenaan.

Apa yang pasti, penggemarnya di ibu kota tidak lagi perlu menempuh jarak kira-kira 450 kilometer, semata-mata mahu menikmati roti paung di Kuala Terengganu.

Roti paung atau dikenali juga sebagai roti paun kerana beratnya kira-kira 1 paun atau bersamaan 453 gram sesuai dijadikan hidangan sarapan pagi dan minum petang, dimakan kosong atau dicicah dengan teh atau kopi o panas.

ARTIKEL BERKAITANDulu di awan biru, kini Nasi Lemak Pak Nasser boleh dinikmati di Santan dan T&CO!

Malah, keenakan roti yang berlemak ini boleh dihidangkan bersama-sama mentega, kaya atau kacang merah menjadikan ia kesukaan ramai, tanpa mengira bangsa.

Bawa roti paung ke negeri barat

Pemilik cawangan Roti Paung Che Wan, Mohd Nadzry Md Yatim, 40, berkata resipi roti yang dihasilkan di kedai miliknya itu diperoleh sendiri daripada pemilik asal roti paung di Kuala Terengganu iaitu Wan Mohd Ridhwan Wan Khalid, 42, dan isterinya yang mengusahakan roti itu di Terengganu sejak 2007.

"Roti paun ini berasal dari Terengganu. Nama asalnya ialah roti paun, tetapi bila disebut dalam loghat Terengganu ia menjadi 'roti paung',” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Nadzry, bapa kepada tiga anak yang berasal dari Pontian, Johor, berkata sebagai penggemar roti paung, dia mendapat idea untuk memperkenalkan roti itu ke negeri di pantai barat.

“Setelah beberapa kali pergi ke Terengganu, saya mula terfikir kenapa tidak cuba membawa roti paung ini untuk dipasarkan kepada penduduk di Nilai. Jadi pada Mac lepas, saya ke Terengganu berbincang dengan pemilik asalnya untuk menjalinkan kerjasama perniagaan,” katanya.

Penyediaan roti paung masih menggunakan cara tradisional bagi membentuk doh-doh kecil sama saiz.

Setelah mendapat persetujuan dengan pemilik asal, Mohd Nadzry memulakan perniagaan roti paung pertama di Negeri Sembilan dengan modal RM20,000 dengan dibantu isterinya, Nur Halina Abdul Halim, 36, dan empat pekerja.

Resepi asal

Mohd Nadzry berkata roti paung yang dijual di kedai Roti Paung Che Wan di Nilai adalah cawangan kelapan dan dia mengambil masa seminggu menuntut ilmu dan mempelajari teknik pembuatan roti yang betul.

“Saya ikut betul-betul resipi asal Che Wan dan hasilnya, pelanggan dari Terengganu dan pelanggan setia yang tahu rasa sebenar roti paung Che Wan mengakui rasa dan tekstur roti ini sama seperti roti paung Che Wan (Wan Mohd Ridhwan Wan Khalid) di Terengganu,” katanya.

Antara bahan roti paung ialah tepung gandum, telur dan gula yang diadun sebati sebelum dibakar dalam ketuhar selama 10 minit dengan suhu 250 darjah Celcius.

“Dari segi penyediaan roti paung ini, ia agak rumit kerana perlu dilakukan cara tradisional dan menggunakan tangan bagi membentuk doh-doh kecil yang sama saiznya.

"Setiap hari, sebanyak 40 sehingga 50 kilogram tepung gandum digunakan untuk menghasilkan antara 300 sehingga 400 roti paung,” katanya yang turut mengusahakan Restoran Nasi Arab Marhaban Bikum di Dataran Nilai.

Beri roti percuma

Mohd Nadzry berkata selama enam bulan beroperasi, dia tidak menyangka cadangan ‘membawa’ roti paung ke Nilai mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada penduduk setempat bahkan masyarakat dari negeri berhampiran.

“Pada peringkat awal, saya memberi secara percuma kepada pelanggan di restoran nasi Arab untuk merasai roti paung kerana rata-rata masyarakat di sini tidak begitu mengenalinya. Alhamdulillah, setelah beberapa bulan, sambutan begitu menggalakkan.

Roti paung siap untuk dijual kepada pelanggan.

“Lebih menarik, kedai saya menjadi tular sehinggakan pelanggan dari luar seperti Ipoh, Kuala Lumpur dan Johor sanggup datang ke sini semata-mata untuk menikmati keenakan roti paung,” katanya sambil menambah pelanggan tetapnya turut terdiri daripada kaum Cina dan India.

Meskipun kedai Roti Paung Che Wan cawangan Nilai ini beroperasi dari pukul 1.30 tengah hari sehingga 6.30 petang setiap hari kecuali Isnin, orang ramai mula beratur panjang di hadapan kedainya seawal pukul 12 tengah hari.

'’Setiap hari, kami mampu menjual antara 300 hingga 400 sebungkus roti dan terdapat dua inti iaitu mentega dan kacang merah dengan harga RM4.50 sebungkus,” katanya.

Selain cawangan di Nilai, Mohd Nadzry juga baru membuka sebuah lagi cawangan Roti Paung Che Wan di Bangi, awal Oktober lepas.

Untuk perancangan masa depan, beliau berhasrat menjadi pengeluar roti paung bagi semua negeri pantai barat Semenanjung dan merancang membuka sebuah lagi cawangan roti paung di Pontian, awal tahun depan.

Roti paung, tradisional, Terengganu, Nilai

Artikel Berkaitan

Artikel Lain