Sentuhan fusion menu negara Gajah Putih buat anda teringat-ingat, pasti puas hati! - Selera | mStar

Sentuhan fusion menu negara Gajah Putih buat anda teringat-ingat, pasti puas hati!

Pelbagai menu disediakan di K2 Asian Fusion Cuisine yang terletak di Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

MASAKAN dari Thailand sudah sebati dengan masyarakat Malaysia, malah ramai di antara kita menjadikan menu tom yam sebagai juadah wajib untuk dipesan jika makan di restoran.

Senang kata, memang tak susah nak mencari masakan dari bumi gajah putih ini - dari restoran mewah sehinggalah gerai di tepi jalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak aihhhh… Masak 3 jam, patut sambal Nasi Paka berhantu, betul-betul terangkat dan berbaloi-baloi!

Set Big Breakfast dan Thai Beef Stew Kuey Teow antara menu pilihan sarapan pagi.

Memandangkan kita sudah sebati dengan rasa makanan Thailand, apa kata cuba berkunjung ke K2 Asian Fusion Cuisine yang terletak di Lorong Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur.

Seperti namanya, restoran yang dibuka sejak empat tahun lalu ini menyediakan menu asli dari negara jiran itu, namun mendapat sentuhan fusion dalam memberi pengalaman berbeza menikmati juadah signature dari Thailand.

Kesempatan mStar berkunjung sendiri ke restoran itu baru-baru ini memang memberi pengalaman berbeza dan sekali pandang memang anda tidak akan menyangka ia hidangan dari negara seberang.

Nasi campur dengan pelbagai jenis lauk membuka selera sebagai hidangan tengah hari. 

Namun penggunaan bahan seperti serai, daun limau purut, sos ikan, daun ketumbar yang menjadi signature masakan Thailand membuatkan setiap hidangan di K2 Asian Fusion Cuisine mempunyai keunikan tersendiri.

Meskipun ia masih sarat dengan aroma tradisional, setiap hidangan juga turut mempunyai elemen campuran rasa dan bahan daripada pelbagai negara.

Menu di K2 Asian Fusion Cuisine sudah tentu hasil kreatif dan kepakaran dua cefnya iaitu Nikom Uatthong dari Chang Rai, Thailand yang juga lulusan dari Le Cordon Bleu dalam pengkhususan masakan Perancis, selain dibantu oleh pembantu ketua cef, Deon Anthony dari Sabah.


Suasana di K2 Asian Fusion Cuisine yang unik dan menarik. 

Di restoran itu, mereka bukan sahaja menyediakan masakan tengah hari dan malam, malah pelanggan boleh menikmati hidangan unik ketika sarapan pagi.

Penulis sarankan jika berkunjung ke restoran itu, jangan lupa cuba Thai Beef Stew Kuey Teow yang memang membangkitkan selera dan jika anda suka menikmati sarapan dalam jumlah yang besar, Big Breakfast adalah untuk anda!

Antara menu lain pada waktu pagi termasuklah Roti Canai Smoked Chicken Sandwich, Mee Siam, Rice Soup dan Thai Style Pancake.


Menikmati juadah di K2 Asian Fusion Cuisine pasti memuaskan hati anda.

Paling best, hidangan sarapan pagi anda turut disertakan segelas Americano yang boleh di isi semula secara percuma! Memang puas hati.

Berlainan pula dengan hidangan makan tengah hari, K2 Asian Fusion Cuisine menyediakan pelbagai menu dan pilihan penulis sudah tentu nasi campur.

Tapi nanti dulu, ia bukan sekadar nasi campur biasa sebaliknya ia didatangkan dengan lapan jenis lauk pauk seperti tom yum, ayam goreng, telur rebus, sayur-sayuran dan sebagainya. Memang puas hati.

Beef Ribs dengan tiga sos berbeza diinspirasikan daripada masakan Thailand dan Indonesia memang berbaloi. 

Jika anda membuat pesanan menu ini ia turut datang dengan Ice Panda Lemongrass dan salad buah-buahan.

Jangan lupa juga memesan Ox Tail Soup Tom Sap yang cukup enak dihirup kuahnya atau dimakan bersama nasi panas.

Antara menu lain yang penulis sarankan jika anda ke sana termasuklah Smoked Duck Spring Roll dan Salad Pucuk Paku.

Jika datang bersama keluarga atau teman, seafood platter wajib di cuba!

Jika anda datang bersama rakan-rakan atau keluarga, apa kata pesan Seafood Platter yang mempunyai udang, sotong, kepingan ikan, udang harimau dan kima.

Kegemaran penulis sudah tentu Beef Ribs yang cukup lembut. Keenakan daging itu pastinya apabila ia dilengkapkan dengan sos resepi ketua cef menggunakan kicap manis inspirasi masakan Indonesia. Memang menyelerakan.

Tak lengkap semua hidangan itu jika tidak memesan segelas air dan pilihan penulis - Thai Ice Coffee, Thai Milk Tea, Ice Roselle Drink dan Ice Coconut Pandan Cooler.


Bagi yang sukakan sesuatu yang simple, Smoked Duck Spring Roll sesuai untuk anda. 

Tak cukup dengan itu, jangan lupa pesan desert dan anda harus cuba dua menu ini iaitu Coconut Ice Cream with Red Ruby & Jackfruit dan Thai Tea Ice Cream with Jackfruit & Cendol. Anda pasti tidak akan menyesal.

Menariknya di K2 Asian Fusion Cuisine, setiap Jumaat terakhir setiap bulan, rasai pengalaman unik dan ekseklusif menerusi Chef Kom Chef Table with 8 course.

Menerusi makan malam istimewa ini, Chef Nikom Uatthong akan menyediakan lapan jenis masakan istimewa hanya RM159nett seorang tapi kena cepat kerana cef hanya menghadkan kepada 10 orang bagi merasai pengalaman hidangan kejutan daripadanya.

Ox Tail Soup Tom Sap memang buat teringat-ingat.

K2 Asian Fusion Cuisine dibuka setiap Selasa hingga Ahad dari pukul 9 pagi hingga 2.30 petang dan 6 petang hingga 10 malam.

Ia turut mempunyai sebuah lagi cawangan yang dikenali sebagai TumTum YumYum - The Thai Soul Street Food yang terletak di dalam Village Grocer, MyTown Shopping Centre, Cheras.