Gabungan daging brisket salai - sos barbeku gula Melaka di Burnin Pit beri pengalaman makan menakjubkan! - Selera | mStar

Gabungan daging brisket salai - sos barbeku gula Melaka di Burnin Pit beri pengalaman makan menakjubkan!

Hidangan daging barbeku di Burnin Pit boleh menjadi pengalaman terbaik buat penggemarnya. Foto LOW BOON TAT

SAAT melangkah masuk ke restoran Burnin Pit yang terletak di Desa Hartamas Kuala Lumpur baru-baru ini, penulis tahu ia bakal menjadi pengalaman kulinari terbaik dalam misi mencari hidangan daging brisket salai yang dipanggang dengan baik.

Bayangkan potongan pertama daging yang lembut, berjus serta cair dalam mulut - ia satu pengalaman magis dan memuaskan seperti mana dalam bayangan penulis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pedas Cinta tahap Berahi buat peluh bercucuran, kepedasan hidangan di Mie Keren memang mantap!

Di sebalik daging empuk dan berjus itu terselit rahsia tersendiri yang menjadikan Burnin Pit antara lokasi tumpuan bukan sahaja orang kebanyakan, malah selebriti dan kenamaan juga sering merasai keenakan daging salai dan panggang di restoran itu.

Proses menyalai dan memanggang daging dilakukan di luar restoran mengambil masa sehingga 12 jam. 

Pemiliknya, Kam Kok Fung memberitahu penyediaan setiap hidangan hanya menggunakan bahagian daging terbaik iaitu dada termasuk rusuk dalam memberikan pengalaman tidak dapat dilupakan kepada pelanggan.

Kongsi Kam, proses menyalai dan memanggang daging akan bermula pada pukul 3 petang setiap hari yang dimulakan dengan memerap daging dengan bahan perapan seperti garam dan cili.

Kemudiannya barulah daging akan mula diletakkan dalam alat pemanggang untuk proses menyalai yang mengambil masa lebih 12 jam bagi mendapatkan kualiti yang terbaik.

Selain brisket, tulang rusuk juga sangat lembut dan enak rasanya.

"Proses ini memang memerlukan kesabaran kerana jika tidak daging boleh menjadi kenyal dan merosakkan rasanya," katanya.

Menariknya, walaupun hidangan brisket itu berasaskan barbeku di Texas, Amerika Syarikat namun Kam turut menyelitkan elemen tempatan bagi mencipta aroma dan rasa tersendiri kepada menu yang ditawarkan.

Ini termasuklah menggunakan kayu pokok seperti rambutan, nangka dan durian sebagai bahan bakar ketika menyalai daging.

Pengunjung juga tidak perlu bimbang akan asap barbeku yang melemaskan kerana di Burnin Pit mereka memanggang di luar restoran jadi pelanggan akan berasa selesa dan tidak terganggu dengan bau asap.

Senjata rahsia di Burnin Pit - Sos barbeku gula Melaka (kanan) yang menambah rasa enak pada daging. 

Namun penulis obses dengan sos barbeku yang dihidangkan bersama brisket malah rasanya sangat berbeza berbanding kebiasaannya.

Cerita Kam, mereka menggunakan gula Melaka sebagai bahan utama penyediaan sos itu yang direneh bersama sup tulang lembu, sayur-sayuran, cili serta potongan daging salai bagi memberikan aroma smokey pada sos tersebut.

Penulis sendiri rasanya sudah menghabiskan satu botol sos berkenaan kerana ia sangat enak dan paling penting pemiliknya bercadang untuk menjualnya secara komersial. Tindakan bijak!

Jika potongan brisket belum cukup memuaskan selera anda, di Burnin Pit terdapat beberapa menu lain yang boleh dicuba dan kegemaran penulis termasuk tulang rusuk.

Pemiliknya, Kam Kok Fung akan memastikan setiap potongan dihidangkan kepada pelanggan adalah yang terbaik.

Anda tidak perlu sebarang usaha untuk menikmati menu itu kerana dagingnya cukup empuk malah terpisah dengan mudah saat ia ditarik daripada tulangnya.

Kelembutan seperti kain sutera dan rasanya yang enak hasil aroma panggang memang boleh membuatkan anda terbuai dalam dunia sendiri.

Penyatuan tekstur tulang rusuk yang dicicah bersama sos barbeku gula Melaka menjadi ia sempurna dan melengkapkan rasa hidangan.

Jika anda tidak gemar daging lembu atau kambing, di Burnin Pit turut menghidangkan ayam barbeku yang tidak kurang hebatnya.

Beignets antara pencuci mulut menjadi kegemaran penulis di Burnin Pit.

Selain iu terdapat juga pelbagai menu sampingan untuk dimakan bersama daging barbeku termasuk Mac & Cheese selain nachos bersama ayam panggang cincang, tomato salsa, cili jeruk, bawang jeruk dan sos barbeku sebagai pembuka selera.

Bagi yang gemarkan pencuci mulut, penulis sarankan untuk mencuba beignets - adunan tepung yang digoreng sebelum ditabur dengan gula.

Nampak ringkas namun ia sangat lembut dan ringan membuatkan sepinggan tidak cukup!

Bagi yang ingin mencuba keenakan hidangan di Burnin Pit ia terletak di Desa Sri Hartamas dan ia dibuka pada setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 1 pagi.